(Ulasan) OPPO Reno11 Pro 5G - Potret Mesra Poket

OPPO salah satu jenama telefon pintar terkenal dalam pasarannya. Pelbagai model serta kelas telah dikeluarkan oleh OPPO. Akan tetapi, untuk ulasan kali ini saya hendak fokuskan kepada sebuah model yang baru sahaja dilancarkan iaitu siri OPPO Reno11.

Baru sahaja OPPO melancarkan siri Reno10 pada tahun lepas, kini OPPO telah melancarkan siri Reno terbaru. Namun, kali ini siri Reno 11 agak janggal sedikit kerana terdapat dua model sahaja Reno11 dan Reno11 5G.

Tidak seperti siri Reno10 yang mengeluarkan 3 model iaitu model standard, Pro dan Pro+. Berkemungkinan OPPO ingin mengurangkan kos pengeluaran. Walaupun telefon ini berada dalam kelas pertengahan premium, namun spesifikasi yang ditawarkan ala-ala kelas andalan. Oleh itu, mari saya perkenalkan kepada anda semua OPPO Reno11 Pro 5G.

Model Reno11 berharga RM1,899 manakala model Reno11 Pro 5G pula berharga RM2,499.


Spesifikasi


CPU - MediaTek Dimensity 8200

GPU - Arm Mali G610 MC6

Skrin - 6.7", OLED curved screen, FHD+ (2412x1080), 120Hz

Memori - 12GB LPDDR5X

Storan - 512GB UFS3.1

Kamera Utama - 50MP utama OIS, 8MP ultra lebar, 32MP telefoto

Kamera Hadapan - 32MP (tak sokong OIS)

Bateri - 4600mAh, pengecasan SUPERVOOC 80W berwayar

Lain-lain - Android 14, ColorOS 14.0


Rekaan


Rekaannya agak menonjol sedikit berbanding model sebelumnya. Tekstur yang digunakan untuk panel belakang adalah jenis marble dan mate untuk keseluruhan panel. Pada pendapat saya, bila saya memegangnya memang rasa agak selesa.

Permukaan pada panel belakang ada sentuhan lembut (soft touch) yang rasanya agak unik dan selesa untuk disentuh. Selain itu, jika dipantulkan cahaya pada panel belakang, setiap penjuru akan menghasilkan sinaran yang berbeza dan nampak premium dengan kesan berkilauannya.

Selain itu, ia kelihatan berbeza dengan tekstur abstrak yang berlainan pada panel belakang. Jika diperhatikan, ada 3 ke 4 tekstur abstrak yang berbeza yang membuatkan panel belakangnya agak menarik perhatian.

Pada pendapat saya, kalau anda nak show off, lebih baik gunakan telefon ini dalam keadaan naked tanpa selongsong (casing) dan anda tidak perlu risau untuk senang jatuh ketika memegangnya kerana permukaan panel belakang peranti ini tidak terlalu licin.



Panel belakangnya juga jenis melengkung bukan rata secara keseluruhan. Bonggol kameranya kelihatan agak pelik kerana kedudukan kamera satu dan dua tidak selari dengan kamera ketiga.

Tidak seperti model sebelumnya iaitu siri Reno10 yang mana rekaan bonggol kameranya kelihatan jauh lebih baik berbanding siri Reno11. Selain itu, bonggol kameranya juga agak tebal serta mempunyai gerigi yang kelihatan seakan-akan duit syiling 50 sen.

Kemampuan Kamera




Salah satu ciri khas atau kebolehan siri OPPO Reno adalah dari segi prestasi kamera yang agak kompetitif dalam kelasnya. Kamera utamanya didatangkan dengan 3 lensa iaitu 50MP lensa utama yang menyokong OIS, 8Mp ultra lebar dan 32MP telefoto yang menyokong mod potret.



 

Untuk pengetahuan anda, mod potret yang menggunakan lensa telefoto hanya berfungsi apabila anda menggunakan 2x zum. Jadi, ia merupakan kekurangan yang perlu diperbaiki supaya mod potret boleh digunakan hanya pada lensa telefoto sahaja.



Jika anda menggunakan mod potret 1x, gambar yang diambil hanya akan di crop guna sensor kamera utama sahaja.



Namun, anda tidak perlu risau kerana kekurangan ini diibaratkan umpama secebis kuman jika hendak dibandingkan dengan kelebihan yang ditawarkan pada kamera peranti ini.



Selain itu, siri Reno daripada OPPO memang memfokuskan pada kemampuan potret dan memang dikomersialkan untuk ciri tersebut. Oleh sebab itu, OPPO lebih memfokuskan gambar potret berbanding lain.



Anda memang akan berpuas hati dengan prestasi potret Reno11 Pro dan tidak akan mengecewakan serta prestasinya tidak kurang hebat jika hendak dibandingkan dengan Reno10 Pro+.



Kualiti yang diberikan memang menakjubkan dan tak boleh disangkal lagi. Kualiti bokeh yang dihasilkan memang jelas, setanding dengan kualiti telefon kelas andalan. Hasil gambarnya juga halus, warnanya tepat dan kontras yang seimbang.



Kemudian, jika anda pernah mengambil gambar mod potret menggunakan telefon yang berharga bawah seribu, anda boleh lihat, bukan sahaja potongan gambar tidak jelas malah kualiti bokeh juga kelihatan fake.



Namun, anda tidak akan menghadapi masalah pada peranti ini dan anda juga boleh dapatkan kualiti potret yang baik melalui kamera swafoto.



Selain potrait, kualiti gambar kamera utama juga cantik. Saya memang sangat berpuas hati dan teruja dengan ketepatan serta kejituan hasil yang yang diberikan. Jika anda lihat hasil gambarnya, memang sangat tepat, stabil dan berkualiti serta menjadikan peranti ini paling kompetitif dalam kelasnya.



Selain itu, jika anda mengambil gambar, kualiti gambar yang anda lihat dalam view finder atau dalam bahasa mudah visual dalam skrin agak kurang cantik dan ada hingar sikit.



Namun, anda tidak perlu risau kerana bila anda selesai mengambil gambar, anda perlu tunggu post processing terlebih dahulu. Kemudian, hasil gambar akan kelihatan lebih cantik.



Secara keseluruhan, memang prestasi kamera pada OPPO Reno11 Pro ini memang tidak dapat dinafikan kualitinya.


Prestasi


OPPO Reno 11 Pro 5G dikuasakan oleh cip MediaTek Dimensity 8200. Sekiranya anda ingin bermain game, telefon memang tiada masalah.

Namun, anda perlu ingat telefon ini tidak direka khas oleh OPPO untuk gaming kerana kemampuannya lebih kepada fotografi.

Jadi, anda perlu pertimbangkan semula jika hendak membeli telefon ini untuk dijadikan sebagai peranti gaming. Walau bagaimanapun, kapasiti bateri yang ditawarkan pada peranti ini sangat tidak relevan untuk peranti pintar dalam alaf ini.



Kapasiti baterinya hanya 4,600mAh. Ia sama dengan kapasiti siri sebelumnya iaitu siri Reno10. Dengan kapasiti bateri yang ditawarkan, ia agak kurang padan dan kurang sesuai untuk telefon pintar masa kini terutamanya jika anda ingin melakukan kerja-kerja berat pada peranti ini dalam jangka masa yang lama.

Akan tetapi, OPPO mengimbangi kecacatan tersebut dengan menghadirkan pengecasan pantas SuperVOOC 80W yang mana ia merupakan antara teknologi pengecasan yang terbaik di dunia.



Dari segi skrin pula, bersaiz 6.7 inci, beresolusi FHD+ (2412x1080) dengan kadar segar semula 120Hz. Mampu mencapai tahap kecerahan sehingga 950 nits. Jenis skrin yang digunakan adalah OLED curve screen.

Sistem operasi yang digunakan pula adalah ColorOS 14.0 dengan Android 14. ColorOS merupakan antara sistem operasi yang terbaik dalam pasaran Android.

Hal ini kerana, sistem operasi ini mampu memberikan pengalaman pintar dan lancar, menampilkan reka bentuk yang menyegarkan serta pelbagai ciri yang mampu meningkatkan produktiviti.

 

Kesimpulan


Sekiranya anda mencari peranti pintar yang mempunyai prestasi ampuh, malangnya telefon ini bukanlah pilihan yang tepat. Walaupun peranti ini mempunyai kemampuan untuk bermain game, tetapi siri Reno dibina khas untuk fotografi potret.

Jadi, sebelum anda ingin membeli telefon ini, fikir sejenak tentang keperluan anda menggunakan telefon pintar supaya anda tidak berasa rugi di kemudian hari.

Bagi anda yang suka akan gambar potret atau kaki OOTD, telefon ini memang sesuai dengan anda. Ini kerana kemampuan dengan harganya seimbang.

Beli OPPO Reno11 Pro 5G di Shopee - https://invl.io/clkkc9j