Tahun ini dilihat pasaran tablet mula meningkat naik. Disebabkan itu, Nokia akhirnya kembali menawarkan tablet menerusi Nokia T20.
Saiz tablet ini lebih kurang dengan Apple iPad Gen 9 dan ia seberat 465g. Di dalamnya dilengkapi bateri sebesar 8200mAh dan dikatakan ia mampu bertahan sehingga 15 jam penggunaan.
Namun, bateri sebesar itu hanya menyokong kelajuan mengecas sehingga 15W sahaja dan di dalam kotak diberikan pengecas 10W.
Beralih pada bahagian hadapan, skrin seluas 10.4 inci ditawarkan dengan panel LCD beresolusi 2K (2000×1200) serta nisbah 15:9 dan kecerahan sehingga 400 nits.
Nokia T20 mungkin bukan menjadi pilihan ramai kerana ia dikuasakan cip pemproses Unisoc Tiger T610 yang dipadankan memori 3GB atau 4GB RAM serta storan dalaman 32GB atau 64GB. Akan tetapi, storan tambahan boleh dibuat kerana adanya slot kad mikroSD.
Selain itu, tablet ini turut hadir dengan pembesar suara stereo, dua mikrofon dan bicu audio 3.5mm. Manakala kamera pula, terdapat 5MP bagi lensa utama yang turut menyokong nyahkunci menggunakan imbasan wajah. Sementara lensa belakang adalah sebesar 8MP.
Tablet ini turut menjalankan Android 11 dan HMD menjanjikan kemas kini selama 2 tahun untuk sistem operasi serta 3 tahun keselamatan.
Antara spesifikasi lain adalah penarafan kalis air IP52, Bluetooth 5.0, WiFi 5 dan ditawarkan dalam dua varian, iaitu WiFi dan 4G.
Nokia T20 diletakkan dengan tanda harga bermula €200 (~RM966) bagi model 3GB+32GB WiFi dan €240 (~RM1160) untuk varian 4G.
Sumber: gsmarena
Baca juga: