A.S Mahu Halang Pengeluar Cip Dari Berurusan Dengan Huawei

Umpama tidak cukup dengan sekatan yang sedia dijalankan sejak Mei tahun lalu, Amerika Syarikat kini dilaporkan mahu membuat halangan yang lain terhadap Huawei.

Berdasarkan laporan Reuters, pentadbiran Trump dikatakan mahu menyekat bekalan cip pemproses daripada pengeluar global seperti TSMC. Cadangan tersebut telah diusulkan tetapi masih belum mendapat kelulusan lagi.

Langkah yang diambil ini mampu memberikan impak yang besar terhadap Huawei serta TSMC yang merupakan pengeluar utama kepada cip Kirin. Persoalan mungkin timbul bagaimana TSMC yang berpangkalan di Taiwan boleh dihalang dalam berurusniaga dengan Huawei. Ini kerana syarikat berkenaan menggunakan teknologi pembuatan cip asal A.S. Kebanyakkan pengeluar cip bergantung kepada peralatan pembuatan daripada syarikat A.S dan agak rumit untuk mendapatkan cip tanpa "DNA" A.S.

Disenaraikan hitamkan sejak tahun lalu, tuduhan terhadap Huawei masih berpanjangan dimana minggu lepas A.S mendakwa mempunyai bukti Huawei mengintip rangkaian mudah alih serta memberikan bonus kepada pekerja yang berjaya mencuri rahsia firma pesaing mereka.