Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) realme 16 Pro+ — Hampir Menjadi Sebuah ‘Midrange All-Rounder’

Posted on April 17, 2026April 17, 2026

realme merupakan sebuah jenama yang dikenali ramai pada masa kini, setanding dengan HONOR, OPPO, dan Xiaomi.

Walau bagaimanapun, saya telah lama tidak menggunakan sebarang produk daripada jenama ini. Dua telefon realme yang pernah saya gunakan dahulu adalah realme 7i yang dikuasai cip Snapdragon 662, dan realme C3 yang mempunyai cip MediaTek Helio G70.

Amat terkejut apabila kini telah sampai iterasi yang ke-16, iaitu realme 16.

Berdasarkan pemerhatian saya di media sosial, realme lebih mementingkan prestasi kamera-kamera dalam telefon-telefon mereka.

Maka, untuk ulasan kali ini, saya akan lebih fokus kepada prestasi kamera, dan akan ada juga sedikit percubaan terhadap prestasi cip yang menguasakan telefon ini.

Cukup Mantap Ke Kamera realme 16 Pro+?

realme 16 Pro+ dilengkapi dengan tiga kamera belakang (kamera utama, telefoto, ultralebar), dan satu kamera hadapan (kamera selfie).

Kamera-kamera realme 16 Pro+

Berikut adalah ciri-ciri teknikal kamera-kamera telefon ini:

  • Kamera utama: 200MP, f/1.8, 2-axis OIS, kualiti rakaman video sehingga 4K 60fps.
  • Kamera telefoto: 50MP, f/2.8, 3.5x optical zoom, 2-axis OIS, kualiti rakaman video sehingga 4K 60fps.
  • Kamera ultralebar: 8MP, f/2.2, 115.5° field of view (FOV), kualiti rakaman sehingga 1080p 60fps.
  • Kamera swafoto: 50MP, f/2.4, kualiti rakaman video sehingga 4K 60fps.

Kamera telefon ini juga dilengkapi dengan ciri LumaColor, iaitu satu ciri yang membantu untuk memberikan warna dan tona kulit yang lebih natural, dan menstabilkan pencahayaan subjek dan latar belakangnya.

Dengan adanya ciri LumaColor, pastinya prestasi kamera-kamera telefon ini akan menjadi mantap.

Di bawah, terdapat sampel-sampel gambar daripada kamera-kamera realme 16 Pro+.

Sampel Gambar Dari realme 16 Pro+:

1. Kamera Utama: Dynamic range yang amat baik, dengan kualiti gambar yang tajam. Tanpa menggunakan mod 200MP, hasil tangkapan gambar dari kamera ini amat baik, dengan warna dan tona kulit yang natural, terima kasih kepada LumaColor.

Pada pendapat saya, 200MP itu hanyalah gimik. Mod itu tidak perlu digunakan untuk mendapat kualiti gambar yang baik dari kamera utama. Mod ini memakan storan telefon kerana saiz fail yang besar dan, ketika menangkap gambar, saya tidak dapat zum langsung. Oleh sebab itu, saya hanya memakai mod normal.

Gambar bangunan.
Gambar bunga.
Test prestasi gambar low light.

2. Kamera telefoto: Kamera ini sangat cemerlang dari segi ketajaman gambar, ditambah dengan dynamic range yang baik, dan juga ciri LumaColor membantu dari segi kenaturalan warna. Ketajaman gambar dan produksi warna dari kamera telefoto kelihatan lebih baik daripada kamera utama.

Kualiti yang tajam. Terasa jalinan dinding itu.
Filter black & white.

3. Kamera ultralebar: Cukup baik jika ada pencahayaan yang mencukupi. Jika kurang pencahayaan, akan muncul banyak noise. Dynamic range yang memuaskan. Pastinya ciri LumaColor banyak membantu kamera ini dalam menghasilkan gambar-gambar yang cukup berkualiti.

Jamuan raya.

4. Kamera swafoto: Gambar-gambar hasil dari kamera ini cukup baik, jika ada pencahayaan yang baik. Tona kulit kelihatan natural.

Selfie pada pagi hari.
Selfie sambil bergerak.
Selfie pada malam hari.

Terdapat juga ‘AI Sharpening’ kalau zum. Nampak pelik tetapi ciri ini ada.

Saya juga ada cuba sedikit rakaman video OpenGate menggunakan aplikasi BlackMagic Camera, dan saya mengaku bahawa kualitinya baik.

Rupa ‘video’ OpenGate.

Kualiti rakaman bunyi daripada mikrofon juga cukup jelas dan berkualiti tinggi. Tetapi, saya tidak dapat untuk mengaktifkan ‘video stabilization’. Walau bagaimanapun, kamera telefon midrange ini cukup baik jika anda inginkan telefon dengan kualiti rakaman baik tanpa keluarkan bajet terlalu banyak.

Adakah Snapdragon 7 Gen 4 berbisa?

realme 16 Pro+ dikuasai Snapdragon 7 Gen 4, keluaran 2025 yang merupakan cip midrange dengan skor AnTuTu 1.2 juta. Telefon ini juga dilengkapi dengan GPU Adreno 722, storan UFS 3.1, dan RAM 12GB LPDDR5X, yang sepatutnya boleh menjaminkan prestasi gaming yang baik. Tetapi benarkah?

Bermula dengan Genshin Impact, saya cuba dua senario, iaitu sekadar berjalan-jalan dalam dunia permainan video ini, dan boss fight. Dengan tetapan grafik low (60 fps), terdapat dua jenis prestasi. Sambil bermain, ada lagging sedikit, dan telefon cepat suam, tetapi masih lagi boleh dipegang.

Bersiar-siar, 58-60fps.
Boss fight, 35-40fps.

Seterusnya, saya akan terus beralih kepada emulasi permainan PC kerana prestasi permainan konsol PSP di PPSSPP tidaklah mengejutkan (prestasinya mantap dengan upscaling 4x, dan boleh mencapai 60 fps tanpa lagging).

Apabila bercerita tentang emulasi permainan PC, ia sangat bergantung kepada cip dan juga driver support yang ada untuknya. Dalam kes Snapdragon 7 Gen 4, ia mempunyai driver support apabila terdapat penggunaan GPU cip tersebut (anda boleh lihat dalam gambar-gambar uji kaji permainan PC di bawah).

Saya terasa ingin mencuba Skyrim. Maka, saya menggunakan Winlator untuk mengemulasi permainan PC ini. Prestasi cip ini mencapai jangkaan saya kerana Skyrim bermain dengan baik, walaupun kadangkala ada sedikit lagging, dan telefon cepat menjadi panas.

Skyrim: Legendary Edition. Grafik Low (resolusi 600p), penggunaan GPU 100%, 27-55fps.

Bagi Resident Evil 3 Remake, awal-awal sahaja boleh dimainkan dengan baik, dan kemudiannya ia akan stuck dan tidak bergerak. Dianggap tidak boleh dimainkan. Mungkin perlu cuba tetapan lain dalam Winlator untuk prestasi yang lebih lancar.

Resident Evil 3 Remake. Grafik Low (resolusi 600p), penggunaan GPU 50-55%, 35-40fps.

Maka, benar bahawa Snapdragon 7 Gen 4 cukup berkuasa untuk permainan video natif, dan juga permainan PC.

Spesifikasi Lain realme 16 Pro+

Skrin: AMOLED 1280p, 144hz, kecerahan setinggi 6500 nits (apabila mod “Extra Brightness” diaktifkan). Skrin telefon ini sangat berkualiti dan tajam, jadinya memang seronok menonton filem dengan telefon ini.

Ciri “Extra Brightness” di Settings.

 

Test kecerahan skrin di luar.

OS: Android 16 dengan perisa realme UI 7.0. Terasa lancar dan fluid, walaupun ada sedikit glitch kadang-kadang. Ada juga ciri seakan-akan liquid glass, tetapi terhad kepada notification shade sahaja. Kini, ada juga ‘Mini Capsule’, seakan-akan ‘Dynamic Island’ dalam iPhone. Ada bloatware juga untuk sebuah telefon yang hampir mencecah harga telefon flagship.

Glitch ‘album art’

Bateri: Besar (7000mAh) dengan pengecasan pantas 80W (SuperVOOC). Ketahanan bateri ini sangatlah baik. Mudah untuk mendapat hayat bateri selama hampir dua hari dengan tetapan kelajuan skrin 60hz, penggunaan yang ringan seperti scrolling media sosial, mendengar lagu, dan sedikit gaming.

Internet: WiFi 6 dan 5G. Setakat ini, tiada masalah dari segi sambungan. Video YouTube juga bermain dengan baik tanpa sekatan.

IP Rating: IP68/IP69K. Pastinya boleh dibawa bermandi-manda di dalam kolam bersama.

Custom UI untuk earbuds tertentu: Apabila saya cuba sambungkan OnePlus Buds 4 ke telefon ini, terdapat tetapan untuk earbuds tersebut, seolah saya memakai telefon OnePlus, tanpa perlu memuat turun aplikasi ‘HeyMelody’.

UI untuk earbuds OnePlus dalam aplikasi Settings.

USB-C: USB 2.0. Tidaklah pantas jika ingin menghantar fail dari telefon ke PC, tetapi mencukupi.

Pembesar suara: Pembesar suara stereo. Kualiti bunyi kurang memuaskan dan tidak cukup kuat. Down-firing speaker kedengaran lebih kuat berbanding earpiece speaker. Ini memberikan saya tanggapan awal bahawa telefon ini hanya mempunyai mono speaker. Mungkin realme boleh baiki masalah ini dengan mengeluarkan kemas kini baru pada masa akan datang. Tetapi, berdasarkan kualiti speaker pada masa ini, saya lebih suka menggunakan Bluetooth earbuds dan headphones untuk mendapatkan kualiti bunyi yang lebih baik ketika melayan filem atau YouTube.

Kesimpulan

realme 16 Pro+ merupakan sebuah telefon yang hampir menjadi sebuah “all-rounder”. Sebab-sebab mengapa telefon ini baik adalah kualiti kamera yang solid, cip midrange yang cukup berkuasa, skrin AMOLED yang cukup tajam dan vivid, dan bateri yang besar. Yang pastinya, saya boleh mengesyorkan telefon ini kepada peminat fotografi kerana prestasi kamera yang boleh lawan beberapa telefon flagship.

Bagi gamer pula, ada pilihan yang lebih baik di luar sana, seperti POCO X8 Pro, yang lebih murah.

Beralih kepada harga, itu adalah salah satu isu telefon ini. Bagi sebuah telefon midrange, ia agak mahal kerana harganya boleh mencecah RM2,500. Untuk cip yang ditawarkan dalam segmen harga ini, tidak berbaloi bagi saya. Selain itu, isu kedua adalah bunyi speaker stereo yang tidak berapa stereo kerana speaker bawah lebih kuat daripada speaker earpiece. Kualiti bunyi juga kurang memuaskan. Saya mengharapkan kualiti bunyi yang lebih baik untuk harga ini, tetapi ia tidak mencapai jangkaan saya. Sejujurnya, kualiti speaker POCO X8 Pro lebih baik, walaupun harga yang lebih murah.

Pada pendapat saya, jika harga telefon ini kurang daripada RM2,000, mungkin ia boleh bersaing dengan telefon midrange lain seperti POCO X8 Pro atau vivo V70 (untuk kamera).

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2026 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress