(Ulasan) Xiaomi Mi 8 Lite - Pilihan Baru Peranti Bawah RM1000

Xiaomi seperti tahun-tahun sudah, membanjiri pasaran telefon pintar dengan pelbagai model yang boleh dikatakan berbaloi dimiliki.

Sedia ditawarkan untuk pasaran Malaysia sejak 9 November yang lalu, kedatangan Mi 8 Lite sememangnya dinanti lama peminat tempatan.

Siri Mi 8 diperkenalkan dahulu pada pasaran China dan untuk dalam negara ia hadir dengan 3 variasi iaitu Mi 8, Mi 8 Lite serta Mi 8 Pro.



Kita sudah maklum dengan Mi 8 ((Ulasan) Xiaomi Mi 8 - Tidak Perlu Belanja Lebih Untuk Dapat Telefon Pintar Sedap), kini versi Lite pula mengambil giliran untuk disiasat.

Rekaan luar

Apabila dipegang, panel belakang Mi 8 Lite hampir menyerupai Honor 8X tetapi dengan susun lensa dwi kamera yang berlainan. Panel belakangnya mengikuti tren yang semakin popular iaitu 2 tonawarna tetapi unit ditangan kami adalah berwarna hitam.



Rekaan depan dan belakang boleh dikatakan rata dengan penjuru dan sisinya melengkung. Peranti ini dilingkari dengan bingkai aluminium dimana sebelah dikiri ditempatkan dengan slot hybrid: dwi sim nano dan slot kad MikroSD.

Butang pelaras kelantangan bunyi dan butang kuasa diletakkan pada sisi kanan, bawahnya pula kelihatan speaker mono dan port USB C. Tiada bicu audio 3.5mm tetapi Xiaomi membekalkan penyesuai 3.5mm ke USB C didalam kotak.



Sensor pengimbas cap jari berada dibelakang. Takuknya lebih kecil berbanding Mi 8 mengandungi kamera selfie 24MP, earpiece dan sensor infra merah. Skrin pula berukuran 6.26 inci dari jenis IPS LCD dengan resolusi 1080 x 2280 piksel dan bernisbah 19:9.

Seberat 169g, pegangan tangan tidak terasa berat tetapi ia kelihatan seakan-akan lebar mungkin kerana panjangnya sekitar 156.4mm. Tidak mempunyai sebarang pensijilan IP.

Antaramuka

Mi 8 Lite dijalankan dengan antaramuka MIUI 9.6.4.0 berasaskan Android Oreo 8.1. Bagi yang belum pernah menggunakan antaramuka ini, pengguna diberikan pilihan sama ada untuk menggunakan butang navigasi maya ataupun sentuhan untuk paparan penuh seperti...

  • leret pantas dari bawah untuk kembali halaman utama,

  • leret dan berhenti ditengah skrin untuk paparan recent apps,

  • leret  dari sebelah kiri atas untuk akses fungsi aplikasi, dan

  • leret dari kiri atau kanan untuk berpatah balik ke halaman sebelumnya.




Takuk diatas panel skrin juga boleh disembunyikan dan "dahi" peranti kelihatan sedikit tebal berbanding "dagunya".

Mahukan ruangan yang berbeza pada peranti yang sama? Ada Dual Space. Mahukan dua aplikasi sama pada peranti yang sama? Ada Dual Apps.

Untuk keselamatan, Mi 8 Lite disediakan dengan sistem nyahkunci tradisional seperti Corak, Kata Laluan, dan PIN.



Menguatkannya lagi adalah  pengimbas cap jari yang berada dibelakang dan sistem imbasan wajah. Kedua-duanya berfungsi dengan baik dan kami berpuas hati dengan kepantasan yang diberikan.

Spesifikasi dalaman dan prestasi

Menjana peranti ini adalah cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 660 8 teras (4x2.2 GHz Kryo 260 & 4x1.8 GHz Kryo 260) sementara grafik dikuasakan oleh GPU Adreno 512.

Bahagian memori diisi dengan RAM 6GB dan 4GB sementara storannya pula bersaiz 128GB dan 64GB.

Lain-lain sensor yang dimiliki Mi 8 Lite adalah seperti accelerometer, gyro, proximity dan kompas.

Dari segi pengalaman penggunaan, kami menguji prestasi model ini dengan menjalankan aplikasi yang biasa digunakan pengguna. Apa yang boleh dikatakan, Mi 8 Lite mampu berikan kepuasaan selaku telefon pintar pertengahan.



Penggunaan dari satu aplikasi ke aplikasi yang lain berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Mi 8 Lite boleh menjalankan aplikasi permainan seperti PUBG dengan tetapan grafik pada HD dan Frame Rates pada High.

Walaubagaimanapun, peranti berasa sedikit suam serta frame rate jatuh agak ketara dan untuk itu, tetapan terbaik yang anda boleh gunakan adalah pada Balanced dan Medium.



Kamera

Sistem kamera depan dan belakang Mi 8 Lite menggunakan sensor buatan Sony. Dwi kamera utama sama seperti Mi 8 iaitu Sony IMX363, gabungan 12MP dan 5MP.



Bagi rakaman selfie pula, ia menggunapakai sensor Sony IMX576 dan dengan kamera 24MP ini, foto selfie kelihatan lebih terperinci.

Dalam keadaan kurang cahaya, sensor tersebut akan menggunakan teknologi Super Pixel yang mana ia akan menggabungkan 4 piksel menjadi satu piksel.

Jom tengok hasil-hasil foto dari Mi 8 Lite.



 



Kamera utama- Mod potret vs mod normal.



Kamera selfie - mod normal vs mod potret



Tanpa HDR vs HDR



Tanpa AI vs AI

Bateri

Mi 8 Lite dijana dengan bateri berkapasiti 3350mAh dan menyokong pengecasan pantas QuikCharge 3.0 tetapi pengecas yang dibekalkan hanyalah 5V2A dengan sokongan QuickCharge 1.0.



Pengecasan dari 0% hingga ke 100% mengambil masa lebih kurang 2 jam. Bateri Mi 8 Lite mampu menghidangkan kuasa untuk satu hari penuh tetapi mungkin berbeza dari segi  cara penggunaan pemilik.



Keseluruhan

Pada harga RM999, Mi 8 Lite dilihat mampu memberikan saingan kepada beberapa peranti pertengahan lain seperti Honor 8X dan Realme 2 Pro.

Rekaannya kemas, skrin paparan luas, rakaman kameranya mampu membuatkan kening anda terangkat-angkat puas hati dan paling penting diletakkan dibawah paras RM1000.



Mempunyai dua versi pilihan iaitu RAM 4GB/64GB (RM999) dan sebuah lagi, RAM 6GB/128GB (RM1299). Mi Malaysia membawa masuk dua pilihan warna Aurora Blue dan Midnight Black.