Xiaomi Buat Pening Lagi - Umum Model Baharu, Padahal Spesifikasi Sama

Tidak dinafikan penamaan Xiaomi terhadap model-model telefon mereka di seluruh dunia kebiasaannya memeningkan kepala.

Di Malaysia, namanya lain. Global pula lain. China dan India juga lain.

Tetapi nampaknya Xiaomi masih tetap mahu meneruskan amalan ini apabila melihatkan telefon terbaharu mereka iaitu Xiaomi 11i dan Xiaomi 11i HyperCharge.

Menariknya seperti yang dibincangkan, ia bukanlah telefon baharu dari Xiaomi sebaliknya hanyalah Redmi Note 11 Pro/Redmi Note 11 Pro+ yang sebelum ini telah dilancarkan di China Oktober 2021 lalu.

Xiaomi mungkin menggunakan nama baharu kerana telefon itu sebenarnya ditujukan untuk negara India.

Itupun pening juga memikirkan sudah wujudnya telefon dengan nama Mi 11i, ataupun nama lainnya Mi 11X untuk negara India.

Berbalik kepada Xiaomi 11i dan Xiaomi 11i HyperCharge, ia secara harfiahnya sama sahaja seperti Redmi Note 11 Pro dan Redmi Note Pro+.

Dari segi spesifikasi, kedua-dua Xiaomi adalah sama kecuali pada bahagian kapasiti bateri dan pengecasan pantas.

Kedua-dua telefon itu dijana cip MediaTek Dimensity 920, RAM sehingga 8GB, dan storan 128GB.

Di hadapan, kedua-duanya dilengkapi skrin 6.67" Super AMOLED 120Hz, FHD dengan Gorilla Glass 5. Skrin itu juga disertakan dengan lubang punch-hole 16MP swafoto.



Terdapat 3 kamera masing-masing yang sama. 108MP utama, 8MP sudut lebar, dan 2MP telefoto makro.

Selain itu, telefon menjalankan Android 11 bersalutkan MIUI12.5, pengimbas cap jari sisi.



Mengenai perbezaan antara kedua-dua telefon, Xiaomi 11i dimuatkan dengan 5,160mAh dengan 67W, manakala Xiaomi 11i HyperCharge berkapasiti 4,500mAh dipadankan dengan 120W.

Yang syoknya, Xiaomi masih lagi mengekalkan pengecas dalam kotak, tradisi yang semakin dilupakan oleh kebanyakan jenama.



Di India, Xiaomi 11i dijual pada harga bermula INR24,999 (RM1,414.87) manakala Xiaomi 11i HyperCharge pula bermula INR26,999 (RM1,528.06).

Sumber: Xiaomi

Baca juga: