7 Fenomena Menarik Dalam Kalendar Astronomi Bulan Ogos 2022 Ini

Bagi peminat bidang astronomi, Agensi Angkasa Malaysia telah menyenaraikan sebanyak 7 fenomena menarik yang akan boleh dijejaki sepanjang bulan Ogos 2022 ini.

Bermula dari seawal 5 Ogos ini, MYSA memaklumkan Bulan akan memasuki fasa Bulan Suku Pertamanya.

Peristiwa itu akan berlaku pada jam 19:06.

Pada 12 Ogos 2022 pula, Bulan akan memasuki fasa Bulan Penuh yang dijangka akan berlaku pada jam 09:35.

Seterusnya pada 13 Ogos 2022 pula, orang ramai boleh menyaksikan fenomena Hujan Meteor Perseids bermula dari 17Julai hingga 24 Ogos.

Kemuncak Hujan Meteor Perseids dijangkakan berlaku pada awal pagi 13 Ogos 2022 dengan purata 60 meteor per jam.

Walaubagaimanapun, MYSA menjangkakan kenampakan hujan meteor tersebut mungkin kurang baik kerana akan terdapat gangguan bulan hampir purnama semasa kemuncak hujan meteor itu berlaku.

Pada pertengahan bulan Ogos iaitu pada 15 Ogos 2022, planet Zuhal akan berada pada kedudukan oposisi, iaitu kedudukan bertentangan dengan Matahari merujuk kepada Bumi.

Semasa oposisi, Zuhal akan disinari sepenuhnya oleh Matahari dan boleh dilihat dengan lebih terang berbanding ketika ia berada pada kedudukan lain.

Planet Zuhal akan kelihatan jelas di langit malam sepanjang Ogos hingga Disember.

Pada 19 Ogos 2022 pula, Bulan akan memasuki fasa Bulan Suku Akhir yang akan berlaku pada jam 12:36.

Kemudian pada 27 Ogos 2022, Bulan akan memasuki fasa Bulan Baru pada jam 16:17.

Pada tarikh yang sama juga, Utarid akan berada pada Elongasi Paling Timur iaitu 27.3 darjah,

Utarid boleh kelihatan di langit barat selepas Matahari terbenam.

Planet Utarid akan terbenam pada jam 20:53 manakala Matahari akan terbenam pada jam 19:20.

Jadi kepada para peminat astronomi bolehlah merancang awal jadual anda dari sekarang.



Sumber: MYSA