Google Pixel sering dikatakan sebagai ‘king’ of Android. Visualisasi sebenar bagaimana Android patut dipersembahkan. Sejak dari Google Pixel pertama tahun 2016, ia berjaya membentuk komuniti minoriti yang sebenarnya sangat tegar dan secara sedar tidak sedar mewujudkan geng-geng Pixel di seluruh dunia. Pixel fanboy, geng Pixel, #TeamPixel, sebut sahaja pasti akan dapat membayangkan individu yang menggunakan telefon Pixel dengan prinsip ‘hidup mati stock Android’ tertanam dalam mindanya.
Benar. Pengalaman menggunakan Google Pixel agak berbeza dengan telefon jenama China lain seperti Xiaomi, realme mahupun jenama besar premium seperti Samsung. Jika ditanya tentang mengapa peminat Pixel sangat meminati Google Pixel, ada beberapa jawapan yang muncul iaitu:
- Kamera cantik
- Perisian ‘smooth’
- Kemaskini versi Android terkini
- Tiada bloatware
- Stock Android
Ibaratnya jenama lain ‘tak reti’ untuk membuat satu model telefon yang kena dengan minat pengguna yang menggunakan Pixel. Model dari jenama lain mungkin lebih hebat seperti cip pemprosesan lebih pantas, perkakas kamera lebih hebat, bateri lebih besar, dan lain-lain lagi mantera hikmat. Namun, sukar untuk memberikan justifikasi perkakas dan teknologi yang hebat kerana di penghujung hari, pengguna lebih kisah tentang perisian dan kepenggunaan telefon yang lancar. Ini adalah prinsip yang sentiasa Google Pixel mahu sampaikan.
Itu yang mereka cakaplah. Tapi saya sebagai pengguna Google Pixel sendiri sememangnya mengakui ia satu perkara yang benar. Kalau skrin 200Hz, cip Snapdragon 999, RAM 32GB, kamera 120MP pun, jika pengalaman menggunakannya tak sepremium perkakas, apalah gunanya spesifikasi yang diagungkan itu.
Namun begitu, berpijak pada realiti mengibarkan bendera Malaysia yang disayangi, nak tak nak kena tetap juga akui sebenarnya menggunakan Google Pixel di Malaysia lebih kepada DYOR atau Do Your Own Research. Nak gunakannya kena hadap risiko yang kadang-kadang boleh menyusahkan pengguna itu sendiri. Kenapa? Baik, ini adalah sebab-sebabnya.
1. Isu Barang Baik Pulih, Waranti
Well, terang-terang lagi ini bakal jadi antara sebab-sebabnya. Secara umumnya, Google Pixel tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Kalau nak beli, memang kena hadap penjual-penjual yang sanggup beratur untuk memesan Google Pixel dari luar negara – tak kisahlah dari Amerika, Singapura mahupun negara-negara lain.
Sudah namanya tak rasmi dijual di Malaysia, isu yang muncul laju adalah dari aspek waranti, barang sparepart, dan seangkatan.
Pengalaman saya membeli Google Pixel, waranti yang diterima adalah waranti satu tahun dari Google Amerika. Kalau apa-apa jadi, memang renyahlah nak hantar pulang balik ke Amerika. Tetapi setakat yang saya guna, memang tiada masalah. Jadi proses kewarantian telefon lancar tanpa disentuh. Itu kalau tiada masalah, kalau ada?
Namun, jika dilihat kembali, perkara ini sama sahaja jika membeli mana-mana telefon yang tidak rasmi di Malaysia dan perlu diimport dari luar negara. Yang mana apa yang mahu ditekankan adalah masalah ini bukanlah masalah spesifik untuk Google Pixel. Telefon lain pun ada. Hang tak unik Pixel. Hang tak rare.
Apa yang lebih kepada masalah kepenggunaan disebabkan telefon import dan tiada sokongan rasmi di Malaysia adalah apabila mahu mencari barangan ganti.
Jika sudah menggunakan telefon selama setahun, kebiasaannya bateri telefon mulalah sedikit sendu, mungkin disebabkan perangai pengguna yang cas tak tentu hala, overcharging, atau telefon panas pun masih mahu nak main game.
Nak cari bateri original untuk Google Pixel agak susah. Iya betul, memang boleh tukar dan memang ada barang ganti itu.
Tetapi jika menukar, memang kena mencari. Masuk grup Facebook sana sini. Kadang ada bateri, tetapi kena tunggu stok. Itupun belum tentu bateri itu betul-betul original seperti yang didakwa.
Ia tidak semudah menukar bateri iPhone atau Samsung. Datang sahaja kedai khidmat pelanggan Apple atau Samsung, minta sahaja tukar. Mudah. Realitilah katakan.
Berbalik kepada point pertama waranti tadi, ini juga masalah sama yang dialami oleh telefon jenama China lain. Sekali lagi hang tak unik Pixel. Hang langsung tak rare.
Untuk sesetengah orang, mereka mahukan telefon yang ‘peace of mind’. Malas nak pikir perkara leceh, waranti susah, sokongan barang ganti susah, itulah inilah. Dan untuk mereka, Google Pixel ini sangatlah tidak sesuai. Kalau ada katalog, Google Pixel ini mungkin masuk kategori ‘renyah dan leceh’ – di Malaysia lah.
2. Isu Harga
Kalau cakap pasal isu harga, telefon jenama China yang tak masuk di Malaysia tiada masalah harga sangat. Nak cakap telefon jenama China mahal apabila diimport, memang agak jarang juga.
Tetapi untuk Google Pixel, ia memang satu je lah yang jelas. Mahal.
Mahal pun sebab tukaran mata wang yang tidak menyebelahi pengguna Malaysia.
Sudahnya, telefon yang harga kelas pertengahan masuk Malaysia terus jadi telefon andalan. Padahal spesifikasi ada yang kurang sana, lompong sini.
Dari sini mulalah pengguna lain membanding-bandingkan spesifikasi Google Pixel. Dicakapnya mahal dan tak berbaloi. Boleh dapat model lain lebih murah dan jauh lebih sedap spesifikasinya.
Ada yang tidak bersetuju pula tidak kisah harga ‘mahal’ seperti yang dikata kerana memang tak ada dah telefon yang menawarkan pengalaman seumpama Google Pixel.
Sudah tentulah. Kalau dah sanggup beli, alasan apa pun boleh dipakai untuk menjustifikasikan pembelian.
Untuk yang duitnya beranak-pinak mestilah tidak kisah tentang isu ‘mahal’ Pixel, tetapi untuk yang ada bajet sekian-sekian, semestinya pikir dua tiga kali juga sebelum bulat-bulat memilih Google Pixel.
Inilah apa yang orang kata, “Kalau dah namanya sayang,…”.
3. Isu Ciri & Fungsi Spesifik Pixel
Pixel 4 adalah merupakan satu contoh paling jelas tentang isu ini. Pixel 4 yang dilancarkan pada tahun 2019 dipersiapkan dengan ciri Motion Sense atau senang cakap FaceID untuk Google Pixel.
Di Malaysia, dah namanya negara anak tiri Google Pixel, ciri ini tidak disokong, langsung membuatkan jendul besar yang memuatkan sistem kamera Face Unlock itu hanya hiasan semata-mata.
Nasib baik tahun 2020 dan 2021, Google kembali bertaubat membuang jendul dan kembali ke zaman konservatif menggunakan rekaan kamera punch hole.
Okaylah itu sudah lepas. Tetapi, masih ada ciri spesifik Pixel yang tidak disokong di Malaysia seperti contohnya (tidak terhad kepada):
- Screen Call menggunakan Google Assistant
- Pengesanan hentaman kenderaan (Car Crash Detection)
Mungkin ada yang boleh kata, “Alah iPhone pun ada juga ciri tak disokong di Malaysia, Apple Pay, Wallet yang boleh letak IC, lesen atau kad vaksin, sokongan Apple Maps lebih bagus, dan lain-lain.”
Dia macam ini lah, dengan Apple, kita masih lagi boleh berimpian sebabnya Apple masih ada sokongan kukuh di Malaysia, slack Apple Store je belum ada. Ciri-ciri yang dinyatakan itu mungkin boleh jadi tak ada tetapi ia TIDAKLAH mustahil. Kita tahu Apple di Malaysia memang ada sokongan yang besar.
Dengan Google, sukar nak berimpian. Sukar untuk berimaginasi. Ibarat mengimpikan sesuatu yang tidak pasti.
Dibuatnya Google satu ciri seperti Pixel 4 yang melibatkan perkakas seperti jendul Motion Sense pada Pixel yang akan datang, bukankah ia satu bentuk ‘penindasan’ kepada pengguna Malaysia?
4. Isu Telekomunikasi, VoLTE, 5G
Sebenarnya isu ini adalah yang paling utama. Yang lain-lain tu bagi saya tak berapa sesignifikan point yang ini. Jadi, jom bercakap tentang isu telekomunikasi – sesuatu yang betul-betul bagi impak terhadap pengguna di Malaysia.
Seperti yang diceritakan sebelum ini, saya adalah merupakan pengguna Pixel 4a.
Sehingga sekarang, saya tak pernah nampak wujudnya sokongan VoLTE untuk pengguna Pixel di Malaysia. Tak kisahlah mana-mana telco pun. Celcom, Digi, Maxis, Umobile, sama semua.
Dengan era spektrum 3G yang dihapuskan untuk memberi laluan 5G, jika membuat panggilan, telefon akan drop kepada 2G. Yelah 3G kan dah tak ada.
Jika di telefon lain, mereka tiada masalah ini kerana dengan sokongan VoLTE, mereka ada kelebihan menggunakan 4G sambil membuat panggilan. Pixel tak boleh.
Memang ada cara untuk dapatkan VoLTE secara ‘haram’. Tapi untuk itu kena root Pixel, yang maa secara mudahnya tidak sesuai langsung untuk pengguna biasa.
Itu pun nasib baik semalam Yoodo ada tawarkan ciri pengaktifan VoLTE untuk pengguna Pixel di Malaysia. Tapi sedih juga Pixel 4a saya tidak tersenarai. Jadi masalah masih tak selesai.
Harap-harapnya telco lain pun boleh ikut sama untuk bagi ciri VoLTE buat pengguna Pixel di Malaysia. Kalau Yoodo boleh, takkan Celcom, Digi, Maxis, Umobile, dan telco-telco besar lain tak boleh bagi.
Itulah konsep berharap menunggu ada sinar di hujung terowong ni memang kena sangat pengguna Pixel di Malaysia.
Apa yang lagi penting, saya nak lihat macam mana telco besar menguruskan isu 5G untuk Google Pixel di Malaysia. Entah-entah tak ada langsung!
Boleh jadi. Sebab Pixel hanya golongan minoriti. Tak sebesar dan seramai iPhone. Walaupun iPhone belum sokong 5G di Malaysia, untuk mengatakan ia takkan sokong selama-lamanya agak mustahil. Pixel? Ini tak mustahil. Mungkinlah.
Rumusan
Mungkin keempat-empat masalah ini boleh selesai pada masa akan datang – yang mana cara penyelesaian paling ketara adalah kehadiran Google Pixel di Malaysia secara rasmi.
Melihatkan bagaimana Google yang sebegitu besar boleh buat tak nampak negara Malaysia, boleh skip, kemudian terus ke Singapura untuk menjual Pixel secara rasmi sudah bertahun-tahun, seperti masa hadapan pengguna Pixel di Malaysia tetap sama.
Penghujung terowong tetap juga gelap. Jika dahulu pengguna OnePlus bersorak gembira apabila OnePlus mula ditawarkan secara rasmi (Tahun 2015 keatas), Pixel ini sama sahaja. Dahulu dan sekarang. Tak ada beza.
Artikel ini tidaklah mahu menghalang pembaca untuk memiliki Pixel. Tidak dinafikan menggunakan Google Pixel ada unsur-unsur unik kerana sukar secara pakej untuk mencari alternatif.
Apa yang jelas, Google Pixel adalah sebuah telefon ‘berisiko’ dan anda sebagai pengguna perlu faham ‘risiko’ yang wujud sebelum beli.
Baca juga: