Sempena Hari Raya yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, anda pastinya ingin merakam saat manis bersama keluarga serta rakan dengan rakaman video.
Tapi takkan hanya merakam sahaja tanpa disunting bagi menjadikannya lebih menarik.
Jadi di sini dikongsikan 5 aplikasi suntingan video terbaik yang memudahkan anda terus sunting video dari telefon pintar Android.
1. FilmoraGo
FilmoraGo sememangnya aplikasi suntingan video yang tidak asing lagi pada penggemar video.
Ini kerana antaramukanya yang ringkas menjadikannya amat mudah digunakan. Malah ia juga dilengkapi dengan ciri ciri menarik bagi memasukkan kesan khas, teks, ikon, muzik dan lain lain.
Cumanya, limitasi bagi versi percuma FilmoraGo ini hanya membenarkan video dieksport pada kualiti video 720p sahaja.

Jika anda ingin mengeksport video anda kepada kualiti 1080p, anda perlu melanggannya yang berharga dari RM8.49/bulan.
Langganan FilmoraGo juga akan membolehkan anda mengakses lebih daripada 5000 pelekat dan template serta membuang tera air (watermark) dari video.
Atau anda juga boleh membeli aplikasi terus sekaligus pada harga RM129.99.
2. Power Director
Satu lagi aplikasi suntingan video popular Android adalah Power Director. Aplikasi ini juga boleh dimuat turun percuma tetapi dengan limitasi terhad pada ciri-ciri yang ada.
Untuk versi percuma, anda hanya boleh mengeksport video pada kualiti 720p sahaja tetapi masih boleh mengakses ciri-ciri utamanya yang lain.

Tetapi jika anda ingin mengeksport video anda kepada kualiti 1080p atau 4K, anda perlu melanggan Power Director kepada versi premium yang boleh dilanggan dari RM13.99/bulan.
Anda juga boleh melanggan selama setahun pada harga RM99.99 atau selama 3 bulan pada harga RM45.99.
3. Video Show
Jika 2 aplikasi suntingan video di atas anda rasa kurang mesra, apa kata anda cuba pula aplikasi Video Show.
Video Show juga menawarkan pelbagai ciri dan template menarik untuk pelbagai tema.
Antara mukanya juga mudah difahami dan digunakan anda. Malah ia dilengkapi ciri di mana anda boleh membuang muzik atau dialog dalam sesebuah video.

Walaubagaimanapun untuk versi percuma, anda hanya boleh mengeksport video pada kualiti 480p sahaja. Malah anda hanya boleh mengeksport video terhad pada 5 minit sahaja.
Untuk mengeksport video lebih dari 5 minit serta pada kualiti 720p, 1080p dan 4K, anda perlu melanggan Video Show pada harga RM29.99/Minggu atau RM85.99/Bulan.
4. VivaVideo
Satu lagi aplikasi suntingan video yang boleh anda cuba adalah VivaVideo.
Aplikasi ini ringkas, mudah diguna serta padat dengan pelbagai ciri menarik seperti kesan khas, tema dan banyak lagi.

Tetapi versi percuma aplikasi VivaVideo hanya membolehkan anda eskport video pada kualiti 480p sahaja.
Untuk versi penuhnya, anda boleh melanggan secara bulanan yang berharga RM11.99/bulan.
Atau anda juga boleh melanggan VivaVideo VIP selama setahun hanya pada harga RM55.99.
5. KineMaster
Aplikasi suntingan kelima untuk telefon pintar Android yang boleh anda cuba adalah KineMaster.
Kelebihan utama aplikasi ini adalah anda boleh mengeksport video anda pada kulaiti 4K walau dalam mod percuma. Malah semua ciri yang ditawarkan boleh anda gunakan sepenuhnya.
Ia juga kaya dengan pelbagai template dan kesan khas menarik yang boleh serikan lagi video anda.
Namun begitu, untuk versi percuma akan dipaparkan tera air di atas video yang diterbitkan serta iklan-iklan yang sedikit menjengkelkan ketika anda sedang membuat suntingan.

Kesimpulan
Selain daripada 5 aplikasi suntingan video untuk peranti Adroid yang dicadangkan di sini, sebenarnya masih banyak lagi aplikasi suntingan video lain yang boleh anda cuba seperti Adobe Premiere Rush, Quick dan lain-lain.
Semuanya bergantung kepada keselesaan dan kemahiran anda untuk menggunakan aplikasi tersebut.
Apa pun selamat mencuba dan Selamat Hari Raya, maaf, zahir dan batin.