Warp Charge 30 & 10GB RAM Iringi Pelancaran Rasmi OnePlus 6T Edisi McLaren

Selepas Oppo dengan Lamborghini, Huawei dengan Porsche dan Honor bersama Audi, kini tiba giliran OnePlus pula untuk bekerja sama dengan pengeluar kereta apabila melancar OnePlus 6T edisi McLaren baru-baru ini.

Peranti ini secara amnya mempunyai spesifikasi yang sama seperti OnePlus 6T. Antaranya ialah sistem cip Snapdragon 845, bateri 3,700mAh, dwi-kamera utama 16MP+20MP serta skrin Optic AMOLED 6.41-inci.



Namun ia memiliki beberapa naiktaraf menarik. Antaranya ialah pengecasan Warp Charge 30(30W) baharu bagi menggantikan Dash Charge(22.5W). OnePlus mendakwa ia mampu memberikan kuasa untuk penggunaan seharian dengan hanya 20 minit pengecasan.

Selain itu, OnePlus 6T McLaren ini juga hadir dengan memori sebesar 10GB RAM disamping pilihan variasi simpanan dalaman 256GB.



Perbezaan paling ketara antara dua peranti ini pastinya dari segi kemasan warnanya. Edisi McLaren ini dihiasi dengan warna oren(Papaya Orange) yang menjadi warna tradisi McLaren di bahagian sisi panel belakangnya.

Pembeli juga akan menerima sebuah kotak belian istimewa bagi model ini yang dipenuhi oleh plak istimewa McLaren, naskah buku McLaren, palam pengecasan dengan kabel bewarna oren disamping sebuah peranti, sudah semestinya.

Kapsyen: The Verge


Ia ditawarkan pada harga $699(~RM2,924) iaitu $70(~RM293) lebih mahal berbanding edisi OnePlus 6T biasa. Bagaimanapun, tiada sebarang maklumat mengenai ketibaannya ke pasaran tempatan setakat ini.

 

Sumber: The Verge