Telekom Malaysia (TM) menerusi Unifi TV kini telah membuka langganan Pas FIFA World Cup 2026 yang menawarkan akses kepada kesemua 104 perlawanan kejohanan tersebut secara langsung dalam kualiti HD.
Unifi menjelaskan pas ini tidak termasuk dalam mana-mana pakej langganan Unifi TV sedia ada. Ini bermakna pelanggan yang ingin menonton kesemua perlawanan perlu membeli pas tersebut secara berasingan, walaupun sudah melanggan pakej Unifi TV. Terdapat dua pilihan iaitu Pas Musim dan Pas Harian.
Pas Musim membolehkan pengguna menonton semua 104 perlawanan secara langsung sepanjang kejohanan berlangsung. Ia turut merangkumi akses kepada sorotan perlawanan dan tontonan semula. Pas ini ditawarkan pada harga RM50 untuk pelanggan Unifi TV, manakala bukan pelanggan Unifi TV boleh mendapatkannya pada harga RM60.
Selain akses kepada semua perlawanan, pelanggan turut menerima akses kepada 73 saluran premium yang merangkumi kandungan hiburan, filem dan sukan.

Bagi mereka yang hanya mahu menonton perlawanan tertentu, Unifi turut menawarkan Pas Harian pada harga RM20. Pas ini memberikan akses kepada siaran langsung, sorotan dan tontonan semula bagi hari yang dipilih.
Perlawanan boleh ditonton menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 yang tersedia di web, TV pintar, telefon pintar, tablet serta Unifi TV Box. Siaran akan dibawakan melalui tiga saluran khas iaitu Unifi FIFA World Cup 2026 1, Unifi FIFA World Cup 2026 2 dan Unifi FIFA World Cup 2026 3.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan RTM dan Unifi TV merupakan penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia. Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung, manakala RTM pula akan menyiarkan semua perlawanan sama ada secara langsung atau siaran tertunda.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Digital turut mengumumkan pengguna aplikasi MyGOV Malaysia yang berdaftar dengan MyDigital ID boleh menonton siaran langsung Piala Dunia FIFA 2026 menerusi saluran RTM yang tersedia dalam aplikasi tersebut.
Untuk rekod, Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026 dan menjadi edisi pertama yang dianjurkan bersama oleh tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Bagi yang berminat, maklumat lanjut mengenai Pas FIFA World Cup 2026 Unifi TV boleh didapati menerusi unifi.com.my/fifaworldcup2026 dan halaman FAQ yang disediakan.
{suggest}
