Seperti yang kita tahu, antara semua keluaran telefon pintar yang dilancarkan oleh syarikat Xiaomi, siri Redmi Note merupakan siri keluaran telefon dengan harga mampu milik serta ditawarkan prestasi yang baik untuk tahap penggunaan yang sederhana.
Kini, Xiaomi Malaysia membawa masuk produk terbaru bagi siri Redmi Note iaitu Redmi Note 13 5G.
Walaupun ia dilancarkan dengan tiga versi iaitu standard, Pro dan Pro+, saya hanya akan memberi pendapat jujur mengenai peranti Redmi Note 13 selepas seminggu tempoh penggunaan.
Sebelum saya menceritakan tentang prestasi Redmi Note 13 ini dengan lebih teliti, terlebih dahulu saya akan menyenaraikan spesifikasi penuh tentang peranti ini.
Spesifikasi
[specs]
Cip: Mediatek Dimensity 6080 (6nm)
Memori: 12GB RAM LPDDR4 (8GB + 4GB)
Storan: 256GB UFS 2.2
Paparan Skrin: 6.67, AMOLED, 120Hz, 2400 x 1080, 1,000 nits
Kamera Utama: 108MP lebar, 8MP ultra lebar, 2MP telefoto
Kamera Swafoto: 16MP lebar
Bateri: 5,000mAh, pengecasan berwayar 33W
Lain-lain: Bluetooth 5.3, USB Jenis-C
[/specs]
{suggest}
Rekaan
Waktu kali pertama saya menerima dan memegang Redmi Note 13 ini, apa yang saya boleh katakan adalah telefon ini tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan dengan beratnya 173.5 g kerana telefon yang saya gunakan untuk kegunaan harian adalah agak berat.
Namun begitu, antara kelemahan yang dapat saya kesan sehingga hati saya mula katakan bahawa saya perlu menggunakan peranti ini dengan berhati-hati adalah permukaan belakang telefon ini sama ada dipakaikan dengan casing yang disediakan ataupun tidak.
Hal ini kerana permukaan belakang Redmi Note 13 ini apabila tidak memakai sarung adalah seakan-akan jubin seramik di masjid tetapi versi plastik yang nipis. Ia tetap boleh dipegang namun jika bersentuhan dengan kuku, kebarangkalian telefon ini akan terjatuh dari pergelangan tangan adalah sangat tinggi.
Namun begitu, situasi akan berubah secara 180 darjah apabila dipakaikan dengan sarung pelindung (casing) yang disediakan kerana ia diperbuat daripada bahan TPU (thermoplastic polyurethane).
Walaupun ia dikatakan adalah bahan yang fleksibel dan tahan lasak, apabila permukaan tangan saya dalam keadaan yang kering, telefon ini akan menjadi lebih mudah untuk tergelincir.
Saya cadangkan kepada anda yang ingin membeli Redmi Note 13 ini supaya membeli casing telefon baharu yang mempunyai grip pemegang atau anda akan terpaksa memegangnya di bahagian sisi sekaligus telefon ini tidak sesuai bagi individu yang mempunyai tangan bersaiz kecil.
Selain daripada keburukan casing telefon ini, ia juga mempunyai kebaikannya yang tersendiri di mana telefon semasa saya kini tidak membekalkannya iaitu penutup slot pengecasan Jenis-C.
Ciri ini bagi saya adalah langkah yang bagus untuk setiap syarikat pembuatan telefon ambil perhatian kerana tidak semua individu peka dengan kebersihan peranti harian mereka serta ciri unik ini sangat membantu bagi mengurangkan kebarangkalian kemasukan air secara tidak sengaja sehingga merosakkan telefon anda.
Dalam pada itu, lubang sambungan bicu audio bagi telefon ini juga terletak di bahagian atas yang pada pendapat saya ia akan mengganggu bukan sahaja saya tetapi keselesaan majoriti pengguna apabila mereka ingin meletakkan telefon di atas meja yang disambung dengan fon telinga lalu wayarnya tersangkut kerana terlalu pendek.
Pembesar suaranya pula hanya mono. Saya rasa ia tidak sepatutnya berlaku kerana kebanyakan peranti pada harga sebegini sudah menawarkan pembesar suara stereo. Tak banyak tapi masih ada. Tidak mengapa kerana telefon ini menawarkan ciri lain bagi “menggantikan” kekurangan tersebut.
Notifikasi Pemberitahuan
Seterusnya, saya agak terpegun dengan kehadiran ciri notikasi pemberitahuan yang unik iaitu Notification Effect ini di mana anda boleh tetapkan ia di mana-mana telefon pintar jenama Xiaomi yang menjalankan MIUI 14.
Ia merupakan satu ciri pemberitahuan yang terdiri daripada tiga variasi pilihan iaitu Pulse (Blue), Pulse (Red) dan Starlight serta anda boleh tetapkannya melalui Settings > Notification & Control centre > Notification effect.
Dalam pada itu, saya ingin mengambil peluang untuk menyediakan satu tips bagi menghentikan notifikasi-notifikasi iklan promosi daripada Xiaomi seperti Themes, Song dan lain-lain.
Hal ini juga sering dialami oleh saya semasa saya menggunakan Redmi Note 13 ini dan telefon semasa saya.
Tips matikan notifikasi iklan
Pertama sekali, anda perlu tekan ikon Settings di paparan utama telefon pintar anda dan tatal ke bawah sehingga menemukan pilihan Apps. Tekan pilihan itu dan pilih ‘Manage apps‘.
Di dalam halaman tersebut, anda akan dipaparkan dengan senarai aplikasi yang terdapat dalam peranti anda pada ketika itu.
Anda hanya perlu memilih aplikasi yang sering memberikan notifikasi iklan dan tekan tetapan Notifications di halaman aplikasi tersebut.
Akhir sekali, tutup togol ‘Show notifications‘ dan anda tidak akan diganggu lagi dengan notifikasi iklan daripada Xiaomi ataupun mana-mana aplikasi.
Saya beranggapan bahawa ramai lagi individu yang belum tahu tentang tips ini dan saya harap akan berasa lebih aman kerana bukan saya sahaja yang merasakan notifikasi-notifikasi itu sebagai satu gangguan malah saya yakin anda yang membaca juga.
Kamera
Sejujurnya, saya bukanlah seorang individu yang ambil kisah tentang kualiti gambar dengan lebih dalam sehingga menyentuh topik piksel dan bukan juga seseorang yang kerap mengambil gambar walaupun telefon semasa saya kini merupakan salah satu telefon pintar yang mementingkan kualiti gambar dengan penggunaan jenama kamera yang agak popular.
Apa yang boleh saya katakan, kualiti gambar daripada kamera Redmi Note 13 ini adalah dalam kategori gambar yang sesuai sahaja untuk dikongsikan menerusi media sosial.
Ini adalah antara gambar yang saya ambil dengan menggunakan mod 108 megapiksel yang merupakan salah satu tarikan kamera bagi peranti ini dan hasilnya dari pendapat saya adalah agak memuaskan dari sudut gambar pada waktu siang, malam, ruang dalaman dan juga mod Black and White (B&W).
Dalam pada itu, tidak lupa bagi gambar mod potret yang dari pendapat saya juga agak baik dari segi cara pengfokusan serta kadar kabur (blur) bagi latar belakang setiap gambar.
Selain itu, Redmi Note 13 ini juga memberikan hasil kualiti gambar swafoto yang agak baik pada mod standard dan juga mod potret di mana ia sesuai dengan spesifikasi yang ditawarkan olehnya.
Sebagai tambahan, saya sebenarnya teruja dengan salah satu ciri kamera dalam telefon pintar ini yang boleh anda dapati pada mod Documents > Enhanced.
Hal ini kerana ciri ini akan memberikan satu garis panduan yang akan mengelilingi sesuatu bentuk segi empat yang anda ingin fokuskan dan apabila anda tukan butang tangkap gambar, ia hanya akan menangkap imej yang berada di sekeliling garis panduan itu sahaja. Hasil gambar yang diberikan juga agak memberansangkan.
Sebelum saya menamatkan sesi perbincangan mengenai topik kamera ini, saya ingin mengingatkan kepada anda bahawa Redmi Note 13 ini memerlukan tangan yang stabil untuk menangkap gambar tanpa cacat cela dan memberikan hasil gambar yang bergegar.
Prestasi
Sebelum saya memulakan pandangan saya tentang prestasi Redmi Note 13 ini, anda perlu ambil perhatian bahawa peranti ini dikategorikan sebagai peranti pertengahan yang mampu memuat turun dan menjalankan sesuatu aplikasi gaming disebabkan oleh kapasiti storannya yang tinggi,
Oleh yang demikian, setiap aplikasi itu tidak akan dapat memberikan output yang terbaik seperti telefon pintar yang khas untuk gaming.
Berdasarkan paparan video sesi permainan Mobile Legends yang direkod oleh saya menggunakan tetapan ‘Screen Recording‘, anda boleh lihat bahawa saya bermain dengan menggunkaan mod Ultra bagi mengkaji kestabilan peranti ini dalam menyokong sesuatu permainan itu dalam kadar grafik yang tinggi.
Apa yang dapat saya katakan selepas sesi permainan yang berlanjutan sehingga 30 minit ini, Redmi Note 13 bukanlah sebuah peranti telefon pintar yang mampu beroperasi untuk aplikasi permainan dengan kadar grafik yang tinggi.
Hal ini kerana saya mengalami beberapa stuttering dalam setiap pergerakan karakter apabila berjalan mehupun melakukan aksi.
Bukan itu sahaja, tahap suhu peranti ini juga meningkat semasa sesi permaianan itu berlangsung tetapi tidak secara mendadak sehingga ke tahap melebihi 40 darjah celcius.
Namun begitu, saya beranggapan yang ia akan meningkat jika penggunaannya melebihi durasi masa satu jam apabila menggunakan mod Ultra.
Dengan ini, saya sarankan bagi individu yang ingin memiliki peranti ini dan jadikan ia sebagai platform bermain permainan video supaya menetapkan kadar grafik aplikasi permainan anda pada tahap yang sederhana.
Hal ini kerana ia akan dapat membantu anda untuk menjaga prestasi telefon pintar ini daripada masalah seperti bateri kembung bukan sahaja dari sudut gaming malah dari sudut penggunaan harian juga.

Sehubungan dengan topik prestasi gaming ini, semestinya Redmi Note 13 menggunakan kadar bateri yang agak tinggi dan ini berlaku semasa saya bermain Mobile Legends pada mod Ultra. Jika anda tetapkan kadar grafiknya pada mod Medium seperti yang disarankan, anda mungkin akan dapat mengurangkan kadar penggunaan bateri juga tahap kepanasannya.
Selain pemerhatian prestasi dari sudut gaming, saya juga membuat pemerhatian bagi masa yang diambil untuk mengecas Redmi Note 13 ini. Saya menggunakan notifikasi pemberitahuan ‘Low battery: 20% left’ sebagai tanda permulaan.
Dengan ini, saya menyimpulkan bahawa peranti ini mengambil masa yang agak lama iaitu satu jam untuk sampai ke 90% di mana ia sesuai dengan spesifikasi yang ditawarkan untuk telefon pintar ini.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, telefon pintar Redmi Note 13 ini boleh saya kelaskan adalah antara telefon yang boleh anda miliki dan boleh anda beli berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat dan spesifikasi yang ditawarkan oleh pihak Xiaomi.
Dengan harga serendah RM1,099, anda masih boleh bergaya dengan peranti ini dari sudut reka bentuknya, prestasi kameranya dan tidak lupa juga prestasi gaming dan durasi berpanjangannya yang boleh diperbaiki apabila anda meletakkan telefon ini dalam mod Batery Saver.
Jadi, jika anda masih meminati dengan jenama Redmi dan kegunaan untuk media sosial atau harian, peranti ini sesuai untuk anda atau mungkin juga anda ingin menjadikannya sebagai peranti kedua.
Jika sebaliknya dimana anda mahu jadikan Redmi Note 13 ini sebagai telefon utama, mungkin kurang sesuai atas faktor pada harga sebegini, ada alternatif lain yang boleh anda pertimbangkan.
Anda boleh beli siri Redmi Note 13 di:
Shopee – https://invl.io/clkl1is
Lazada – https://invol.co/clkl1iz