Kita kini menghampiri penghujung tahun 2021, banyak telefon pintar yang sudah berada di pasaran dengan beberapa penawaran mengikut kehendak pengguna.
Seiring dengannya, cip pemproses yang menguasakan peranti pintar juga semakin baik dan laju. Namun, masalah utama apabila sesuatu cip itu beroperasi pada tahap maksimum, haba juga bakal mengikut sama.
Oleh yang demikian, Xiaomi hari ini memperkenalkan teknologi pelesapan haba baharu yang dipanggil Loop LiquidCool Technology. Menurut mereka, ini merupakan sistem penyejukan generasi baharu untuk telefon pintar akan datang dan ia diinspirasikan daripada industri aeroangkasa.
Teknologi tersebut sebenarnya dinaik taraf berbanding Vapor Chamber (VC) biasa. Perbezaannya adalah kali ini ia mempunyai saluran yang berasingan – cecair dan gas.
Bermakna, Loop LiquidCool mengasingkan peredaran udara panas dan cecair sejuk yang mana akan mengurangkan masalah haba dengan menggunakan injap Tesla (Tesla Valve).
Tambahan lagi, rekaan sistem yang dibangunkan Xiaomi ini juga mudah untuk dimuatkan ke dalam mana-mana peranti. Katanya, rekaan seperti itu masih mampu memberikan bateri berkapasiti besar, modul kamera dan lain-lain dalam telefon pintar.
Malah, Xiaomi mendakwa sistem penyejukan baharu ini dapat memberikan kesejukan dua kali ganda daripada yang kita lihat masa ini. Dijangka, telefon dengan teknologi Loop LiquidCool ini bakal tiba seawal separuh pertama tahun 2022.
Sumber: Xiaomi
Baca juga: