Touch ‘n Go eWallet kini memperkenalkan kad fizikal baharu yang dinamakan Visa Travel Card, dicipta khas untuk pengguna yang gemar melancong dan berbelanja di luar negara. Kad ini menawarkan pulangan tunai sehingga 3%, tiada caj tukaran asing (0% FX markup), serta satu pengeluaran ATM antarabangsa percuma setiap bulan, menjadikannya salah satu kad prabayar paling menarik di Malaysia ketika ini.
Kad Visa Travel ini merupakan versi naik taraf daripada kad Visa TNG eWallet sedia ada. Ia masih menggunakan baki yang sama dalam akaun eWallet pengguna, tetapi kini hadir dengan ganjaran tambahan dan kelebihan khas untuk transaksi luar negara.
Menurut maklumat rasmi daripada laman Touch ‘n Go eWallet, promosi ini berlangsung di bawah kempen “Pulangan Tunai Percutian Kad Visa TNG eWallet 3.0” yang bermula 15 Oktober hingga 31 Disember 2025.
Melalui kempen ini, pengguna yang berbelanja secara fizikal di luar negara menggunakan kad Visa Travel akan menikmati sehingga 3% pulangan tunai berdasarkan jumlah perbelanjaan.
Struktur ganjarannya adalah bertingkat: transaksi serendah RM2 akan menerima 0.5% cashback, pembelian RM150 ke atas mendapat tambahan 1%, manakala transaksi bernilai RM300 atau lebih akan memperoleh tambahan 1.5%, menjadikan jumlah keseluruhan pulangan tunai sebanyak 3%. Setiap ganjaran akan dikreditkan terus ke dalam akaun eWallet selepas transaksi disahkan berjaya.
Selain ganjaran pulangan tunai, kad ini turut memberikan kelebihan 0% caj tukaran asing, bermakna tiada tambahan kadar pertukaran dikenakan apabila pengguna membuat pembayaran dalam mata wang luar negara.
Bagi yang sering mengeluarkan wang tunai semasa melancong, kad ini juga menawarkan satu pengeluaran ATM antarabangsa percuma setiap bulan, dengan syarat pengguna telah membuat sekurang-kurangnya satu transaksi fizikal di luar negara dalam tempoh tersebut.
Selepas kuota percuma digunakan, caj biasa sebanyak RM10 akan dikenakan untuk setiap pengeluaran seterusnya.
Dari segi kos pemilikan, Visa Travel Card dikenakan bayaran permohonan sekali sebanyak RM15 bersama yuran penghantaran RM5, menjadikan jumlah keseluruhan RM20 (promosi daripada harga asal RM28).
Kad ini juga mempunyai yuran tahunan RM8, namun bayaran itu dikecualikan untuk tahun pertama. Semua permohonan hanya boleh dilakukan melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet, dan setiap pengguna hanya dibenarkan memiliki satu kad Visa aktif pada satu masa.
Sekiranya anda sudah mempunyai kad Visa TNG versi “Basic”, kad lama itu akan dinyahtaktifkan secara automatik sebaik sahaja Visa Travel Card diaktifkan.
Kempen cashback ini hanya terpakai untuk transaksi fizikal di luar negara, bukan transaksi dalam talian. Beberapa kategori perbelanjaan seperti tambah nilai eWallet, pengeluaran tunai, pembelian kripto, pembayaran cukai, insurans, bahan api dan perjudian turut dikecualikan daripada ganjaran cashback.
Walaupun begitu, bagi transaksi runcit biasa di luar Malaysia, pengguna boleh menikmati pulangan tunai segera tanpa sebarang had jumlah.
Bagi mereka yang berminat, kad ini boleh dimohon terus melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet di bahagian “Visa Card”. Selepas pembayaran dibuat, kad fizikal akan dihantar terus ke alamat pengguna dan perlu diaktifkan sebelum digunakan.
Selepas itu, kad boleh digunakan untuk pembayaran di mana-mana lokasi yang menerima Visa di seluruh dunia, termasuk terminal fizikal dan mesin ATM dalam rangkaian Visa Plus.
{suggest}