Selain dua telefon berkuasa Mi 11 Ultra dan Mi 11 Pro, Xiaomi turut memperkenalkan telefon ternipis mereka, iaitu Mi 11 Lite 5G.
Lite diberi nama mungkin disebabkan ia adalah telefon Xiaomi yang paling nipis dan ringan dalam sejarah mereka. Ketebalannya hanya 6.81mm dimana 15.5% lebih nipis dari Mi 11.
Beratnya pula adalah 37g lebih ringan berbanding Mi 11, iaitu 159g. Bateri yang dimuatkan berkapasiti 4250mAh dengan pengecasan pantas 33W.
Mi 11 Lite dilengkapi skrin rata berukuran 6.55 inci dengan panel AMOLED dan kadar penyegaran 90Hz. Paparannya juga menyokong gamut warna P3, HDR 10+ dan Dolby Vision.
Dari segi kamera, ia tampil dengan tiga lensa dimana 64MP utama, 8MP ultra lebar dan 5MP telefoto makro. Sementara lensa swafoto hadir dengan 20MP. Kesemua lensa ini turut menyokong mod malam.
Apa yang menariknya, Xiaomi mendakwa bahawa mod malam pada Mi 11 Lite jauh lebih baik daripada telefon berkuasa Apple, iaitu iPhone 12 Pro Max.
Tambahan lagi, walaupun telefon ini nipis dan ringan, Xiaomi mengatakan ia mampu memberikan prestasi yang cemerlang. Ini kerana, Mi 11 Lite dikuasakan cip Snapdragon 780G dan seperti yang anda tahu, ia adalah telefon pertama yang menggunakan cip tersebut.
Cip ini dibina berasaskan 5nm yang mana ia adalah seni bina pemprosesan yang terdapat pada cip berkelas andalan. Malah, Mi 11 Lite turut menerima skor Antutu sebanyak 567,861.
Dengan cip ini juga, Xiaomi menjaminkan bahawa telefon ini akan tidak berapa panas apabila digunakan kerana ia dilengkapi teknologi penyejukan cecair.
Harga jualan bagi Mi 11 Lite 5G ini adalah seperti berikut:
- 8GB+128GB – 2299 yuan (~RM1451)
- 8GB+256GB – 2599 yuan (~RM1640)
Menerusi harga yang diletakkan, ia merupakan telefon siri Mi 11 yang paling mampu milik untuk pengguna.
Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Mi 11 Lite yang akan tiba di Malaysia adalah varian 4G dan bukannya 5G. Ini telah disahkan berdasarkan senarai oleh SIRIM.