Walaupun Belum Cukup Meluas, Jualan Telefon 5G Makin Kukuh

Permulaan tahun 2022 mencatatkan satu penanda aras baharu untuk peranti 5G kerana buat kali pertama jualan global peranti itu telah mengalahkan jualan peranti 4G. Mengikut laporan Counterpoint, peranti 5G telah menyumbang kepada 51% jualan keseluruhan peranti dunia pada awal Januari lalu.

Kapsyen: Kredit: Counterpoint Research

Penyumbang Utama Kepada Pencapaian Ini


Jualan peranti di kawasan Utara Amerika, Eropah Barat dan China merupakan penyumbang utama kepada pencapaian ini. Masing-masing telah merekodkan jualan sebanyak 73%, 76% dan 84% daripada jualan keseluruhan mereka.

Di India pula, jualan peranti 5G telah menyumbang lebih 16% kepada jualan keseluruhan untuk tahun 2021 berbanding hanya 3% pada tahun sebelumnya. Tetapi, jualan itu dijangkakan meningkat kepada 40% pada tahun 2022 ini.

Jenama Apple Yang Mencatat Jualan Terbanyak


Apple telah berjaya menembusi pasaran jualan peranti di Utara Amerika dan Eropah Barat masing-masing sebanyak 73% dan 76%. Oleh sebab itu, Apple telah berjaya menguasai jualan keseluruhan peranti sebanyak 50% dan 30% untuk kawasan Utara Amerika dan Eropah Barat.



Siri iPhone 12 merupakan pemula kepada pencapaian hebat dalam jualan peranti Apple kerana iPhone 12 merupakan peranti 5G pertama mereka. Media antarabangsa menjangka jualan peranti Apple akan terus bertambah dan menguasai pasaran jualan peranti 5G.

Kemunculan Peranti 5G Mampu Milik


Faktor utama lain yang menyumbang kepada jualan peranti 5G global adalah kemunculan cip pemprosesan bajet yang menyokong 5G daripada Qualcomm dan MediaTek. Kesannya, telefon pintar Android 5G dapat menembusi pasaran harga kelas pertengahan-hingga-tinggi (RM1,000-RM1,600).

Tambahan lagi, harga cip tersebut telah menurun dan memasuki ke pasaran harga jualan sekitar RM600 hingga RM1,000. Selain itu, penjualan peranti pada kelas harga ini telah menyumbang kepada 1 per 5 jualan peranti 5G global berdasarkan maklumat hingga Januari lalu.

Sumber: Counterpoint, 91 Mobiles, EE Times Asia

Baca juga: