SpaceX kini mula menawarkan Kit Starlink Mini, yang sebelum ini disahkan oleh CEO SpaceX Elon Musk.
{suggest}
Starlink Mini ialah kit kompak dan mudah alih, yang menjadikannya lebih mudah dibawa dan dimasukkan ke dalam beg. Namun, buat masa ini pembelian Starlink Mini terhad kepada sekumpulan kecil pelanggan di Amerika Syarikat dan hanya untuk jemputan melalui e-mel sahaja.
Sama seperti Kit Standard, Starlink Mini juga mempunyai sokongan Wi-Fi 5. Selain itu, ia dilengkapi penarafan IP67 serta purata penggunaan kuasa sekitar 25-40W. Ia boleh disambungkan sehingga 128 peranti.
Menurut SpaceX, Starlink Mini diintegrasikan bersama penghala (router) Wi-Fi, bermakna penghala berasingan tidak diperlukan. Walaupun begitu, untuk menambah baik liputan Wi-Fi, penggunaan penghala Starlink tambahan adalah disarankan sama ada sebagai peranti mesh berwayar atau wayarles.
Starlink Mini menggunakan kuasa yang lebih rendah, kabel kuasa DC serta mampu beroperasi pada suhu -30°C hingga 50°C.
Tidak seperti dijangkakan sebelum ini, harganya adalah lebih mahal berbanding Kit Standard ($499). Starlink Mini diletakkan pada tanda harga $599 (~RM2821) dan penghantarannya akan bermula pada Julai 2024.
Terdapat juga perkhidmatan Mini Roam dengan pelan perkhidmatan Kediaman sedia ada, untuk tambahan $30/bulan (~RM141) bagi 50GB data mudah alih di AS.
Di Malaysia, belum lagi diketahui bila dan jika ia akan ditawarkan untuk pasaran tempatan. Namun, halaman Starlink Malaysia sudah pun memaparkan spesifikasi bagi produk ini. Tambahan pula, SpaceX mengatakan Starlink Mini akan diperluaskan ke pasaran lain dari semasa ke semasa, walaupun tiada anggaran tarikh yang diberikan.
Sehingga itu, nantikan pengumuman rasmi jika tersedia di Malaysia kelak.
Sumber: Starlink
Rujukan: Sawyer Merritt, Starlink