Kita sudah lihat telefon dengan kamera yang boleh berpusing dari belakang ke depan seperti ASUS ZenFone 6 dan Samsung Galaxy A80.
Menarik, tetapi apa yang cuba ditampilkan oleh Xiaomi mungkin lebih menarik untuk dilihat. Semua maklum mengenai Xiaomi adalah salah satu pengeluar yang telah memperlihatkan teknologi kamera dibawah paparan.
Baca juga – Xiaomi Patenkan Kamera Pop Timbul Yang Boleh Berputar
Mungkin mahu mengembangkan lagi teknologi sedia ada, pengeluar berpengkalan di Haidian itu hadir dengan paten unik.
Keunikannya apabila kamera dibawah paparan itu boleh berputar menghala ke depan ataupun belakang. Paten ini telah dibuat sekitar Februari tahun lalu dimana ia mula diterbitkan pada 29 April 2021 yang lalu.
Secara lalai (default), kamera tersebut akan menghadap ke belakang yang turut ditemani dua lagi lensa. Berdasarkan gambarajah paten, lensa yang diatas sahaja akan berpusing ke arah hadapan menjadi kamera swafoto (selfie).
Difahamkan juga bahawa modul magnet mungkin digunakan untuk menggerakkan lensa tersebut. Ia dilihat lebih baik berbanding modul motor yang mempunyai risiko lebih cepat rosak.
Tidak seperti kamera berputar yang lain, paten ini mempunyai kelebihan yang tersendiri dimana ia berputar dari dalam. Bermakna tidak terdedah kepada masalah habuk luar melekat.
Selain itu, berdasarkan dokumen paten turut menyatakan pelbagai jenis skrin boleh digunakan pada bahagian paparan seperti LCD, OLED dan juga CRT.
Walaubagaimanapun, ini hanyalah idea yang dipatenkan oleh Xiaomi sahaja dan kita belum pasti adakah ia akan benar-benar muncul pada masa hadapan.
Baca juga – Ini Adalah Telefon Terbaik Untuk Hari Raya
Berkenaan dengan kamera swafoto dibawah paparan, sehingga sekarang kita masih belum melihat nama-nama besar mengeluarkannya kecuali ZTE.
Namun, cakap-cakap ketika ini membayangkan beberapa buah model akan dilengkapkan dengan ciri tersebut. Antaranya Mi Mix 4, Samsung Galaxy Z Fold 3 dan peranti dari pengeluar seperti OPPO, Vivo, serta Huawei. Kesemuanya dijangka hadir tahun ini.
Sumber: LetsGoDigital