iPhone 16 sudah pun sebulan di pasaran Malaysia di mana model yang berada bersama saya adalah warna ultramarine, warna yang menjadi tumpuan semasa ia diperkenalkan tempoh hari.
Jujur dikatakan, warna ini memang cantik. Namun, ini bukanlah perkara utama untuk dibincangkan kerana iPhone 16 yang saya gunakan ini ada beberapa perkara menarik dan ada juga yang kurang.
Rekaan
Pertama sekali, saya mahu mengatakan yang telefon ini memang ringan sekiranya nak dibandingkan dengan model pro. Ini kerana kameranya tidaklah besar sangat. Jangan salah faham kerana ringannya masih terasa premium bila digunakan dan bukanlah ringan yang murah.
Sekiranya kita banding dengan model iPhone 15 tahun lalu, kita dapat lihat modul kamera dia dah lain. Ia ibarat iPhone X sebelum ini. Ya, saya setuju dengan pendapat orang lain di luar sana. Ada orang suka rekaan sebegini dan ada yang tidak minat, tetapi bagi pendapat saya sendiri, modul kamera pada model tahun lepas lagi lawa.
Satu lagi perkara baharu dan menjadi bualan orang adalah ‘camera control’ atau butang kamera pada sisi kanannya. Ia bukan butang semata-mata tetapi ia ibarat gabungan butang dan haptik.
Pada mulanya menarik tetapi ada sedikit kekurangan. Ini saya akan terangkan pada bahagian kamera nanti.
Skrin
Seperti yang kita tahu, skrin iPhone 16 tidak mengalami sebarang perubahan berbanding tahun-tahun sebelum ini, di mana Apple menawarkan skrin berukuran 6.1 inci dengan kadar segar semula 60Hz sahaja. Saya ulangi, 60Hz, untuk sebuah telefon yang berharga lebih RM4,000 pada tahun 2024 ini.
Saya berharap ini adalah model terakhir iPhone dengan kadar segar semula seperti ini. Mungkin disebabkan model standard semakin pro, kalau Apple memberikan 120Hz, ia mengganggu jualan model pro mereka. Saya tidak menafikan bahawa secara amnya, kualiti skrinnya memang tepat dan cantik ketika digunakan untuk permainan mudah alih atau menonton Netflix. Tambahan pula, bezel yang nipis memberikan pengalaman tontonan yang lebih imersif.
Namun, bagi pengguna yang sebelum ini menggunakan telefon dengan kadar bingkai sesaat (fps) yang tinggi, anda mungkin akan merasakan perbezaan dari segi pengalaman penggunaan.
Tetapi antara yang menarik pada skrin iPhone 16 kali ini adalah ia menyokong kecerahan minimum hingga 1 nit, menjadikannya lebih malap berbanding mana-mana iPhone sebelum ini. Bagi saya, ini sangat sesuai untuk pengguna yang sering menggunakan telefon dalam keadaan gelap.
Bagaimanapun, nasihat saya, janganlah menggunakan telefon dalam keadaan gelap kerana ia tidak baik untuk kesihatan mata anda.
Bateri
Mari kita bercakap tentang bateri. Apple baru-baru ini mendakwa dan berbangga mengenai peningkatan prestasi bateri pada iPhone 16. Jika diikutkan, model iPhone sebelum ini dipadankan dengan kadar pengecasan yang agak rendah berbanding telefon lain.
Namun, kali ini Apple memberikan sokongan pengecasan pantas sehingga 45W kepada iPhone 16. Berdasarkan pengalaman penggunaan saya, saya dapat mengecas sekitar 45% bateri dalam tempoh 30 minit sahaja, yang sememangnya laju untuk sebuah iPhone.
Masa SOT (Screen On Time) yang saya peroleh dari cas penuh adalah sekitar 6 hingga 7 jam, dengan aktiviti paling banyak adalah bermain Mobile Legends, menonton filem di Netflix sedikit dan lain-lain. Bagi saya, jika saya mengurangkan penggunaan permainan mudah alih, iPhone 16 ini boleh memberikan SOT yang jauh lebih lama.
Prestasi
Berbanding model standard tahun-tahun sebelum ini, iPhone 16 adalah yang pertama sekali diberikan cip khusus iaitu A18, dan bukannya menggunakan cip kitar semula yang digunakan oleh model Pro terdahulu. Apa yang membuatkan saya suka akan cip ini adalah ia lebih berkuasa, lebih cekap tenaga, dan ia menyokong Apple Intelligence apabila ia dilancarkan nanti (ketika artikel ditulis, AI masih belum tersedia).
Setakat ini, tiada isu jika saya ingin bermain permainan mudah alih, dan serius, Apple — bab prestasi memang saya sendiri tidak boleh nafikan.
Apple Intelligence
Ini salah satu elemen penting yang tidak hadir atau absen dalam iPhone 16 ini. Jangan salah sangka, saya memang gembira dan menghargai bahawa model standard ini akan dapat menggunakan Apple Intelligence. Namun sayangnya, Apple tidak menyajikan ciri tersebut serentak ketika pelancaran model ini.
Kita tahu yang iOS 18.1 akan membawa ciri ini tetapi hanyalah sebahagian sahaja. Ciri lain akan dilancarkan pada iOS 18.2 dan juga seterusnya.
Kamera
Dalam model iPhone 16 ini, kita tahu bahawa Apple telah memberikan kamera Fusion 48MP, fotografi makro yang baharu, dan yang saya tidak sangka adalah ciri Camera Control. Pada awalnya, saya ingatkan ciri itu akan dibuat eksklusif untuk model Pro, tetapi tidak.
Selain itu, Apple juga telah menambah baik ciri photographic style, di mana ia memberikan pilihan yang lebih komprehensif dan fleksibel tentang bagaimana pengguna profesional boleh memilih hasil gambar yang mereka mahukan.
Satu lagi ciri yang saya tidak sangka ada pada model ini adalah Audio Mix. Jujur, Audio Mix ini memang sangat membantu saya, kerana kita boleh menyesuaikan kualiti audio dalam rakaman video mengikut keperluan dan keinginan kita seperti dalam studio, sinematik, standard atau pun in-frame.
Jadi, jika kita merakam di luar dan bunyi bising agak banyak, tukar sahaja ke mod studio, secara automatik bunyi itu dapat dikurangkan. Tambahan pula, ciri ini juga menjadikan iPhone 16 sebuah mikrofon yang berkualiti sekiranya anda merakam di luar dan lupa membawa mikrofon atau memerlukan mikrofon tambahan.
Camera Control, satu ciri baharu yang dibawa oleh Apple, tetapi bagi pendapat saya seperti tiada keperluan. Dari segi fleksibiliti yang Apple letakkan pada butang ini, saya memang suka kerana anda boleh klik untuk mengaktifkan kamera, tekan untuk memilih, tekan dua kali untuk mengakses fungsi lain dalam kamera, dan jika anda tekan lama, ia akan merakam video. Ciri ini juga boleh digunakan dalam keadaan menegak.
Jika anda seperti saya dan rasa tidak mahu menggunakan ciri ini, anda boleh nyahaktifkannya terus di tetapan, dan butang itu seolah-olah tidak wujud. Tidak kisahlah jika anda tekan atau tekan lama, tiada sebarang respons kecuali dalam aplikasi kamera.
Kenapa saya kurang minat dengan butang ini adalah dari segi praktikalitinya. Kebiasaannya, kita mengambil gambar atau merakam video menggunakan satu tangan yang saya yakin ramai juga pengguna seperti itu tetapi jari telunjuk anda mungkin sukar untuk mencapai butang Camera Control.
Bagi saya, agak leceh kerana untuk menggunakan sepenuhnya Camera Control dengan efisien, anda memerlukan dua tangan. Dua tangan untuk mengakses apertur, zum dan lain-lain, yang mana anda boleh lakukan semua itu hanya pada skrin dengan satu tangan. Jadi, sebab itulah saya rasa dari segi fungsi, butang Camera Control ini dibuat memang bagus, tetapi praktikalitinya agak kurang kecuali jika tangan anda memang besar.
Kesimpulan
Ini adalah peranti Apple pertama yang saya gunakan kerana sebelum ini saya memang pengguna Android. Secara jujurnya, terdapat pengalaman penggunaan yang saya kurang minat sedikit pada Apple, seperti navigasi ketika menggunakannya dan beberapa ciri lain. Namun, entah bagaimana, saya rasa tidaklah teruk dan agak menyeronokkan, kerana apabila saya sudah terlalu lama menggunakan Android dan beralih kepada pengalaman iOS, ia memberikan satu pengalaman yang baharu, segar dan tidaklah buruk juga.
Saya kekal dengan pendapat saya di mana iPhone 16 ini adalah model standard dengan peningkatan dan penambahbaikan yang paling banyak. Bayangkan anda mendapat Action Button, bateri tahan lebih lama, Wi-Fi 7, cip A18, menyokong Apple Intelligence, pembesar suara yang baik dan banyak lagi. Nampaknya, standard itu indah boleh dipakai dalam konteks iPhone 16 kali ini.
Cuma saya harap pada model akan datang, ia akan menyokong kadar segar semula yang lebih tinggi dan tidak lagi menggunakan USB 2. Itu sahaja yang saya harapkan.
{suggest}