NASA Ada Misi DART - Letupkan Asteroid Untuk Selamatkan Bumi

Tidak pasti sama ada anda pernah menonton filem Armageddon arahan Michael Bay. Filem yang dibintangi Bruce Willis dan Ben Affleck ini seakan di luar kotak pemikiran manusia kerana mereka di hantar ke angkasa lepas dalam misi meletupkan asteroid daripada menuju ke bumi.

Namun, babak dalam filem tersebut mungkin menjadi satu realiti kelak. Cumanya, tiadalah 'hero' yang akan ke angkasa. Sebaliknya hanya kapal angkasa sahaja yang ke sana.

Menurut Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), mereka merancang menggunakan sebuah kapal angkasa yang akan terbang pada kelajuan 24000 km/j untuk melanggar dan meletupkan seketul asteroid pada tahun hadapan.

Misi ini dinamakan Ujian Pengalihan Semua Asteroid Berganda (DART) dan ia bertujuan untuk mengenal pasti sama ada langkah itu berkesan untuk menukar laluan asteroid yang boleh mengancam bumi pada masa akan datang.

Secara tidak langsung, misi tersebut adalah untuk menyelamatkan bumi. Memetik kata-kata Pegawai Pertahanan Planet NASA Lindley Johnson, masih terdapat sejumlah batu angkasa yang bila-bila masa akan mengancam bumi walaupun tiada asteroid dikesan yang boleh membahayakan tempat tinggal kita.

Kapsyen: gambar dari space.com


Malah, ia ibarat menyediakan payung sebelum hujan kerana ujian tersebut terlebih dahulu untuk menghancurkan asteroid sebelum mencetuskan bahaya kepada bumi.

Bagi menjayakan misi ini, kapal angkasa DART mungkin dilancarkan menggunakan roketĀ Falcon 9 milik SpaceX pada 23 November ini jam 10.20 malam (waktu pasifik) melalui Pangkalan Angkasa Vandenberg, California.

Jika berjaya, letupan tersebut bakal berlaku antara 26 September dan 1 Oktober tahun 2022 memandangkan jaraknya dari bumi adalah 10.1 juta kilometer.

Tambahan lagi, kapal angkasa yang beratnya 549 kg itu dijangka tidak memusnahkan asteroid berkenaan. Akan tetapi, ia hanya 'mengalihkan sedikit kedudukannya dari orbit asteroid Didymos'.

Buat makluman, asteroid yang menjadi sasaran itu digelar Dimorphos dan mempunyai diameter 160 meter dan ia mengorbit satu lagi asteroid yang lebih besar - Didymos.

Asteroid Dimorphos ini melengkapkan orbit di sekeliling Didymos dalam tempoh setiap 11 jam 55 minit, sama seperti 'pusingan jam'.

Sumber: utusan

Baca juga: