Microsoft mengesahkan bahawa “Xbox Mode” akan diperkenalkan pada Windows 11 PC bermula sekitar April 2026, membawa pengalaman permainan gaya konsol terus ke komputer desktop dan laptop.
Ciri ini diumumkan semasa acara Game Developers Conference (GDC) dan merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk menggabungkan ekosistem PC dan Xbox dengan lebih rapat.

Xbox Mode ialah antara muka permainan skrin penuh yang dioptimumkan untuk penggunaan alat kawalan (controller). Berbanding aliran biasa Windows yang memerlukan pengguna membuka desktop, pelancar permainan dan aplikasi lain, mod ini menyediakan persekitaran khusus untuk gaming yang lebih ringkas dan mudah digunakan.
Apabila diaktifkan, Windows 11 akan memaparkan antara muka menyerupai dashboard konsol Xbox. Pengguna boleh menavigasi menu menggunakan controller, melihat pustaka permainan, melancarkan game serta mengakses ciri seperti Game Bar dengan lebih cepat.
Pada masa yang sama, pengguna masih boleh kembali ke desktop Windows biasa pada bila-bila masa jika ingin menggunakan PC seperti biasa.
Microsoft turut menyatakan bahawa Xbox Mode direka untuk mengurangkan gangguan dan memfokuskan sistem kepada permainan. Antara muka yang lebih ringkas membantu mengurangkan proses latar belakang yang tidak diperlukan, sekali gus memberi lebih banyak sumber sistem seperti RAM dan kuasa pemprosesan kepada permainan yang sedang dijalankan.
Selain itu, mod ini juga dijangka menyatukan akses kepada permainan daripada pelbagai platform PC seperti Steam, Epic Games Store dan Xbox Game Pass dalam satu tempat, menjadikannya lebih mudah untuk pengguna melancarkan permainan tanpa perlu membuka pelancar berasingan.
Xbox Mode sebenarnya bermula sebagai ciri yang diperkenalkan pada beberapa peranti gaming mudah alih seperti ROG Xbox Ally sebelum diperluaskan kepada semua komputer Windows 11. Mod tersebut juga amat memudahkan dan saya sendiri turut memuji mod ini dalam ROG Xbox Ally.
{suggest}
