Kalau sebut bandar dalam air, mesti ramai yang teringat akan kisah legenda Atlantis. Terdapat beberapa versi kisah Atlantis yang sering diperkatakan ramai. Katanya, Atlantis ini telah dihukum oleh tuhan kerana menggunakan teknologinya untuk kejahatan sehingga tamak dan mementingkan diri sendiri. Kemudian, Atlantis tenggelam ke dalam laut disebabkan kemurkaan tuhan.
Walau bagaimanpun, masih tiada bukti kukuh yang mengatakan bahawa Atlantis sebenarnya wujud dan ia kekal menjadi legenda sehingga ke hari ini. Jom kita lihat 5 teori misteri Atlantis yang masih tidak terungkai sehingga sekarang.
1. Atlantis ‘Ditelan’ Segitiga Bermuda
Segitiga Bermuda merupakan sebuah tempat yang popular dengan kes kehilangan kapal terbang atau kapal yang melalui kawasan tersebut. Sama seperti Atlantis, Segitiga Bermuda juga masih kekal misteri walaupun ramai orang sedar tentang kewujudannya.
Pada tahun 1970-an, salah seorang penulis terkenal iaitu, Charles Berlitz mendakwa bahawa Atlantis itu memang wujud tetapi berada di luar Bahamas sehingga ‘ditelan’ Segitiga Bermuda. Akan tetapi, teori ini masih menjadi tanya tanya kerana tiada bukti kukuh yang mampu menyokongnya.
Walaupun tiada bukti, teori ini disokong ramai kerana penemuan jalan buatan manusia di luar Pantai Bimini, Bahamas pada 2 September 1968 oleh J. Manson Valentine ketika menyelam. Jalan buatan manusia tersebut dikatakan sisa-sisa daripada peninggalan bandar Atlantis kerena kaedah penyusunan dan bentuk batunya.
Walau bagaimanapun, bukti kukuh masih belum ditemui yang dapat dikaitkan sama ada ia adalah jalan buatan manusia atau bandar Atlantis itu sendiri.
2. Atlantis = Antartika
Buku Earth’s Shifting Crust, tahun 1958 oleh Charles Hapgood memetik kata-kata Albert Einstein yang mengatakan bahawa pergerakan bentuk muka bumi atau faktor geografi menyebabkan Antartika yang didakwa sebagai Atlantis beralih ke lokasi yang lebih jauh ke utara berbanding sekarang.
Mereka berpendapat bahawa peralihan bandar tersebut secara tiba-tiba ke tempat yang lebih sejuk telah memusnahkan tamadun hebat Atlantis pada waktu tersebut. Penduduk Atlantis yang digelar Atlantean dikatakan mati kerana tertimbus lapisan bas yang runtuh di atas bandar mereka. Peralihan lokasi Atlantis ini dikatakan berlaku sejak 12,000 tahun yang lalu.
Peta milik laksamana Turki Piri Reis tahun 1513 telah ditemui pada 1929 menunjukkan bahawa laksamana Turki Piri Reis juga turut menyokong dakwaan bahawa Atlantis ialah Antartika. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat satu ‘bahagian misteri’ yang tidak diketahui dalam peta yang dikatakan lokasi sebenar Atlantis.
3. Legenda Atlantis Merupakan Kisah Tamadun Minoan di Kepulauan Yunani
Seterusnya, teori tentang Atlantis merupakan kisah tamadun Minoan di Kepulauan Yunani antara 2500 hingga 1600 SM disokong oleh sebahagian ahli sejarawan. Mereka berpendapat bahawa sekitar tahun 1600 SM, terdapat sebuah bencana gempa bumi besar telah menggegarkan pulau gunung berapi Thera sehingga ia memuntahkan 10 juta tan batu, abu dan gas ke atmosfera. Oleh itu, bencana tsunami yang terjadi telah menghancurkan bandar-bandar Minoan sehingga lesap dari dunia ini.
Mereka turut menyatakan bahawa Atlantean tinggal dan berkembang di Pulau Yunani Crete dan Thera. Oleh sebab itu, satu tamadun besar pertama di Eropah tercipta setelah orang Minoan membina jalan berturap, menggunakan bahasa bertulis dan mencipta istana yang indah. Walau bagaimanapun, teori tersebut hanya kekal menjadi teori sehingga sekarang tanpa pembuktian yang kukuh.
4. Atlantis Merupakan Mitos Banjir Laut Hitam
Terdapat juga ramai yang berpendapat bahawa Atlantis merupakan kisah rekaan Plato sahaja. Sebahagian berasa bahawa ia merupakan kisah yang diilhamkan oleh peristiwa sejarah sebenar iaitu banjir Laut Hitam. Ia berlaku kerana perlanggaran Bosporus, Turki oleh Laut Mediterranean dan banjir Laut Hitam pada tahun 5600 SM.
Banjir Laut Hitam ini dikatakan berlaku kerana pencairan lapisan ais sehingga memusnahkan tamadun di sekitarnya. Menurut para sejarawan dunia, peristiwa banjir Laut Hitam berlaku beribu-ribu tahun sebelum Plato dilahirkan jadi tidak mungkin dia mengilhamkan peristiwa tersebut untuk menjadi cerita rekaannya.
5. Legenda Atlantis Tidak Wujud
Kisah Atlantis ini sememangnya mempunyai peminatnya sendiri sehingga dunia perfileman juga mengambil bahagian-bahagian kisah Atlantis untuk dimasukkan dalam hasil karya mereka. Tetapi, kebanyakan ahli sejarawan membuat kesimpulan bahawa Plato sengaja menciptakan kisah Atlantis sebagai peringatan kepada tamadun lain. Peringatan tersebut bertujuan untuk menjaga tamadun seterusnya daripada berbuat jahat dan bersikap angkuh dengan kemajuan tamadun mereka.
Tambahan lagi, kewujudan teknologi moden sekarang tidak pernah menemui atau menjejak sebarang tamadun yang tenggelam seperti legenda Atlantis. Oleh yang demikian, berkemungkinan besar bahawa tamadun Atlantis ini memang tidak wujud dan hanyalah rekaan Plato semata-mata.
Semua teori di atas masih tidak dapat dirungkai sehingga ke hari ini. Walaupun ahli sejarawan berpendapat bahawa Atlantis hanyalah kisah rekaan, kajian berkenaan Atlantis masih terus dilakukan.
Baca juga :