YouTube Bakal Buang Iklan Berdurasi 30 Saat, Diganti Dengan Lebih Pendek

Jika anda selalu menonton video menggunakan YouTube, pasti anda akan "dipaksa" untuk menonton iklan yang ditayangkan pada permulaan video. Anda perlu menunggu lebih kurang 5 saat untuk melangkau iklan dengan menekan butang 'skip ad', tetapi bagaimana pula jika butang tersebut tidak muncul-muncul? Ya, 30 saat anda akan dihabiskan untuk menonton iklan permainan melawan naga, model kereta terbaru, ataupun iklan minuman bertenaga.

Oleh kerana itu, Google bercadang mahu membuang iklan berdurasi 30 saat dalam laman video mereka seperti yang telah dilaporkan oleh laman Campaign. Google mengenalpasti video yang berdurasi panjang tidak begitu popular dan digemari para pengguna YouTube, lebih-lebih lagi mereka yang menggunakan data mudah alih.

Untuk perkhidmatan iklan selepas ini, syarikat tersebut akan mengetengahkan iklan dengan format yang lebih pendek iaitu 6 saat tetapi tidak boleh dilangkau(skip). Format 6 saat itu telah dilancarkan YouTube pada tahun lepas yang mana ia direka untuk paparan telefon pintar dan tablet.

Untuk pengetahuan anda semua, perubahan yang dilakukan ini bukanlah dilakukan serta-merta tetapi iklan berdurasi panjang itu akan dibuang seawal 2018 nanti.

Sumber: Campaign