Redmi Note 11 Pro+ merupakan model paling berkuasa bagi siri Redmi Note 11 pada tahun ini. Peranti tersebut didatangkan dengan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 920 5G, skrin jenis Super AMOLED yang menyokong kadar segar semula 120Hz, binaan yang berkualiti dan pembesar suara stereo dengan pilihan tetapan Dolby Atmos.
Saya telah memakai peranti Redmi Note 11 Pro+ selama 2 minggu sebagai peranti harian. Saya telah mencuba peranti ini dalam bermain game, menonton filem, mendengar lagu, meluangkan masa di media sosial dan lain-lain.
Oleh itu, terdapat beberapa perkara yang dapat saya kongsikan dalam ulasan ini tentang kritikan dan pengakuan saya kepada Note 11 Pro+ ini.
Fizikal Dan Dimensi
Saya mulakan dengan kritikan tentang fizikal dan dimensi Note 11 Pro+ ini. Peranti ini mempunyai binaan yang sangat kukuh dan ‘solid’, itu adalah fakta akan kecemerlangan Redmi dalam binaan model kali ini.
Reaksi saya apabila pertama kali memegangnya adalah seperti memegang peranti premium kerana rasa kukuh dan berkualiti dalam binaannya.
Pengalaman itu seperti diri anda berasa yakin untuk membelasah seseorang hanya dengan menggunakan Note 11 Pro+ ini sebagai senjata. Kedengaran pelik tetapi itulah apa yang saya rasai dengan kualiti binaan yang ada pada Redmi Note 11 Pro+ ini.
Tetapi kekurangan yang pada peranti ini adalah ia agak berat daripada peranti lain. Apabila menggunakan Note 11 Pro+ dalam penggunaan satu tangan, saya jelas terasa yang peranti ini agak berat. Oleh itu, ia menyukarkan pengguna yang sememangnya suka akan penggunaan satu tangan apabila menggunakan peranti mereka.
Selain itu, Note 11 Pro+ mempunyai dimensi binaan yang agak tinggi bagi pendapat saya tetapi lebarnya tiada sebarang masalah. Sebagai contoh, sukar untuk saya menarik ke bawah ‘notification toggle‘ dengan penggunaan satu tangan kecuali saya memegang peranti ini dengan kedua-dua belah tangan.
Perkara ini agak melecehkan apabila anda menghadapi situasi yang sama berulang kali. Di samping itu, peranti ini mempunyai bonggol kamera yang benar-benar besar dek kerana kamera utama yang beresolusi 108 MP.
Walaupun begitu, bonggol kamera pada peranti ini tetap jelas dan kelihatan walaupun setelah dipasangkan ‘casing’ silikon yang sedia ada di dalam kotak.
Prestasi Dan Kelancaran Penggunaannya
Dalam perkara ini, saya mengulas tentang prestasi bermain permainan mudah alih, penggunaan dalam aktiviti harian dan prestasi bateri.
Redmi Note 11 Pro+ telah diuji dalam prestasi ketika bermain permainan mudah alih Genshin Impact. Saya telah meletakkan tetapan grafik pada yang tertinggi dan mengaktifkan 60 Hz dalam kadar segar semulanya.
Peranti ini dapat memproses tugasan ini dengan baik dan ia diluar jangkaan saya. Saya dapat bermain Genshin Impact tanpa sebarang masalah seperti ‘lagging’, peranti menjadi panas yang melampau dan sebagainya.
Selain itu, Redmi Note 11 Pro+ tidak pernah sekali pun menjadi panas yang melampau melainkan panasnya yang suam-suam sahaja ketika bermain “game” pada suhu bilik.
Saya sejujurnya memang memuji prestasi cip MediaTek Dimensity 920 5G (6 nm) kerana ia mampu menyokong Genshin Impact pada tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang masalah. Tambahan lagi, Dimensity 920 5G juga mampu melakukan perkara tersebut tanpa membuat Redmi Note 11 Pro+ menjadi terlalu panas.
Sekiranya peranti ini dapat “menjinakkan” Genshin Impact pada grafik tertinggi dan kadar segar semula 60 Hz, sudah tentu penggunaan harian yang lain tidak menjadi masalah.
Ia memang benar kerana saya dapat menonton video, mengguna media sosial atau chatting dengan lancar. Tambahan lagi, jika anda mempunyai akses kepada rangkaian 5G melalui wifi atau data, anda dapat menikmati kelajuan rangkaian 5G yang ada padanya.
Redmi Note 11 Pro+ mempunyai saiz bateri sebesar 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas 120W yang mana teknologi sebegitu biasanya hanya ada pada peranti andalan. Saya dapat menikmati masa permainan lebih kurang 3 ke 4 jam apabila bermain Genshin Impact dalam tetapan seperti yang saya ceritakan.
Selain itu, peranti ini mempunyai prestasi bateri yang sangat cemerlang dalam penggunaan yang tidak berat seperti mendengar lagu, menonton video dan bermain media sosial. Dalam pengalaman saya selama menggunakan peranti ini, saya berani katakan anda dapat masa paling kurang pun 5 jam untuk penggunaan tersebut.
Pengecasnya pula tiada sebarang cacat celanya kerana 120W dapat memberi anda tempoh mengecas yang pendek untuk penggunaannya yang lama. Inilah ketidakseimbangan yang sepatutnya ada dalam setiap peranti di pasaran.
Mengecasnya dalam waktu yang singkat untuk masa penggunaan yang lama. Tetapi saya ada juga mengecas peranti ini melalui pengecas 18W dan ia mampu mengecas daripada 15% hingga 100% dalam tempoh kurang dari 1 jam.
Bagi saya yang selalu menggunakan peranti ini, ia satu perkara yang sangat memudahkan dan menjauhkan diri saya dari lecehnya menunggu peranti kita selesai dicas.
Kamera
Redmi Note 11 Pro+ menggunakan sensor kamera utama 108MP dan ia memberi kualiti gambar yang bagi saya cukup cantik dan setanding dengan harganya.
Saya bukan seorang kaki fotografi tetapi apabila saya menggunakan kamera ini, gambar yang diberikan memberi kita satu rasa yang berbaloi dengan ringgit yang kita belanjakan.
Berikut merupakan hasil gambar daripada Redmi Note 11 Pro+:
Redmi Note 11 Pro+ mempunyai mod malam yang agak baik bagi peranti ‘midrange’.
Perbandingan untuk gambar swafoto:
Antara gambar-gambar yang dihasilkan melalui kamera utama Redmi Note 11 Pro+:
Saya tidak boleh untuk mengatakan gambar-gambar yang dihasil merupakan yang paling cantik. Tetapi, untuk peranti ‘midrange’, gambar-gambar tersebut agak memberangsangkan.
Kesimpulannya
Redmi Note 11 Pro+ merupakan peranti yang berkualiti, berbaloi dan merupakan pilihan utama, jika tidak pun antara pilihan utama untuk kelas pertengahan.
Dengan harga permulaan RM1,499, anda akan dapat peranti yang kukuh dan kuat, mampu mengendali Genshin Impact pada tetapan grafik tertinggi dengan kadar segar semula 60Hz serta prestasi yang baik.
Tambahan lagi, prestasi yang cemerlang untuk kegunaan harian seperti melayari media sosial, kelas ‘online’ dan yang paling saya galakkan kepada rider penghantar makanan.
Selain itu, Redmi Note 11 Pro+ 5G merupakan antara Peranti Menarik Raya 2022 daripada Wiser untuk anda di luar sana.
Beli jika:
- Anda memerlukan peranti baharu untuk penggunaan harian anda
- Anda seorang rider penghantar makanan
- Anda mempunyai bajet sekitar RM1,500
Jangan beli jika:
- Anda mempunyai bajet di bawah RM1,000
- Anda tidak minat MIUI
Beli Redmi Note 11 Pro+ di Lazada – https://invol.co/clar4id
Beli Redmi Note 11 Pro+ di Shopee – https://invol.co/clar4jp
Baca juga: