AMD Mengumumkan Cip Pemprosesan Generasi Ke-3 AMD Ryzen 9 Dengan 12 Teras

Juga cip grafik 7nm AMD Radeon RX 5700-series berasaskan seni bina RDNA.


AMD hari ini telah mengumumkan kehadiran cip pemprosesan AMD Ryzen generasi ke-3 dalam pembentangan mereka di  Computex 2019. Ia merupakan cip pemprosesan bagi komputer meja yang kini dilengkapi dengan "Zen 2" yang meningkatkan teras pemprosesan sehingga 12 teras menerusi cip pemprosesan Ryzen 9 3900X.

Ryzen 9 juga mampu meningkatkan kuasa penprosesan sehingga 4.6Ghz dari asas kuasanya yang bermula dari 3.8Gh.AMD mendakwa, cip terbaru mereka ini telah berjaya mengatasi prestasi cip Intel Intel i9 9920X iaitu lebih daripada 16% menerusi perbandingan yang dibuat menggunakan perisian Blender Render.

Bukan setakat itu, Ryzen 9 ini hanya berharga USD499 sahaja, jauh lebih murah berbanding cip pemprosesan Intel Core i9-9920X X-series yang berharga USD1,199 dengan keupayaan yang hampir sama dengan Ryzen 9 3900X.

Selain itu, AMD juga turut perkenalkan pembangunan seni bina terbaru yang dikenali sebagai RDNA bagi platfom permainan, konsol dan teknologi awan bagi beberapa tahun akan datang.

Menurut AMD, RDNA dijangka akan memacu prestasi pada tahap yang menakjubkan serta pengurusan kuasa dan memori yang lebih efisyen berbanding Graphics Core Next (GCN) yang digunakan untuk pembangunan cip pemprosesan mereka sebelum ini.

Teknologi RDNA akan digunakan pada kad grafik mereka yang akan datang, cip grafik 7nm AMD Radeon siri RX 5700 yang juga akan menyokong antaramuka  PCIe 4.0.

Malah AMD menyatakan bahawa, kad grafik tersebut telah menewaskan kad grafik Nvidia GeForce RTX 2070, menerusi perbandingan yang dibuat mereka dengan memainkan demo permainan video Strange Brigade.

AMD memaklumkan, kad grafik AMD Radeon  siri RX 5700 serta cip pemprosesan Ryzen 9 3900X ini dijangka akan mula menjengah pasaran dalam bulan Julai tahun ini juga.