Ada takuk, ada kamera berlubang, ada kamera pop-up, malah ada juga kamera berlipat. Ia semuanya adalah kaedah ‘kreatif’ pengeluar dalam menghasilkan telefon pintar dengan skrin yang luas dan penuh.
Sebelum ini kita telah menyaksikan ramai jenama seperti Xiaomi dan OPPO cuba untuk menghasilkan telefon dengan skrin bawah paparan.
Hari ini, ZTE mencantas kesemua jenama dengan yang pertama hadir dengan kamera di sebalik paparan skrin melalui ZTE Axon 20 5G.
Untuk menyelesaikan masalah ketidakcukupan cahaya untuk diterima sensor kamera, ZTE menyertakan lapisan saduran khas yang lutsinar pada kawasan kamera swafotonya
Sensor swafotonya itu adalah 32MP dan juga hadir dengan sensor khas cahaya yang membantu menapis atau mengawal kadar cahaya yang diterima.
Tambahan lagi, ZTE mengubah penyusunan pixel pada kawasan lensa kamera supaya tiada banyak perbezaan warna antara skrin utama dan juga skrin pada kamera.
Spesifikasi
Untuk spesifikasi, ZTE Axon 20 merupakan telefon pintar kelas pertengahan dengan membawakan cip pemprosesan Snapdragon 765G dipadankan dengan RAM 6GB/8GB.
Skrin telefon agak besar dengan ukuran 6.92 inci Full HD+ serta kadar segar semula 90Hz. Selain kamera, di sebalik paparan juga turut dimuatkan pengimbas cap jari.
Di belakang, telefon dilengkapi dengan tetapan 4 lensa kamera. Ia dibarisi 64MP utama, 8MP sudut lebar, 2MP untuk depth dan juga 2MP makro.
Storan dalaman telefon adalah pilihan antara 128GB atau 256GB manakala bateri pula berkapasiti 4,220mAh dengan pengecasan pantas 30W.
Di China, ZTE Axon 20 ini dijual bermula pada harga CNY 2,198 (~RM1,335).