Sejak beberapa minggu yang lepas, banyak khabar berita yang anda dengari tentang masalah yang dihadapi oleh Netflix. Mereka telah kehilangan 200,000 pelanggan dalam perkhidmatan penstriman video dan dijangkakan angka tersebut boleh meningkat lagi.
Tidak cukup dengan itu, laporan Variety menyatakan nilai saham Netflix telah jatuh sebanyak 35.1 peratus. Peratusan tersebut dijangka bernilai USD54.3 billion (sekitar RM235.3 bilion) dan Netflix telah pun kehilangan nilai tersebut hanya dalam satu malam.
Berdasarkan kontroversi yang melanda Netflix sekarang ini, saya dapat simpulkan 5 sebab perkara tersebut berlaku.
Keluar Dari Rusia
Kempen ketenteraan Rusia ke atas Ukraine telah membuatkan Netflix memilih untuk menamatkan perkhidmatan mereka di Rusia. Walau bagaimanapun, keputusan terbabit tidak dijangkakan akan memakan tuannya sendiri. Kesannya, Netflix telah kehilangan sekitar 700,000 pelanggan yang berpotensi di Rusia.
Harapkan Panas Sampai Ke Petang, Tapi ‘Banjir’ Ditengah Hari.
Apa yang boleh saya katakan Netflix telah salah dalam aturannya untuk tahun ini. Apa yang mereka jangkakan tidak sama sekali dengan realiti yang sedang berlaku sekarang. Bila pulangan syarikat telah berkekurangan, menaikkan harga produk bukanlah penyelesaian yang sebenar.
Jika laporan syarikat menunjukkan nombor yang negatif, mesti ada faktor psikologi yang mempengaruhi. Malahan, sangkaan mengatakan Netflix akan bertambah sejuta pelanggan baharu untuk setiap suku tahunan. Walhal, perkara itu sangat mustahil jika dunia berada dalam keadaan seperti sekarang ini.
Kesan Inflasi Yang Dihadapi Dunia
Nilai matawang ringgit mencatatkan nilai terendah sejak Mei 2020 dan Sri Lanka telah pun diisytiharkan muflis. Natijahnya, dunia sekarang sedang menghadapi krisis kewangan yang saya sendiri tidak nampak penghujungnya.
Ketika ‘lockdown’, perkhidmatan penstriman video meningkat permintaannya kerana itu merupakan sumber utama hiburan ketika keluar rumah bukanlah satu pilihan. Tetapi, harga barang keperluan yang meningkat naik telah memaksa sesetengah pengguna untuk membuang platform ini daripada komitmen mereka.
Oleh itu, ia secara langsung menjejaskan syarikat yang menfokuskan platform penstriman video seperti Netflix. Syarikat yang kembang membangun ketika pandemik itu tidaklah lali kepada inflasi.
‘Palatau’ Akan Kehendak Pengguna
Ini merupakan faktor utama kepada tentangan yang dihadapi Netflix daripada penggunanya. Netflix ingin menambah pulangan syarikat mereka dan menaikkan harga langgan adalah cara terbaik bagi mereka. Tambahan lagi, mereka fikir dengan membuang ciri ‘perkongsian akaun’ akan membuat pengguna lain untuk melanggan dan membeli perkhidmatan mereka.
Kesannya, ramai yang memprotes di media sosial dan berhenti daripada melanggan Netflix terutamanya di US, Kanada dan India. Netflix perlu mengkaji semula polisi syarikat untuk mengelakkan ia daripada terus diboikot dan mencatat kerugian.
Persaingan Yang Sengit
Selain Netflix, terdapat platform penstriman video yang setara seperti Amazon, Apple, Disney+ dan lain-lain. Pengguna seperti kita akan berasa penuh dengan pilihan yang sedia ada untuk penstriman video.
Bertukar platform bukanlah satu perkara yang susah jika anda sudah tidak berminat dengan platform yang sedang dilanggan sekarang. Walau bagaimanapun, Netflix masih dan mempunyai potensi untuk mengubah semula keadaan sekarang kepada kepentingan mereka sekiranya mereka bertindak pantas.
Sumber: The Economic Times
Gambar utama: Sooper Blogs
Baca juga: