Tular Pelajar Panjat Pokok Untuk Dapatkan Internet, SKMM Buat Tinjauan

Baru-baru ini tular mengenai video seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS), Veveonah Mosibin yang terpaksa memanjat pokok demi mendapatkan internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian. Video yang dimuat naik pada 13 Jun lalu di platform YouTubenya, Veveonah M., telah menerima lebih 400,000 tontonan.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=-qxTyBWVLIU[/embed]

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membuat tinjauan di Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah pada 15 Jun lalu. Berdasarkan laporan tersebut, terdapat sebuah menara telekomunikasi yang memberi liputan 3G dalam lingkungan 1.4 kilometer daripada kampung itu.

[embed]https://twitter.com/SKMM_MCMC/status/1273192341419945984[/embed]

Menerusinya, ia membolehkan pelajar mengambil peperiksaan secara dalam talian. Bagaimanapun, liputan yang lebih tinggi diperlukan untuk tujuan aktiviti penstriman.

Oleh itu, sebuah menara telekomunikasi baharu berhampiran kampung itu telah dirancang dan akan dibina di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) 1. Ia dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2021.

Selain itu, bagi memberikan liputan lebih berkualiti di sekitar kawasan tersebut, SKMM juga telah membuat perancangan sejak awal tahun ini untuk menaik taraf liputan kepada 4G di bawah program Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP).