Konsol permainan mudah alih kini makin banyak di pasaran, termasuk Malaysia. Lenovo juga tidak ketinggalan dalam arena ini dengan memperkenalkan Legion Go S, yang mana pengganti Legion Go sebelum ini.
Ia diletakkan pada harga RM3,299 untuk pasaran tempatan. Model yang saya gunakan ini adalah menjalankan Windows 11 yang mana satu ketika dahulu semasa ROG Ally, saya tidak gemar peranti dengan Windows ini.
Adakah Legion Go S ini boleh menambat hati saya semula? Teruskan membaca.
Rekaan
Legion Go S tampil dengan rekaan lebih ringan dan kompak berbanding model asal. Reka bentuk melengkung dengan tekstur sedap pada bahagian grip menjadikannya lebih selesa untuk digunakan dalam sesi permainan panjang.
Walaupun sedikit kecil, konsol ini masih mengekalkan paparan berkualiti dengan panel 8-inci FHD+ (1920 x 1200), kadar segar semula 120Hz dan kecerahan puncak 500 nits. Skrin ini cukup tajam untuk permainan AAA mahupun indie.
Spesifikasi dan prestasi
Model yang masuk ke Malaysia hadir dengan 16GB RAM LPDDR5X-6400 (soldered) dan storan 512GB SSD PCIe 4.0. Kuasa ini cukup untuk kebanyakan permainan moden, walaupun pemain tegar mungkin perlu tambah storan luaran untuk perpustakaan permainan yang besar.
Bateri 55.5Whr mampu bertahan sekitar tiga hingga empat jam untuk permainan ringan, tetapi sekitar dua jam untuk permainan AAA. Dari segi sambungan, Legion Go S menawarkan Wi-Fi 6E, Bluetooth 5.3 serta dua port USB-C dengan sokongan DisplayPort dan pengecasan pantas.
Kelebihan dan kekurangan
Dari segi kelebihan, Lenovo Legion Go S menonjol dengan rekaan yang lebih ringan serta ergonomik. Konsol ini lebih selesa digenggam untuk tempoh panjang berbanding model asal kerana bentuknya yang melengkung dan hadir dengan tekstur anti-licin pada bahagian pemegang.
Selain itu, ia dilengkapi paparan FHD+ bersaiz 8 inci dengan kadar segar semula 120Hz yang menjadikan pengalaman bermain lebih lancar, terutama untuk judul kompetitif.
Resolusi yang ditawarkan pada saiz ini memang sudah cukup cantik untuk tatapan mata.
Namun begitu, terdapat beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian. Sistem operasi Windows 11 yang digunakan tidak dioptimumkan sepenuhnya untuk skrin kecil, menyebabkan navigasi kelihatan agak berserabut melainkan pengguna membuat penyesuaian manual.
Prestasi permainan tidaklah teruk jika menetapkannya pada 1080p dengan campuran tetapan medium. Akan tetapi, kebanyakan masa saya rasa prestasinya kurang memuaskan.
Selain itu, sistem penyejukan konsol ini boleh mengeluarkan bunyi kipas yang sangat kuat apabila bermain permainan berat, dengan risiko thermal throttling yang berpotensi menjejaskan prestasi.
Satu lagi kelemahan ialah trackpad yang terlalu kecil, sehingga kurang praktikal untuk digunakan dan lebih sesuai dianggap sebagai elemen tambahan berbanding alat kawalan utama.
Mungkin disebabkan faktor saiz, ia dibuat sebegitu. Jadi bagi saya, sekiranya tiada ruang untuk letak, lebih baik tidak perlu letak langsung trackpad itu.
Namun, kalau kita lihat Steam Deck, perkara sebegini tidak menjadi masalah. Ia tetap hadir dengan dua trackpad yang besar serta boleh digunakan dengan selesa.
Kesimpulan
Lenovo Legion Go S masih menawarkan prestasi yang baik. Ia sesuai untuk pemain yang mahu pengalaman PC gaming mudah alih dengan sistem operasi Windows penuh, sambil mengekalkan paparan berkualiti dan rekaan ergonomik.
Bagaimanapun, model ini juga ada varian SteamOS yang bagi saya, konsol permainan mudah alih sepatutnya perlu menjalankan sistem operasi khusus untuk gaming.
Memang benar SteamOS bukanlah sempurna tetapi apabila kita sebut “handheld gaming PC”, ia seharusnya mesra pengguna. Nintendo sendiri telah membuktikannya.
Pada ketika saya menulis ini, ROG Xbox Ally akan dilancarkan tidak lama lagi dan saya ternanti-nanti apa yang Microsoft cuba sampaikan. Oleh yang demikian, selagi mana sistem operasi pada konsol PC mudah alih ini tidak dioptimumkan, saya memang tidak berminat.
Namun, ini adalah pendapat peribadi saya sahaja. Anda mungkin berbeza.
{suggest}