(Ulasan) narzo 50, narzo 50 Pro - Kembar Seiras Tapi Tak Serupa

realme telah melancarkan 2 peranti baharu dalam barisan narzo , narzo 50 5G dan narzo 50 Pro 5G pada Mei lepas. Siri narzo daripada realme merupakan barisan peranti yang memfokuskan prestasi gaming berbanding siri yang lain.

Selain menggunakan cip yang berbeza, kedua-dua peranti ini mempunyai bateri bersaiz 5,000mAh, pembesar suara stereo, sokongan kadar segar semula 90Hz dan kamera utama 48MP yang sama.

Oleh itu, saya akan memberikan ulasan ringkas tapi padat berdasarkan prestasi, kelebihan dan kekurangan yang saya rasa ketika menggunakan peranti-peranti ini.

Prestasi


Narzo 50 5G

realme narzo 50 5G telah diuji dalam kemampuannya mengendalikan permainan mudah alih yang dipilih seperti Asphalt 9 yang mempunyai keperluan grafik yang tinggi dan World of Tank Blitz yang merupakan sebuah permainan multi-pemain yang ada di luar sana.



Dalam Asphalt 9, narzo 50 5G dapat mampu menyokong permainan mudah alih ini pada tetapan grafik tertinggi tanpa sebarang masalah seperti lagging, kejatuhan kadar bingkai per saat mahupun suhu peranti naik dengan mendadak.



Tambahan lagi, Asphalt 9 merupakan permainan mudah alih dengan saiz yang besar, keperluan grafik dan pemprosesan yang tinggi. Selain itu, peranti ini juga diuji melalui WoT Blitz yang merupakan satu permainan mudah alih bertemakan multi-permain.

Saya hendak ingatkan bahawa pembangun permainan yang bertemakan multi-pemain ini sudah mengoptimumkan permainan mereka yang menyokong peranti dalam semua kelas.

narzo 50 5G berjaya memberi saya pengalaman dalam permainan WoT Blitz yang lancar, berterusan dan selesa. Hal ini demikian, kenaikan suhu dan haba yang terhasil agak minimum dan tidak keterlaluan pada pendapat saya.

Narzo 50 Pro 5G

Untuk memberikan perbandingan yang saksama antara kedua-dua peranti ini, realme narzo 50 Pro 5G juga telah diuji prestasinya dalam permainan mudah alih Asphalt 9 dan WoT Blitz.



Pertamanya, biarpun dalam tetapan tertinggi untuk permainan Asphalt, WoT atau mana-mana permainan mudah alih yang sama, narzo 50 Pro 5G mampu dan tiada sebarang masalah dalam mengendalikannya.



Sama seperti adiknya narzo 50, peranti ini memberikan saya pengalaman permainan yang cekap, jelas dan membantu saya terus terleka bermain game tanpa sedar waktu telah lama berlalu.

Secara amnya, narzo 50 Pro 5G ini sememangnya dapat "makan" mana-mana permainan mudah alih yang digilai ramai di luar sana seperti Mobile Legends, PUBG Mobile, Free Fire, COD Mobile dan seangkatan dengannya.

Bateri


Kedua-dua peranti ini dilengkapi dengan bateri dengan saiz yang sama 5,000mAh. Biarpun narzo 50 dan narzo 50 Pro mempunyai saiz skrin dan jenis skrin yang berbeza, kedua-dua peranti ini mempunyai prestasi bateri yang hampir sama.

narzo 50 5G menggunakan skrin IPS LCD pada saiz 6.6 inci manakala narzo 50 Pro 5G menggunakan skrin Super AMOLED berukuran 6.4 inci.

Keseluruhannya, saya sangat berpuas hati dengan waktu penggunaan kedua-dua peranti siri narzo 50 ini selama saya menggunakannya.

Secara purata, pada kapasiti bateri penuh saya dapat waktu penggunaan untuk bermain permainan mudah alih sekitar 4 jam. Masa tersebut lebih cukup malahan memang lama jika digunakan untuk bermain game dalam satu hari.

Terdapat satu perkara yang menarik di mana realme Narzo 50 5G memerlukan masa pengecasan bateri yang tidak kurang cepatnya sekitar 1 jam walaupun saya mengharap masa pengecasan yang lebih pantas lagi dengan kemampuan pengecas 33W yang disertakan bersama di dalam kotak.



Berbeza pula dengan versi pro kerana pengecasan pantasnya memang seperti apa yang dinyatakan oleh realme. Daripada kapasiti 25% hingga ke pengecasan penuh, realme narzo 50 Pro 5G hanya memerlukan masa sekitar 40 minit sahaja.

Bukan hanya realme narzo 50 5G sahaja, malahan realme 9 Pro+ Free Fire Edition juga mempunyai masalah pengecasan yang lambat walaupun pengecasnya mempunyai kemampuan "Watt" yang tinggi.

Fizikal dan Dimensi


narzo 50 5G dan narzo 50 Pro 5G mempunyai rekaan yang unik antara satu sama lain dengan keserasian corak pada panel belakang mereka. Mungkin ini merupakan identiti yang diterapkan realme pada peranti dalam siri narzo mereka.

narzo 50 Pro 5G mempunyai binaan yang melengkung pada sisi sekelilingnya. Selain itu, saiz dan beratnya cukup seimbang benar-benar muat ditangan saya. Oleh itu, versi pro ini mempunyai dimensi yang sangat mesra untuk penggunaan satu tangan.



Sementara itu, narzo 50 5G menampilkan rekaan yang berbeza dengan mendukung binaan sisi dan sekeliling yang tajam. Fizikal ini seakan-akan sama seperti binaan peranti iPhone generasi terkini.

Binaan ini mempunyai keunikan tersendiri kerana ia lebih mencengkam dan stabil apabila dipegang atau sedang bermain permainan mudah alih. Tambahan lagi, saya berasa lebih yakin pada satu-satu peranti jika ia datang dalam binaan seperti ini.

Kamera


Dari segi kamera, kedua-dua peranti narzo ini mempunyai kamera utama 48MP. Walau bagaimanapun, narzo 50 Pro 5G mempunyai kamera ultra lebar 8MP dan kamera makro 2MP sementara narzo 50 5G hanya mempunyai kamera kedalaman 2MP.

Berikut di bawah merupakan perbandingan tangkapan gambar oleh kedua-dua peranti pada tempat yang sama dengan pelbagai mod:

Kamera (mod biasa):



Kamera (mod potret):



Kamera waktu malam (mod biasa):





Kamera swafoto (mod biasa):


Kesimpulan


Kedua-dua peranti dalam siri narzo 50 ini lebih banyak persamaannya berbanding perbezaan yang sedia ada. Kemampuan narzo 50 Pro juga ada pada narzo 50 dalam mengendalikan permainan-permainan yang telah diuji pada kedua-duanya sebelum ini.

Jika kita menilai dengan lebih teliti seperti ujian Geekbench 5 untuk kedua-dua peranti ini, sudah tentu kita dapat melihat perbezaannya.



Walau bagaimanapun, perbezaan itu tidak ketara mahupun kelihatan untuk saya bezakan prestasi yang diberikan kedua-dua abang dan adik narzo ini.

Tambahan lagi, saya mendapat masa penggunaan yang peranti ini yang tidak jauh bezanya juga di mana sekitar 4 jam jika bermain permainan mudah alih. Cukup memberangsangkan bagi saya yang merupakan seorang pemain yang kasual.

Hal ini demikian, masing-masing mempunyai saiz bateri yang sama walaupun versi pro menggunakan skrin jenis Super AMOLED berbanding panel IPS LCD pada adiknya. Secara amnya, skrin jenis AMOLED menggunakan kuasa lebih banyak berbanding panel LCD.

Kapsyen: narzo 50 Pro vs narzo 50


Selain itu, saya berasa janggal apabila realme memadankan skrin yang kecil kepada peranti versi pro mereka dalam siri narzo ini. narzo 50 5G mempunyai skrin berukuran 6.6 inci manakala versi pro pula dipadankan skrin yang lebih kecil 6.4 inci.

Kebiasaannya, skrin yang besar ini selalu kita lihat pada peranti andalan dalam siri sesebuah telefon pintar seperti versi pro.

Namun, setelah menggunakan peranti narzo yang biasa dan versi pro, saya berpendapat realme mahu menerapkan ciri estetika, ergonomik dan elegan dalam versi pro siri Narzo mereka ini.

Hal ini kerana, realme narzo 50 Pro 5G mempunyai saiz yang cukup sesuai, serasi dan sepadan dengan purata tangan pengguna. Saiznya tidak terlalu besar mahupun terlalu kecil akan tetapi cukup sempurna apabila menggunakannya.

"Kecil-kecil cili api", narzo 50 Pro 5G ini tetap padat dengan kuasa pemprosesan yang baik dan cekap. Berbeza pula dengan adiknya, narzo 50 5G yang didatangkan dengan saiz yang lebih besar, lebar dengan binaan yang berbucu dan tajam disekeliling sisinya.

Perkara ini menampakkan peranti ini mungkin direka khas untuk mereka yang mementingkan keselesaan dan kecekapan pegangan tangan semasa bermain permainan mudah alih pada peranti ini.

Kedua-dua peranti ini mempunyai perbezaan harga RM100 sahaja di mana itu cukup minimum dan tidak ketara,  saya mengesyorkan anda untuk memilih peranti narzo yang dapat memberikan anda ekspresi pertama yang positif.

Jika anda selesa dengan realme narzo 50 5G, saya menggalakkan anda untuk membelinya dan sebaliknya jika ia adalah narzo 50 Pro 5G. Telefon pintar narzo ini cukup sesuai bagi mereka yang mencari peranti gaming bajet, peranti kedua kegunaan harian mahupun untuk penghantar makanan.

narzo 50 5G

Beli jika:

  • anda mempunyai bajet telefon gaming sekitar RM1000

  • anda menyukai binaan dan reka bentuk yang berbucu dan tajam disisinya


Jangan beli jika:

  • anda tidak mempunyai bajet lebihan untuk membeli pengecas pihak ketiga yang lebih pantas

  • mempunyai bajet melebihi RM1000


narzo 50 Pro 5G

Beli jika:

  • anda menyukai reka bentuk yang seimbang dan minimalis

  • anda seorang gamer yang sedang mencari peranti gaming yang seterusnya

  • anda menggunakan telefon pintar dalam penggunaan satu tangan.


Jangan beli jika:

  • anda sedang mencari telefon pintar bersaiz besar

  • anda mempunyai bajet bawah RM1000


Baca juga: