TikTok Shop kini memperkenalkan Polisi Pemulangan 30 Hari Percuma untuk produk berjenama tulen yang dibeli melalui TikTok Shop Mall.
Langkah ini bertujuan meningkatkan keyakinan pengguna dan memperkasa pengalaman membeli-belah dalam talian, selari dengan matlamat platform untuk membina ekosistem e-dagang yang mampan dan mesra pengguna.
Kajian dalaman TikTok Shop turut menunjukkan bahawa lebih 80 peratus pengguna membuat keputusan pembelian berdasarkan keyakinan terhadap proses selepas jualan.
Apa yang anda perlu tahu
Polisi Pemulangan 30 Hari ini hanya terpakai untuk pembelian produk berjenama tulen yang dipaparkan dengan lencana “Mall” di sebelah tajuk produk. Ini menandakan produk tersebut layak untuk perlindungan tambahan dan polisi pemulangan yang diperluaskan.
Selepas produk dihantar, pembeli mempunyai masa 30 hari untuk membuat permintaan pemulangan melalui halaman pesanan dalam aplikasi TikTok.
Pengguna boleh membuat pemulangan atas pelbagai sebab, termasuk produk yang tidak menepati keterangan, produk rosak, atau hanya sekadar tidak lagi diperlukan.
Bagi pemulangan atas sebab “tidak diperlukan lagi”, kos penghantaran pemulangan akan ditanggung oleh platform, sekali gus memberi keyakinan kepada pembeli tanpa membebankan penjual.
Walau bagaimanapun, penjual berhak menolak permintaan pemulangan jika produk dipulangkan dalam keadaan yang tidak memuaskan.
Contohnya, jika produk rosak, tidak lengkap atau tidak dikembalikan dalam bentuk asal. Oleh itu, pengguna bertanggungjawab memastikan produk dikembalikan dengan lengkap dan dalam keadaan baik.
Cara pulangkan produk di TikTok Shop (pembelian dari TikTok Shop Mall)
TikTok Shop kini membolehkan pelanggan memulangkan produk berjenama yang dibeli melalui TikTok Shop Mall dalam tempoh 30 hari selepas penghantaran. Prosesnya mudah dan mesra pengguna. Berikut langkah-langkahnya:
Buat permintaan pemulangan
- Pergi ke halaman Orders dalam aplikasi TikTok.
- Pilih pesanan yang ingin dipulangkan dan klik “Return”.
- Nyatakan sebab pemulangan dan sertakan bukti (jika perlu, seperti gambar).
Tunggu kelulusan
- TikTok atau penjual akan semak permintaan.
- Jika diluluskan, anda perlu teruskan ke langkah seterusnya.
Muat naik maklumat logistik
- Setelah permintaan diluluskan, anda ada 10 hari untuk memuat naik maklumat penghantaran produk yang dipulangkan.
- Anda boleh: hantar produk menggunakan perkhidmatan logistik yang ditetapkan, atau serahkan produk ke pusat serahan yang tersedia (jika ada).
Tunggu bayaran balik
- Bayaran balik akan diproses selepas produk diimbas oleh syarikat logistik atau diterima oleh pusat pemulangan.
- Untuk produk tertentu, anda mungkin layak untuk Bayaran Balik Cepat, iaitu bayaran diproses segera sebaik produk diimbas.
Jika penjual tidak terima produk
- Sekiranya penjual tidak menerima produk dalam tempoh 14 hari selepas anda muat naik maklumat logistik, TikTok akan pulangkan wang anda secara automatik.
- Penjual boleh membuat rayuan jika terdapat kelewatan atau isu kehilangan.
Buat pengetahuan, polisi ini hanya sah untuk produk dengan lencana “Mall” dan produk berjenama tulen. TikTok juga menawarkan jaminan ketulenan 100% untuk semua pembelian Mall.
Untuk produk bukan Mall, tempoh pemulangan adalah 15 hari.
Sokongan kepada penjual dan jenama tempatan
Langkah ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pembeli, malah membantu penjual tempatan, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana, untuk meningkatkan kredibiliti serta mempercepat kadar penukaran jualan.
Jenama tempatan dan antarabangsa seperti CLEF Beauty, BONIA, PUMA, Johnson’s Baby, Cristy Ng, Pensonic dan banyak lagi turut mengambil bahagian di bawah TikTok Shop Mall.
Dengan adanya polisi pemulangan yang mesra pengguna ini, TikTok Shop terus menekankan komitmennya untuk meningkatkan kualiti pengalaman membeli-belah digital di Malaysia dan serantau.
{suggest}