Storan Samsung SSD T7 Touch Didatangkan Dengan Pengimbas Cap Jari

Apabila bercakap mengenai memperbaiki SSD luaran, kebiasaannya ada dua perkara yang dititikberatkan iaitu meningkatkan kelajuan atau menambah ruang simpanan. Namun, Samsung pada acara CES 2020 telah mengumumkan SSD yang lebih kreatif. SSD Samsung T7 Touch mudah alih yang baharu membolehkan anda mengunci dan membuka kunci semua data dengan cap jari.

SSD T7 Touch mempunyai pengimbas cap jari yang terbina untuk melindungi fail anda, sebagai tambahan kepada peningkatan biasa untuk memindahkan fail.

T7 Touch

Ia memberi pilihan kepada anda untuk melindungi data dengan keselamatan biometrik walaupun anda menggunakan komputer riba yang tidak mempunyai pengimbas cap jari. Menurut Samsung, anda boleh mendaftar sehingga empat cap jari yang berbeza dengan T7 Touch, bermakna dengan mudah anda dapat berkongsi drive tersebut dengan sesiapa sahaja seperti rakan sekerja dan sebagainya.

Antara ciri lain dalam T7 Touch termasuk cahaya lampu LED yang yang membolehkan anda mengetahui jika drive sedang membaca atau memindahkan data. Samsung juga telah meningkatkan kelajuan write sehingga 1,000MB/s dan read sehingga 1,050MB/s, iaitu dua kali ganda lebih laju dari model sebelumnya, SSD T5. Ini kerana, T7 Touch menggunakan antara muka penyimpanan PCI Express NVM.

Samsung SSD T7 Touch

SSD ini boleh digunakan pada Mac, PC, dan peranti Android. Ia dilengkapi dengan satu port USB-C, yang boleh disambung sama ada USB-C ke USB-C atau USB-C ke kabel USB-A. T7 Touch didatangkan dengan kerangka aluminium dan mempunyai berat hanya sekitar 57 gram.

SSD T7 Touch akan mula dijual pada akhir bulan ini di lebih 30 buah negara. Ia boleh didapati dengan harga $ 129.99 (~ RM 530) untuk model 500GB, $ 229.99 (~ RM 940) untuk 1TB, dan $ 399.99 (~ RM 1,600) untuk versi 2TB. Versi T7 Touch tanpa pengimbas cap jari iaitu T7, dijangka akan dikeluarkan pada pertengahan tahun ini.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=K8QF7dnpxTY[/embed]

Sumber: PCMag, Samsung