Setiap tahun, kita pasti akan diperkenalkan dengan beberapa peranti telefon yang mempunyai edisi khas. Dan daripada edisi khas ini, ada yang berkolaborasi dengan syarikat kereta, filem, sukan, artis dan tidak ketinggalan juga edisi khas yang menggunakan mineral daripada bulan seperti Caviar.
Salah satu telefon edisi khas yang menjadi pilihan adalah bagi mereka yang minat dengan animasi jepun atau Anime. Anime sekarang pun sudah menjadi satu trend yang semakin popular. Oleh itu, syarikat telefon pintar melihat trend ini dan menjadikan ia sebagai idea untuk menghasilkan telefon pintar dengan kolaborasi bertemakan anime.
1. realme GT Neo 2 x Dragonball Z
realme GT Neo 2 dilancarkan pada 28 September 2021. Telefon ini mendapat rekaan khas pada tarikh pelancaran yang sama dengan peranti andalan realme iaitu siri realme GT 2. Edisi khas realme GT Neo 2 ini membawakan rekaan warna oren dan biru. Selain itu, terdapat juga logo pada sebelah kamera. Semestinya yang menjadi rujukan rekaan ini adalah baju yang selalu dipakai oleh Goku.
Selain daripada telefon, kotak telefon ini juga mempunyai gambar Goku dengan transformasinya. Dalam kotak pula, akan tesedia poster kecil, kad Shenron dan pin kad sim yang berbentuk mutiara naga.
Selain daripada dalam kotak dan rekaan pada telefon, realme juga membawakan tema Dragonball Z pada ikon, latar hias dan animasi pengecasan. Telefon ini dijual pada harga CNY2,699 (~RM1783) di pasaran China.
2. Xiaomi Black Shark 4S x Freedom Gundam
Telefon gaming daripada Xiaomi iaitu Black Shark 4S juga mempunyai edisi khas. Disebabkan ia merupakan telefon gaming, Xiaomi berkolaborasi dengan Gundam yang sesuai dengan ciri-ciri robot mecha. Dan daripada siri Gundam ini, Xiaomi memilih antara siri Gundam yang paling popular iaitu Gundam Seed.
Black Shark 4S menjadikan model Freedom Gundam sebagai rujukan pada model kali ini. Pada bahagian panel belakang telefon ini, akan terpapar wajah Freedom dan sayap Freedom Gundam. Pada butang magnetiknya pula, ia mempunyai warna merah dan biru yang juga merupakan warna daripada Gundam tesebut.
Xiaomi juga ada memperkenalkan aksesori TWS dan penyejuk magnetik dengan rekaan Gundam ini namun ia dijual berasingan. Black shark ini dijual dengan harga CNY3,499 (~RM2312) untuk varian 12GB+256GB storan.
3. Oneplus 9RT x Genshin Impact
Telefon kali ini adalah edisi khas kolaborasi daripada permainan video mudah alih (mobile game) paling popular iaitu Genshin Impact. Telefon ini adalah Oneplus 9RT.
Rekaan ini diinspirasikan daripada karakter yang dikenali sebagai Harmless Sweetie, Sucrose. Disebabkan Sucrose ini pemilik Vision Anemo (elemental angin), ia membawakan tema turquoise yang sinonim dengan warna karakter tersebut.
Pada kotak jualan, akan disertakan sekali dengan sarung pelindung, penegak (stand), kipas penyejuk dan juga lencana yang mana kesemua ini bertemakan Sucrose dan Anemo. Pada peranti pula, Oneplus memilih untuk tidak meletakkan rekaan yang menonjol. Oleh itu, Oneplus hanya menggunakan warna ‘Anemo’ sahaja. Namun dalam peranti ini tetap juga dipasang dengan tema Sucrose.
Selain itu, 1000 Primogems, bahan ‘upgrade’ dan makanan istemewanya (Nutritious Meal). Telefon ini mula dijual pada 5 November 2021 dengan harga CNY3,799 (~RM2,510) di pasaran China.
4. vivo iQOO z1 x One Piece
Bila dah cakap tentang anime, mesti ada yang terfikir One Piece bukan? Oleh itu, vivo mengambil langkah untuk berkolaborasi dengan antara salah satu Big Three anime ini.
Telefon ini menggunakan warna kuning sebagai warna utama pada panel belakangnya. Terdapat juga tulisan iQOO berwarna merah dan mempunyai corak seperti ‘Gomu Gomu no Mi’ atau Gum Gum Fruit. Terdapat juga lambang ‘Straw Hat’ tulisan tersebut. Pada bahagian kamera pula, terdapat tulisan ‘One Piece’ dengan dengan warna kuning.
Dalam kotak pula akan disertakan dengan sarung pelindung dan fon telinga yang juga bertemakan ‘manga’ komik jepun. Telefon ini dijual dengan harga CNY2498 (~RM1650) dan dijual pada 2 tahun lepas iaitu 16 Julai 2020.
5. OPPO Ace2 x EVA
Telefon terakhir adalah bersumberkan daripada anime klasik iaitu Evangelion. OPPO Ace 2 ini dihadirkan dengan warna yang sama dengan warna EVA-01. OPPO juga memilih untuk menggunakan corak yang minimal dan sedikit garisan dengan warna hijau yang juga daripada warna EVA-01.
Itu baru pada bahagian telefon. Pada bahagian kotak pula, OPPO membawakan pengalaman yang berlainan daripada yang lain. Dalam kotak, akan disisipkan dengan sarung pelindung dan pengecas yang membawa tema yang sama. Malah pin pembuka kad sim juga menggunakan rekaan seperti ‘Spear of Longinus’.
OPPO Ace 2 ini dijual dengan harga CNY4,399 (~RM2906) untuk varian 8GB+256GB storan yang dijual pada 1 Jun 2020. Peranti ini hanya dijual pada kuantiti yang terhad iaitu sebanyak 10,000 unit.
Selain itu, OPPO juga ada membawa OPPO Watch bertemakan Asuka yang dijual pada harga CNY2199 (~RM1453) yang juga dijual sebanyak 10,000 unit. Tidak ketinggalan juga TWS yang bertemakan AYA yang dijual dengan harga CNY399 (~RM264) dan pengecas wayarles Air VOOC yang dijual dengan harga CNY299(~RM198). Namun kedua-dua peranti ini mempunyai bilangan jualan yang lebih terhad iaitu 5,000 unit sahaja.
Kesemua syarikat telefon ini dilihat ingin lebih dekat dengan pengguna dengan menghasilkan telefon Edisi Khas dengan berkolaborasi bersama anime-anime popular. Dalam senarai telefon yang saya senaraikan ini, telefon mana yang anda paling suka? Kalau tanya saya, saya minat dengan rekaan OPPO Ace 2 x EVA kerana corak yang minimal dan corak yang cantik pada aksesorinya.
Sumber: Gamer santai, Gizmochina, Gamer Braves, Gizchina.it, GSMArena
Baca juga: