6 Aplikasi Telefon Wajib Ada Sempena Bulan Ramadan


Tinggal beberapa sahaja jam lagi sebelum kita akan mengorak langkah ke bulan yang mulia dalam Islam, iaitu Ramadan. Bersempena ketibaannya, kami membantu anda bagi memudahkan anda menjalani ibadah puasa serta dapat mengimarahkan lagi bulan ini.

Di sini, kami akan menyenaraikan beberapa aplikasi menarik yang boleh anda muat turun untuk kegunaan sepanjang bulan puasa. Namun, tidak bermakna selepas bulan ini anda akan nyahpasang (uninstall) aplikasi tersebut. Sebaiknya, anda boleh amalkan pada bulan yang lain juga.

Iman Pro (iOS)




Mungkin pengguna iOS sudah banyak memasang aplikasi ini sejak isu penjualan data berkaitan aplikasi Muslim Pro beberapa bulan yang lalu.

Apa yang menariknya, aplikasi ini dibangunkan oleh warga tempatan sendiri dimana ia menawarkan beberapa fungsi seperti:

  • Waktu solat serta notifikasi azan

  • Arah kiblat

  • Zikir, mathurat dan tasbih

  • Al-Quran

  • Lokasi masjid dan carian tempat makan halal


Walau bagaimanapun, iman Pro hanya terhad untuk pengguna iOS dan boleh didapati secara percuma. Akan tetapi, versi penuh boleh dibeli dengan harga RM19.90 dan ia hanya sekali bayaran sahaja. Malah, versi Pro ini juga boleh dipadankan dengan Apple Watch.

Muat turun iman Pro di App Store

Waktu Solat Malaysia (iOS dan Android)




Sekiranya anda pengguna Android, terdapat aplikasi Waktu Solat Malaysia. Ia juga tersedia untuk peranti iOS dan aplikasi ini dibangunkan AMG Studio dan data waktu solat ini adalah berdasarkan dari Jakim.

Antara ciri yang ditawarkan adalah:

  • Waktu solat

  • Arah kiblat

  • Zikir ringkas


Selain itu, ia juga memberikan panduan ibadah solat seperti solat dhuha, solat tahajjud, solat jamak dan lain-lain.

Namun, kekurangan yang hadir adalah bacaan surah perlu dipasang secara plugin, antara muka yang kurang kemas dan banyak iklan yang dipaparkan memandangkan ia adalah aplikasi percuma.

Muat turun Waktu Solat Malaysia di App Store dan Play Store

Qalby (iOS dan Android)




Jika Neelofa tampil dengan aplikasi The Noor, Qalby pula dilancarkan oleh selebriti tempatan juga, iaitu Mizz Nina dan ia dibangunkan Eternal Rewards Sdn Bhd.

Selain itu, antara muka Qalby kelihatan lebih kemas, cantik dan moden. Dalam bahasa yang mudah, sedap mata memandang ketika menggunakannya. Malah, ia turut tidak memaparkan iklan walaupun aplikasi ini percuma.

Antara ciri menarik yang ditawarkan adalah:

  • Waktu solat

  • Arah kiblat

  • Doa-doa harian

  • Al-Quran

  • E-Journal seperti planner


Muat turun Qalby di App Store dan Play Store

Al-Quran Melayu (Android)




Walaupun aplikasi yang disebutkan di atas sudah menawarkan fungsi bacaan Al-Quran, tetapi aplikasi yang mengkhususkan Al-Quran boleh dikatakan lebih praktikal untuk digunakan.

Sebagai contoh, Al-Quran Melayu menawarkan 114 surah (30 juzuk) dengan antara muka yang cantik. Tambahan lagi, ia juga boleh memainkan bacaan menerusi audio mp3.

Selain itu, aplikasi ini turut memberikan terjemahan dalam bahasa Melayu berdasarakan terjemahan Abdullah Muhammad Basmeih dan tafsir Al Jalalain. Bagi meningkatkan bacaan lebih baik, terdapat juga tajwid berwarna.

Namun, aplikasi ini masih lagi tampil dengan fungsi arah kiblat, kalendar hijrah dan widget. Ia ditawarkan secara percuma akan tetapi anda boleh membelinya dengan harga RM5.99 untuk memadamkan paparan iklan.

Muat turun Al-Quran Melayu di Play Store

Smart Quran (iOS dan Android)




Bagi anda yang tidak gemar membaca Al-Quran secara menatal (scrolling), aplikasi Smart Quran pula ibarat Al-Quran digital yang mana lebih mudah untuk dibaca kerana ayat surah dipaparkan secara penuh.

Aplikasi percuma ini turut menerima perakuan dari Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran, dan ia sebenarnya dibangunkan dengan kerjasama MCMC, MOHA dan juga JAKIM.

Smart Quran menawarkan ciri menarik seperti terjemahan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris, memainkan bacaan surah, penanda halaman yang dibaca (bookmark) serta mempunyai mod malam (night mode).

Tambahan lagi, aplikasi ini tersedia untuk semua platform secara percuma dan tiada sebarang iklan yang dipaparkan membuatkan ia sangat selesa digunakan.

Muat turun Smart Quran di App Store dan Play Store

Smart Halal (iOS dan Android)




Seperti yang diketahui, status halal terutama di Malaysia amat dititikberatkan. Tidak terhad kepada makanan sahaja, tetapi juga produk-produk lain seperti sabun, barangan kosmetik mahupun lampin bayi.

Smart Halal merupakan sebuah aplikasi bagi memudahkan anda untuk menyemak status produk-produk makanan dan minuman, premis makanan, rumah sembelih atau perkhidmatan logistik yang disahkkan halal oleh Persijilan Halal Malaysia.

Selain itu, anda juga boleh mengimbas kod QR untuk memperoleh pelbagai maklumat berkaitan produk tersebut. Dengan ini, anda tidak lagi menghadapi masalah sekiranya mahu mencari status halal semasa membeli barang keperluan atau makanan dan minuman.

Namun, kami berpendapat antara muka aplikasi ini boleh diperkemaskan lagi kerana ia dilihat kurang menarik untuk penggunaan harian.

Muat turun Smart Halal di App Store dan Play Store.