Selain Mi 11 Pro, penantian kini berakhir apabila Xiaomi secara rasmi mengumumkan Mi 11 Ultra bersama sejumlah produk baharu pada acara pelancaran yang berlangsung hari ini.
Menariknya pada Mi 11 Ultra, ia hadir dengan panel skrin kedua yang ditempatkan di sebelah modul kamera.
Sama seperti Mi 11 Pro, peranti ini dilengkapi sensor utama dengan 50MP ISOCELL GN2. Dua lagi lensa menampilkan 48MP ultra lebar (IMX586) dan 48MP telefoto (IMX586) dengan 120x zum. Ia turut hadir dengan sokongan dTOF serta sokongan rakaman video sehingga 8K.
Melalui panel skrin kedua yang bersaiz 1.1-inci AMOLED, ia boleh digunakan untuk tujuan swafoto.
Selain itu, ia juga boleh memaparkan informasi seperti masa, cuaca, animasi serta tema yang boleh disesuaikan. Paparan notifikasi seperti pesanan masuk, peringatan kesihatan dan kawalan muzik juga boleh diakses melalui panel kedua ini.
Untuk paparan utama, Mi 11 Ultra mempunyai skrin 6.81-inci AMOLED dengan resolusi 2K dan panel 120Hz. Ia juga didatangkan dengan perlindungan Corning Gorilla Glass Victus.
Menguasakan peranti adalah cip pemproses Snapdragon 888 dengan memori berasaskan LPDDR5 dan UFS3.1. Mi 11 Ultra juga hadir dengan sokongan penarafan kalis air dan debu IP68 sehingga 1.5 meter dengan ketahanan dalam tempoh 30 minit.
Pada bahagian dalam peranti, ia dimuatkan dengan bateri sebesar 5,000mAh yang juga menyokong pengecasan 67W berwayar dan tanpa wayar.
Antara lainnya adalah sokongan Wi-Fi 6, NFC, pembesar suara stereo serta sokongan audio dari Harman Kardon. Terdapat juga versi seramik yang ditawarkan untuk Mi 11 Ultra dengan 12GB RAM dan 512GB storan dalaman.
Harga
Harga jualan Mi 11 Ultra adalah seperti berikut:
- RAM 8GB/256GB – 5999 yuan (~RM3786)
- RAM 12GB/256GB – 6499 yuan (~RM4102)
- RAM 12GB/512GB – 6999 yuan (~RM4417)
Buat masa ini, belum lagi diketahui harga yang akan ditawarkan untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun, Xiaomi Malaysia mengesahkan peranti ini akan hadir untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.