POCO bukanlah satu nama yang asing lagi. Sinonim bagi POCO adalah flagship killer, atau produk yang dapat menandingi telefon-telefon flagship premium. POCO mula wujud sejak tahun 2018 dengan adanya Pocophone F1. Kini, dengan wujudnya siri X, dan M/C, ia mungkin mengelirukan kepada sesiapa yang tidak mengikuti berita teknologi terkini.
Jika siri F adalah flagship dan siri M/C adalah bajet, maka siri X adalah midrange. POCO X8 Pro merupakan keluaran kelapan dalam siri X.
Ini adalah kali pertama saya menguji telefon pintar jenama POCO, jadi saya tidak akan membuat sebarang perbandingan dengan model terdahulu, dan hanya akan fokus kepada teknikal dan prestasi model POCO X8 Pro, secara spesifiknya varian 512GB storan dan 12GB RAM.
Kuasa Dimensity 8500 Ultra
POCO X8 Pro dilengkapi dengan 12GB LPDDR5X RAM dan cip Dimensity 8500 Ultra, yang merupakan cip baharu MediaTek, dikeluarkan pada Januari 2026. Dengan skor AnTuTu setinggi 2 juta, cip ini bermain dalam liga flagship.
Kebiasaannya, pemain-pemain permainan video yang ingin membuat sebarang pelagak (emulator) platform yang berat seperti PC akan mengalihkan fokus mereka kepada cip Snapdragon kerana terdapat lebih banyak sokongan pemacu untuk emulasi yang lebih lancar berbanding MediaTek.
Ya, saya akui bahawa saya adalah seorang Snapdragon fanboy, tetapi saya masih ingin memberi peluang kedua kepada MediaTek, walaupun telah dikecewakan oleh Dimensity 8050 yang menguasakan Infinix GT 10 Pro dulu (keluaran 2023) di mana saya pernah menggunakannya dalam setahun lebih.
Jadi, apakah yang telah berubah dalam tempoh hampir tiga tahun?
Berdasarkan pemerhatian dan uji kaji saya, Dimensity masih lagi bukan cip yang terbaik untuk memainkan permainan video PC, tetapi tiada masalah untuk permainan video natif (android), dan emulasi konsol-konsol seperti PlayStation 1, Playstation 2, dan Nintendo GameCube.
Bermula dengan permainan video natif, Genshin Impact berjalan dengan lancar, dengan tetapan grafik medium ke high, 60 fps. Tetapan grafik medium adalah paling baik jika ingin kurangkan lagging dan tingkatkan hayat bateri.

Bagi permainan video yang lebih baharu seperti Where Winds Meet, Dimensity 8500 Ultra mula bergelut kerana ia hanya boleh mengendalikan grafik low pada 25-30 fps, tetapi masih boleh dimainkan.

Bagaimana pula dengan emulasi konsol?
Kita mulakan dengan PlayStation 1. Dengan menggunakan aplikasi DuckStation, Silent Hill 1 berjalan dengan lancar, dengan tetapan grafik 5x upscaling, dengan purata sekitar 25-30 fps, yang merupakan perkara biasa untuk emulasi kerana jika ingin mencapai 60 fps, ia memerlukan sedikit hacking dan scripting.

Seterusnya ialah PlayStation Portable (PSP). Ini sangat mengejutkan saya, kerana cip ini dapat mengendalikan permainan-permainan video PSP yang dikatakan sukar untuk dimainkan dengan baik. Saya menggunakan aplikasi PPSSPP untuk emulasi ini.



Giliran PlayStation 2 pula. Dengan menggunakan aplikasi NetherSX2, kedua-dua permainan video ini berjalan dengan baik.


Kita lanjutkan dengan emulasi Nintendo GameCube menggunakan Dolphin Emulator. Di sini, cip ini bergelut sedikit, tetapi masih lagi mampu berjalan.

Yang paling sukar, emulasi PC. Saya tidak mempunyai jangkaan yang tinggi kerana seperti yang disebutkan, Dimensity bukanlah jenis cip yang mempunyai banyak driver support.
Tetapi, Dimensity 8500 masih lagi ada sedikit kuasa. Dengan menggunakan GameHub, saya cuba untuk membuka permainan video Crysis (versi 2007, bukan yang baharu), dan ternyata, ia boleh main (sedikit).

Ternyata Dimensity kini punya kuasa, dan melebihi (sedikit) jangkaan saya. Jika Dimensity 8500 sudah berkuasa seperti ini, bagaimana pula Dimensity 9500 kan?
Sepanjang saya bermain dengan POCO X8 Pro ini, suhunya hanya suam dan tidak pernah panas sehingga membakar tangan (saya melihat kamu, iPhone 13). Ya, anda boleh bermain telefon ini dengan selamat selama sejam tanpa perlu risau akan suhunya.
Spesifikasi Lain POCO X8 Pro
Skrin: 6.59 inci, OLED 120hz, dengan kecerahan sehingga 3500 nits. Skrin sangat jelas dan terang. Viewing angle bukanlah yang terbaik, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan iPhone 13 (saya sedang menggunakan iPhone 13) yang dilancarkan pada tahun 2021, tetapi masih lagi boleh diterima. Juga, tiada masalah untuk menggunakannya di bawah matahari.
OS: Android 16 dengan ‘saduran’ HyperOS 3.0. Penuh dengan bloatware, tetapi masih lagi smooth dan snappy seolah memakai telefon yang lebih mahal. Terasa sedikit seperti iOS. Setakat ini, tiada lag ketika scrolling dalam mana-mana aplikasi. Sejujurnya, ‘feel’ dia hampir polished.

Speaker: ‘Speaker’ stereo. Kualiti bunyinya sangat sedap dan kuat, tetapi kurang sedikit dari segi bass. Walaupun tidak sebaik ‘speaker’ stereo pada iPhone, tetapi amat memuaskan untuk sebuah telefon midrange.
Bateri: Besar (6,500 mAh) dengan pengecasan pantas 100W. Telefon ini mampu bertahan seharian tanpa cas, dengan penggunaan WiFi dan mod bateri ultimate. Dengan tetapan mod bateri balanced, refresh rate 60hz, dan penggunaan yang minima seperti melayari internet dan media sosial, mendengar lagu menggunakan fon telinga Bluetooth, dan sedikit permainan video, saya boleh mendapat hayat bateri selama sehari setengah. Masih mantap.

Kamera: 50MP kamera utama, 8MP ultrawide, dan 20MP kamera selfie. Kamera-kamera ini okey sahaja dan cukup jelas jika anda ingin mengambil apa-apa gambar, tetapi jangan sangkakan “dynamic range” taraf iPhone. Rakaman video juga biasa-biasa sahaja.
Jika ingin mengambil gambar dengan kualiti penuh 50MP, mod itu perlu diaktifkan di dalam aplikasi ‘Camera’ dahulu sebelum mengambil gambar, tetapi anda tidak boleh zoom ketika menggunakan mod ini. Bagi saya, perbezaan kualiti antara mod 50MP dengan mod asal (12.5MP) tidaklah ketara. Jadi, tidak wajib untuk mengaktifkan mod ini.
Sampel Gambar Dari POCO X8 Pro
Internet: WiFI 6 dan 5G. Setakat ini, tiada masalah sambungan. Jadi, bolehlah tengok video kucing 4k di YouTube.
USB-C: USB 2.0. Walaupun ia mempunyai storan UFS 4.1 yang laju, kelajuan type-C USB 2.0 yang menjadi penghalang jika anda mahu membuat backup segala gambar-gambar dari telefon ini ke komputer anda melalui wayar. Kelajuannya amatlah perlahan. Tiada “output support” ke HDMI juga. Jika anda amat mementingkan kelajuan USB port, telefon ini bukanlah untuk anda. Lebih baik anda mencari ex-flagship.
IP Rating: IP66/IP68/IP69/IP69K. Banyak tu. Jadinya tidak ada masalah kalau mahu bawa masuk ke atau terjatuh dalam air.
Ciri tambahan: “Back light effects”. Lampu di bahagian kamera. Bagi saya, ini hanyalah satu gimik, tetapi sedikit mantap. Juga boleh digunakan untuk menjadi penanda masuk notifikasi.

Kesimpulan
POCO X8 Pro adalah sebuah telefon yang baik dalam segmen midrange, menyajikan spesifikasi yang mencukupi seperti storan UFS 4.1 yang laju, RAM 12GB LPDDR5X, speaker yang sedap, skrin 120hz yang cukup jelas, bateri yang cukup besar, dan chipset yang cukup berkuasa.
Bagi seorang Snapdragon fanboy, kini kurang kesangsian saya terhadap MediaTek. Dengan mudahnya, saya boleh mengesyorkan telefon ini kepada gamers kerana anda tidak akan ada masalah dengan sesi permainan video yang berpanjangan.
Juga sesuai kepada yang mahu telefon ‘gaming’ dengan rekaan yang tidak nampak terlalu ‘gaming’ seperti jenama RedMagic atau siri F POCO.
Pada akhirnya, ia masih lagi hanya untuk gamers (dan juga kepada sesiapa yang tidak kisah dengan kamera yang biasa-biasa sahaja). Jika anda seorang gamer, POCO X8 Pro perlu ada dalam radar anda.
{suggest}










