Tiada Lagi Pemain Media VLC Untuk Pengguna Peranti Huawei

Pembangun pemain media terkenal VLC Player, VideoLabs telah mengumumkan bahawa mereka terpaksa menghalang muat turun aplikasi berkenaan melalui Play Store bagi pengguna peranti Huawei. Ia perlu dilakukan memandangkan ramai pengguna Huawei tidak berpuas hati dengan aplikasi tersebut.


Kredit : The Android Soul


Kebanyakan dari mereka telah meninggalkan skor penarafan satu bintang untuk aplikasi VLC Player di platform muat turun Google tersebut. Namun, masalah yang mereka hadapi sebenarnya adalah berpunca dari pihak Huawei sendiri dan bukannya VideoLabs.

Huawei mengamalkan sistem yang akan menghentikan semua aplikasi dari berjalan pada latar bagi menjimatkan penggunaan bateri. Ia sekaligus memberi kesan kepada pengguna VLC Player dimana mereka tidak dibenarkan untuk memainkan muzik pada latar.



VideoLabs mendakwa bahawa pengguna boleh menetapkan fungsi tersebut secara manual di peranti Huawei mereka, namun kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui tentang perkara berkenaan. Maka, mereka terus menyalahkan pemain media VLC itu atas masalah itu.

Bagaimanapun, sekatan ini hanya dikenakan terhadap peranti-peranti keluaran terkini Huawei sahaja. Pengguna yang terlibat juga masih boleh memuat turun aplikasi berkenaan dalam bentuk APK. Namun, pengalaman penggunaannya tidak dijamin akan sama dengan muat turun daripada Google Play Store.

Sumber