4 Hari Bekerja Seminggu, UK Laksana Percubaan Pada Jun Ini




Tempoh 4 hari bekerja seminggu sudah tentu menjadi impian pekerja-pekerja di Malaysia tetapi ia bakal menjadi kenyataan untuk rakyat UK.

Seramai 3,000 orang pekerja di seluruh United Kingdom bakal menyertai percubaan 4 hari bekerja seminggu yang bermula pada bulan Jun ini sehingga Januari 2023.

Skema percubaan ini akan dipantau dan diselia oleh ahli akademik daripada Universiti Oxford, Cambridge dan Boston dengan kerjasama 4 Day Week Global.

Selain itu, 3,000 pekerja tersebut akan terdiri daripada Royal Society of Biology, Syarikat Bancuhan Pressure Drop, firma alatan medikal dan lain-lain.

Pendekatan ini bertujuan untuk menggalakkan syarikat-syarikat di sana untuk melaksanakan tempoh bekerja yang lebih pendek.

Tambahan lagi, ia menyasarkan produktiviti yang lebih tinggi tanpa pengurangan dalam pembayaran gaji dan secara tidak langsung menambahkan kualiti persekitaran tempat kerja.

Para pengkaji akan bekerjasama dengan setiap organisasi terlibat untuk mengukur impak dan kesan pengurangan waktu pekerjaan terhadap produktiviti kerja, kemaslahatan pekerja dan juga kesan kepada persekitaran.

Mereka yang bakal terlibat dalam kajian dan percubaan ini akan menerima gaji yang sama tetapi hanya bekerja 4 hari seminggu.



Berdasarkan organisasi yang memantau, setiap pekerja dijangkakan mengikut model 100:80:100 dalam rutin kerja harian mereka.

Model tersebut mewakili makna 100 peratus bayaran gaji untuk 80 peratus waktu bekerja sebagai tukaran untuk 100 peratus produktiviti kerja.

Andai Malaysia melaksanakan tempoh waktu bekerja seperti ini, adakah anda rasa produktiviti kerja di negara ini akan meningkat atau sebaliknya?

Sumber: The Guardian, Euronews

Baca juga: