Tempoh hari, kami ada kongsikan tentang kerajaan Indonesia yang memberikan nombor plat baharu yang dilengkapi RFID untuk sistem tol mereka. Nampak sebuah lagi jiran kita, Thailand juga telah melaksanakan perkara yang hampir sama namun lebih maju kerana tidak menggunakan RFID.
Bulan lalu, Thailand telah melaksanakan sistem tol tanpa palang yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mengecam nombor plat kenderaan. Terdahulu, ujian rintis dijalankan selama sebulan bermula Oktober lalu dengan lebih 20 ribu pengguna terlibat.
Selepas keputusan yang memberangsangkan, sistem yang dipanggil M-Flow kemudian dilancarkan oleh kerajaan untuk pengguna awam di Motorway 9 (Bang Pa-In-Bang Phli) bermula 15 Februari 2022. Ia kini mempunyai lebih 110,000 pengguna berdaftar.
Dengan ketepatan 99%, kamera yang digunakan boleh mengendalikan sehingga 2,500 kenderaan satu jam setiap laluan. Ia juga mampu memadankan nombor plat pada kenderaan yang mempunyai kelajuan 120km/j.
Selain itu, M-Flow ialah sistem pascabayar yang menyokong pembayaran melalui kad debit, kredit dan akaun bank dan wang akan ditolak setiap 1 atau 16 hari bulan. Mereka juga boleh memilih untuk wang ditolak setiap kali memggunakan tol jika tidak mahu secara berkala setiap bulan.
Jika kenderaan terbabit tidak didaftarkan dengan M-Flow, maka pemilik perlu menjelaskan bayaran dalam masa 2 hari atau didenda 10 kali ganda daripada bayaran asal.
Bukan itu sahaja, jika terlanjut lebih 12 hari, maka denda termasuk caj tol tadi akan ditambah lagi dengan denda 200 baht (~RM25) dan mungkin juga bersama denda 5,000 baht (~RM642) akibat pelanggaran undang-undang trafik.
Disangka-sangka panas ke petang namun hujan di tengah hari, setakat ini M-Flow telah mengeluarkan denda sekurang-kurang pada 20,000 pemilik kenderaan.
Walau bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan arahan untuk menangguhkan penguatkuasaan denda ini sehingga penghujung Mac dan mereka yang telah membayar denda akan dipulang semula wang.
Apa-apa pun, ia satu inisiatif jangka panjang yang baik memikirkan ujian rintisnya hanya dijalankan selama sebulan.
Oh ya, sudahkah anda memasang tag RFID Touch ‘n Go di kereta untuk pengalaman tol yang lebih lancar?
Sumber: Bangkok Post
Baca juga: