(Ulasan) Lenovo Legion Go - Cukup Berkuasa Tapi Kurang Sesuai Dibawa

Bagi anda yang telah arif tentang kewujudan konsol mudah alih seperti Steam Deck, MSI Claw, Asus ROG Ally dan lain-lain yang berkait, ia secara umumnya direka untuk penggunaan secara pegangan tangan di kawasan terbuka ataupun rekreasi seperti di taman, tepi pantai dan sebagainya.

Namun begitu, produk konsol mudah alih daripada Lenovo iaitu Legion Go ini telah memberikan satu pengalaman baharu yang agak menarik kepada saya sebagai seorang pemain permainan bergenre FPS dan saya rasa ia merupakan sesuatu yang perlu dicuba oleh khalayak ramai.

Oleh yang demikian, saya akan berkongsikan pengalaman bermain pelbagai jenis permainan dengannya serta memberikan gambaran prestasi yang mampu diserlahkan melalui peranti Legion Go ini.

Spesifikasi


Cip: AMD Ryzen Z1 Extreme

Memori: 16GB RAM LPDDR5X

Storan: 1TB PCIe 4.0

Grafik: AMD Radeon RDNA

Sistem operasi: Windows 11 Home

Skrin: QHD+, 2560 x 1600, 8.8 inci, 144Hz

Bateri: 49.2 WHr, Super Rapid Charge, alat kawalan (900mAh)

Pusat hab: Legion Space

Lain-lain: Dua slot USB-C 4.0 DisplayPort, satu slot MikroSD 2TB, Bluetooth 5.2, WiFi 6E

{suggest}

Reka Bentuk




Untuk pengetahuan anda, Legion Go ini hadir dengan satu pilihan warna sahaja iaitu hitam sepenuhnya dan daripada pengalaman menggunakannya, saya boleh katakan ia adalah sebuah peranti konsol mudah alih yang agak berat dan besar jika mahu dibandingkan dengan jenis produk yang sama iaitu ROG Ally.

Pada bahagian belakangnya pula disertakan tulisan logo 'Legion' serta kaki dirian yang mana saya sarankan anda untuk tidak membukanya secara kasar dan meluas kerana bukaannya seperti tiada penghujung. Bahan yang digunakan juga rasa seperti diperbuat daripada plastik yang mudah patah.



Tambahan lagi, ia juga hadir dengan satu slot bicu audio di bahagian atas panel monitornya yang mana ia akan membantu dari sudut pendengaran output bunyi melalui fon telinga ataupun fon putik.

Hal ini kerana output bunyi yang dikeluarkan daripada dua pembesar suara stereo Legion Go ini tidak memuaskan hati saya dan saya yakin anda juga akan katakan perkara yang sama. Apabila video atau lagu dimainkan, bunyinya kedengaran sangat nyaring dan seakan-akan pecah apatah lagi jika digunakan sewaktu bermain permainan.

Selain itu, Legion Go ini juga dilengkapi dengan satu kelainan pada alat kawalannya dan dalam masa yang sama telah menjadi satu tarikan utama sewaktu produk ini dilancarkan iaitu alat kawalan yang boleh dicabut untuk kegunaan secara santai dan fleksibel serta mod FPS.



Sehubungan dengan itu, jumlah butang untuk kedua-dua alat kawalan ini adalah 24 butang secara keseluruhannya termasuk sekali dengan right stick (RS) dan left stick (LS).

Pengalaman menggunakannya adalah sangat mencabar bagi saya kerana jari-jari saya sering tertekan butang yang tidak sepatutnya ketika sesi permainan berlangsung.

Hal ini mungkin terjadi kepada saya yang disebabkan oleh saiz telapak tangan terlalu besar dan ia mungkin tidak bermasalah bagi mereka yang mempunyai saiz tapak tangan yang kecil.

Alat kawalannya juga dilengkapi dengan lampu LED di sekeliling butang RS dan LS yang mana ia akan memberikan maklumat tentang status bateri alat kawalan sahaja.



Apabila lampu itu tidak berkelip dan menyala pada keadaan pegun, jumlah baterinya adalah pada tahap 100 peratus hingga 90 peratus. Sekiranya lampu berkelip laju, status baterinya adalah pada bawah 30 peratus.

Sekiranya anda mahu dalam bentuk nilai nombor, anda boleh menekan butang Legion Space mini di alat kawalan sebelah kanan untuk melihat status bateri semasa untuk alat kawalan dan juga panel monitor.


Prestasi


Untuk bahagian prestasi permainan Legion Go ini, saya telah selaraskan penggunaan grafik kepada tetapan yang paling tinggi untuk peranti dan dalam permainan dari sudut kadar bingkai per saat (FPS), kadar segar semula monitor dan mod prestasi Legion Go itu sendiri.

Hal ini bertujuan untuk memberikan anda gambaran tentang potensi sebenar produk konsol mudah alih daripada syarikat Lenovo ini.

Permainan pertama yang saya jadikan sebagai ujian penanda aras untuk menguji prestasi grafik dan FPS Legion Go ini adalah permainan Genshin Impact.

Sepanjang pengalaman saya bermain pada tetapan tinggi (high), ia kelihatan lancar dan jelas tanpa sebarang tersekat-sekat dari sudut pergerakan karakter dan suasana dalam permainan sewaktu melakukan penerokaan dunia pada sesuatu kawasan.





Namun begitu, kualitinya berubah apabila melibatkan pergerakan perlawanan seperti penggunaan kemahiran yang melibatkan animasi karakter di dalam domain.

Saya dapat rasakan kehadiran gangguan pada animasi grafik dimana ia tersekat-sekat tapi tidak terlalu kerap dan keterlaluan sehingga mengganggu fokus semasa bermain.

Berbeza pula bagi permainan Elden Ring yang juga merupakan salah satu tumpuan pemain-pemain tegar platform PC kerana suasana dunia dalam permainan serta jalan cerita yang ditawarkannya adalah sangat bagus sehinggakan dinobatkan sebagai Permainan Terbaik Tahun 2022.

Untuk permainan yang bergrafik tinggi seperti ini, saya nasihatkan anda untuk kekal menggunakan tetapan grafik yang telah disarankan oleh permainan itu sendiri.

Hal ini kerana apabila saya mengubahnya ke tahap maksimum, pergerakan karakter, pergerakan aksi, perubahan pandangan sekeliling dan lain-lain paparan di dalam Elden Ring ini akan membuatkan grafik tidak begitu lancar.



Oleh itu, saya sarankan kepada anda yang ingin bermain permainan yang berat dari sudut grafik seperti Elden Ring ini untuk kekal menggunakan kualiti grafik yang telah ditetapkan oleh permainan itu sendiri.

Seterusnya, kita akan beralih genre permainan kepada FPS yang mana alat kawalan sebelah kanannya akan memainkan peranan penting bagi ciri tambahan ini.

Pada mulanya, anda perlu hidupkan suis mod FPS (First-person Shooter) yang terletak di bahagian bawah alat kawalan belah kanan lalu gabungkan ia dengan tapak alat kawalan magnet untuk kegunaan seperti tetikus.



Cara penggunaannya adalah sama seperti tetikus iaitu left click pada butang atas, right click pada butang bawah serta roda tatal sama seperti biasa tetapi anda akan menggunakannya dengan ibu jari.

Perbezaannya terletak pada cara pegangan tetikus itu sendiri yang menyerupai cara pegangan pistol. Mod ini saya namakan sebagai 'Gun Mode'.

Sehubungan dengan itu, anda tidak perlu risau tentang telapak tangan akan menekan butang di bahagian utama alat kawalan sebelah kanan ini kerana butang-butang itu akan dinyahaktifkan apabila mod FPS dihidupkan.

Namun begitu, perkara utama yang perlu dirisaukan adalah tetapan key binding bagi mod FPS ini kerana ia akan merumitkan sistem kawalan dalam permainan untuk beberapa permainan FPS Shooter yang melibatkan banyak penggunaan kekunci seperti Valorant.

Oleh yang demikian, konsol mudah alih Legion Go ini hadir dengan satu sistem perisian dalaman iaitu Legion Space yang mana ia menyerupai Armoury Crate, sistem perisian untuk peranti ROG Ally tetapi lebih maju.

Legion Space

Legion Space ini berperanan secara keseluruhannya sebagai pembantu pemain untuk menempatkan dan mengakses kesemua permainan mereka yang dimuat turun dalam satu platform khas.

Selain itu, ia juga mempunyai bahagian di mana anda boleh tetapkan penggunaan FPS, kadar segar semula, kelajuan kipas dan lain-lain lagi untuk kegunaan keseluruhan dan pada masa yang sama ia mampu untuk memaparkan status keadaan semasa peranti tersebut.

Tambahan pula, Legion Space ini mempunyai satu bahagian yang dinamakan sebagai Controller di mana ia berkebolehan untuk mengubah suai dan menyimpan beberapa tetapan key binding untuk dua mod alat kawalanya iaitu mod standard dan mod FPS (First-person Shooter).



Apa yang boleh saya simpulkan tentang kaedah penggunaan yang cuba disampaikan oleh pihak Lenovo ini adalah pengguna pada awalnya akan menetapkan key binding bagi setiap permainan mengikut keselesaan mereka melalui perisian Legion Space.

Apabila tiba masa mereka mahu bermain sesuatu permainan itu, pengguna akan menekan butang Legion Space mini di alat kawalan sebelah kanan untuk mengubah fail tetapan key binding yang telah diubah suai untuk permainan yang sedang dimainkan.

Walaupun kaedah ini umpama satu kemudahan bagi pemain-pemain di luar sana, tetapi bagi saya ia adalah satu ciri yang agak menyusahkan dan merumitkan.

Dari sudut pandangan saya sebagai seorang pemain tegar permainan-permainan yang memerlukan banyak penggunaan keycap seperti Valorant dan Apex Legends, ia lebih sistematik dan tersusun untuk menetapkan key binding melalui tetapan dalam permainan itu sendiri supaya pemain lebih mudah untuk ingat dan selesakan diri dengan cara permainan.

Paparan status penggunaan Legion Go yang saya telah sertakan sebagai salah satu ciri dalam Legion Space ini pula akan merangkumi data seperti peratus penggunaan CPU, GPU, suhu semasa, jumlah bateri dan sebagainya.



Berbalik semula kepada permainan Valorant, pengalaman bermainnya adalah sangat lancar tanpa ada sekatan animasi dari sudut perubahan pandangan apabila berjalan, tembakan pistol, memeriksa senjata dan lain-lain lagi.



Hal ini telah pun saya jangka kerana Valorant bukanlah sejenis permainan FPS Shooter yang memerlukan penggunaan grafik yang terlalu tinggi untuk beroperasi.

Oleh yang demikian, saya telah mencuba permainan FPS Shooter lain yang memerlukan penggunaan grafik yang lebih tinggi iaitu Apex Legends.

Bagi anda yang tidak mengenali permainan ini, Apex Legends merupakan sejenis permainan battle royale dalam sebuah kawasan yang besar dan luas serta digandingkan dengan unsur-unsur kehidupan seperti haiwan, raksasa, gerakan pokok apabila ditiup angin, percikan air dan lain-lain lagi.

Sehubungan dengan itu, saya ingin memuji Legion Go ini kerana mampu untuk memberikan pengalaman permainan yang stabil dari sudut animasi kemahiran, pergerakan karakter, perubahan pandangan kawasan sekitar dan lain-lain.





Walau bagaimanapun, para pemain Apex Legends yang bermain melalui platform konsol seperti PlayStation dan Xbox ataupun anda merupakan seorang pemain yang menggunakan alat kawalan untuk platform PC, saya sarankan anda untuk kekal cara permainan itu dan tidak menggunakan mod FPS bagi platform Legion Go ini.

Hal ini kerana mod FPS ini seperti direka khas untuk kegunaan permainan FPS Shooter yang tiada aim assist seperti Valorant. Kenyataan ini saya buat daripada pemerhatian dan pengalaman saya ketika menggunakannya.

Untuk pengetahuan anda, aim assist dalam bahasa mudahnya adalah satu ciri tambahan yang disertakan khas untuk alat kawalan bagi memudahkan pemainnya menembak dengan kurang pengalaman tekanan sentakan (recoil) dengan menyelaraskan kedudukan titik silang pada sesuatu objek dalam permainan.

Tekanan sentakan pula adalah tekanan yang terhasil daripada tembakan sesuatu pistol ataupun senapang sehingga mampu mengubah kedudukan asal sesuatu pistol itu daripada kekal di pegangan tangan. Bukan sahaja dalam permainan malah ia tetap berlaku di dunia sebenar.

Untuk mengatasi tekanan sentakan itu, anda perlu tarik tetikus ke arah bawah sedikit sambil melepaskan tembakan untuk selaraskan kedudukan peluru yang ditembak.

Bagi anda yang beranggapan ciri aim assist ini sebagai sesuatu perkara yang patut dicemburui, itu adalah satu tanggapan yang salah kerana pemain-pemain FPS Shooter yang menggunakan alat kawalan akan mengalami masalah besar dari sudut penyesuaian pergerakan karakter yang mana ia mudah untuk dipraktikkan oleh pemain tetikus dan papan kekunci (MnK) seperti wall jump, reverse slide, tap straffing dan sebagainya.

Graf Prestasi


Bagi anda yang masih lagi ragu-ragu dengan prestasi Legion Go ini, saya telah menyediakan carta graf untuk rujukan bersama di mana ia mengandungi rekod status suhu dan jumlah penggunaan bateri bagi penggunaan yang melibatkan permainan serta tontonan video selama 30 minit.



Antara aspek yang disamakan untuk mendapatkan keputusan dalam carta graf di atas adalah sistem operasi, TDP (Thermal Design Power) dan kualiti paparan monitor yang dipertingkatkan kepada mod Performance.

Selain itu, pengehad FPS juga dinaikkan sehingga 144fps dan paparan monitor ditetapkan untuk penggunaan kadar segar semula 144Hz pada resolusi 2560 x 1600.

Walaupun suhu yang tercatat paling tinggi adalah daripada penggunaan permainan bergrafik tinggi, iaitu 75 darjah celcius, saya ingin memuji sistem penyejukan ColdFront bagi Legion Go ini kerana mampu untuk mengurangkan suhu ke tahap yang stabil dalam masa tidak lebih daripada 10 minit.

Kekurangannya pula adalah bunyi kipasnya yang terlalu kuat apabila berada pada mod kelajuan penuh (full speed) sehingga mengganggu keadaan sekeliling.

Kesimpulan


Secara kesimpulannya, jika anda merupakan seorang individu yang mampu membelanjakan sebanyak RM3,699 (harga permulaan) untuk konsol mudah alih daripada Lenovo ini, saya sangat menyokong keputusan anda.

Walaupun anda akan alami beberapa kekurangan semasa menggunakannya seperti bateri sedikit macam "air", bunyi kipas penyejuk yang kuat dan bunyi pembesar suara yang kurang memuaskan, peranti ini adalah salah satu teknologi mudah alih yang sesuai bagi mereka yang sering merantau ke luar tetapi mahu bermain permainan juga.

Hal ini kerana saya sering beranggapan bahawa Legion Go ini direka khas untuk penggunaan dalam bilik ketika bercuti sepanjang tempoh penggunaannya berbanding penggunaan secara mudah alih seperti di dalam restoran ataupun tepi kolam.

Salah satu penyebabnya adalah alat kawalan yang boleh dicabut dan panel monitor yang berat serta dilengkapi dengan kickstand untuk "mendirikannya".

Tambahan pula, sistem operasi pada Legion Go ini juga jauh lebih baik sehingga mengatasi Asus ROG Ally dalam banyak aspek yang membuatkannya lebih berbaloi untuk dimiliki.

Beli Lenovo Legion Go di Shopee - https://invl.io/clkql90