Skandal Privasi Data Facebook : Mark Zuckerberg Hadiri Perbicaraan Senat

Skandal pengumpulan data secara tidak sah yang menghantui Facebook Inc. telah mencapai satu tahap yang baru semalam. Pemilik Facebook, Mark Zuckerberg telah menghadiri perbicaraan Senat semalam dan telah menjawab beberapa persoalan.

Antara soalan yang paling mendapat perhatian ialah ketika Senator Gary Peters bertanya tentang laporan Facebook menggunakan mikrofon pada peranti bagi merakam serta mendapatkan data pengguna secara senyap bagi mendapat sasaran iklan yang lebih baik.



Zuckerberg dalam kenyataannya bagi menjawab persoalan tersebut telah menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Beliau telah menerangkan bahawa Facebook hanya menggunakan mikrofon pada peranti apabila penggunanya merakam video, dan mikrofon hanya digunakan bagi merakam audio bagi video yang dirakam sahaja.

Senator itu kemudiannya berpuas hati mendengar jawapan daripada Zuckerberg. Beliau sebelum itu berharap agar jawapan dari pengasas Facebook itu dapat memberi kelegaan dari ura-ura yang didengar daripada orang sekelilingnya.



Tragedi yang menimpa Facebook ini bermula pada tarikh 17 Mac 2018 di mana akhbar The Guardian serta The New York Times telah melaporkan bahawa konsultan Donald Trump melalui Cambridge Analytica telah mengeksploitasi data 50 juta pengguna Facebook yang digunakan untuk membantu Donald Trump dalam kempen pilihan raya presidennya.

Dan hanya selepas lima hari berita itu tersebar, Mark Zuckerberg tampil memberi kenyataan maaf kepada pengguna Facebook seluruh dunia melalui temubual bersama siaran berita CNN. Dalam temubual tersebut, beliau turut mengakui bahawa syarikat milikny telah gagal melindungi data milik pelanggan dengan baik.



Akibat dari skandal ini, Facebook telah mengalami tempoh paling gelap dalam sejarah penubuhannya. Nilai unit saham Facebook Inc telah mengalami kejatuhan yang sangat teruk, malah pihak berkuasa Britian juga telah menyiasat syarikat gergasi ini. Dalam pada itu, kepercayaan pengguna terhadap Facebook juga telah menurun secara mendadak serta ramai pengguna Facebook telah memadam akaun Facebook mereka sejak berita tentang skandal ini tersebar.

Sumber