Artikel dikemaskini dan pertama kali diterbitkan pada 3 Jun 2019.
Hari Raya Aidilfitri sudah tiba dan saat ini perayaan disambut berlainan dari sebelumnya. Kalau dahulu kita dinasihatkan untuk tinggalkan telefon pintar untuk beramah mesra, siapa sangka tahun ini kita memerlukan peranti itu untuk mengeratkan silaturrahim dengan keluarga yang berjauhan.
Langsir baru, sofa baru, baju baru, kuih “tunjuk”, lemang, ketupat semua ada tapi satu lagi perkara penting, skil ambil gambar anda je masih lama.
Rasanya ada antara kita yang hadapi masalah masa ambil gambar raya. Gambar bergegar satu hal, anak-anak saudara terlebih gula sampai nak ajak bergambar pun susah.
Belum lagi kes mak usu nampak separuh je setiap kali ambil gambar raya. Jadi bagi mengurangkan sedikit kegusaran anda ketika mahu merakam saat indah dihari yang mulia itu nanti, ikuti tips-tips berikut.
1. Macam mana nak ambil gambar menarik dengan kanak-kanak
Kelihatan comel dan manja tapi jangan pandang rendah dengan kanak-kanak. Ibu bapa sudah masak dengan kepayahan mengambil gambar menarik dengan anak-anak mereka. Apatah lagi sesetengah pakcik makcik yang masih bujang, nak pegang budak pun takut-takut. Tak semestinya nak bergambar dengan kanak-kanak anda perlu memeluk dan mencium mereka, sebab tak semua kanak-kanak dan ibu bapa suka.
Mahu hasil yang baik dan menarik kenalah usaha sedikit dengan pastikan “subjek” tu gembira serta terhibur. Contohnya, ajaklah mereka menari atau bermain sesuatu. Ini memberikan anda lebih banyak peluang untuk ambil gambar candid yang nampak lebih semula jadi. Selain itu, anda boleh gunakan rakaman continuos mode, ambil gambar banyak dalam satu-satu masa dan pastinya anda tidak mahu terlepas aksi-aksi comel yang tidak dijangka.
2. Pilih latarbelakang yang sesuai ketika mod potret
Rata-rata daripada anda pasti sudah tahu fungsi mod potret, rakaman dengan latarbelakang yang kabur. Namun apalah gunanya jikalau kabur, tetapi berlatarbelakang dinding putih sahaja. Tiada beza. Jadi untuk lebih menarik, rakam mod potret dengan latarbelakang bercahaya seperti lampu raya, atau pokok-pokok bunga yang merimbun dihalaman rumah nenek anda.
Cahaya matahari yang lalu dicelahan daun atau dahan pokok juga mampu menjadikan rakaman potret anda lebih menarik. Anda boleh nak ambil gambar dengan latarbelakang kosong, baca bawah.
3. Gunakan ruang negatif dan biarkan ia nampak ringkas
Ruang negatif merupakan salah satu elemen dalam menghasilkan gambar yang berkualiti dan menarik. Bagi yang tertanya-tanya apa itu ruang negatif, ia bermaksud ruang yang kosong seperti langit, dinding, kawasan lapang atau apa-apa jua yang tidak menggangu fokus terhadap objek utama.
Jika pandai digayakan, imej objek yang diambil pada ruang negatif akan lebih menonjol dan anda akan kelihatan umpama jurugambar profesional di pagi raya.
4. Bermain dengan perpekstif
Bahasa mudahnya, rakam gambar dengan sudut yang berlainan. Pelbagaikan arah rakaman gambar supaya rakan-rakan media sosial tidak bosan untuk melihat himpunan gambar raya anda nanti. Contohnya, ambil gambar secara berbaring, panjat kawasan tinggi (pastikan tempat tidak berbahaya dan bukannya meja makan tokwan anda) dan apa-apa cara yang dirasakan dapat menghasilkan imej yang menarik.
5. “Bingkaikan” objek yang mahu diambil
Anda pasti mahu orang fokus terhadap objek yang dirakam dan ia boleh didapatkan dengan cara “membingkaikannya” melalui apa yang ada disekeliling. Gambar boleh diambil dari celahan pokok, tingkap, pagar atau lain-lain elemen mengikut kreativiti masing-masing.
6. Gunakan Rule of Third
Perkara paling asas sekali dalam mengambil gambar, gunakan baris yang terbahagi kepada 9 petak ini. Ciri ini sudah tersedia dalam telefon pintar anda. Nampak, 4 titik merah seperti imej dibawah? Ia merupakan fokus pandang bagi sesebuah imej dimana mata kita secara semula jadi akan melihat ke bahagian seperti titik itu berada.
Bila menggunakan rule of third, cuba letakkan subjek dan elemen penting lain berdekatan bahagian tersebut. Ambil contoh jika anda mengambil gambar subjek sedang memandang ke kiri, letak subjek pada bahagian garis menegak kanan. Gambar akan kelihatan semula jadi dan orang yang melihat gambar akan lebih memahami apa yang sedang dipandang oleh subjek.