Sony masih belum membuat keputusan muktamad mengenai tarikh pelancaran dan harga PlayStation 6 (PS6).
Menurut kenyataan rasmi Presiden dan CEO Sony Group, Hiroki Totoki, dalam panggilan kewangan suku keempat FY2025 baru-baru ini, syarikat itu masih memantau keadaan pasaran dengan teliti sebelum memutuskan strategi seterusnya.
“Kami belum lagi memutuskan pada masa mana kami akan melancarkan konsol baharu ini, atau pada harga berapa,” katanya seperti dilaporkan Video Games Chronicle (VGC).
Totoki menjelaskan bahawa kenaikan mendadak harga komponen utama, terutamanya memori dan semikonduktor, menjadi faktor utama. Permintaan global yang sangat tinggi terhadap cip AI menyebabkan kekurangan bekalan yang dijangka berterusan sehingga tahun fiskal 2027.
Pada masa sama, jualan PS5 menunjukkan prestasi yang agak perlahan berbanding pendahulunya. Setakat ini, PS5 telah mencapai 93.7 juta unit dijual di seluruh dunia.
Namun, pada tahap yang sama, PS4 pernah mencapai kira-kira 97 juta unit yang bermakna PS5 kini ketinggalan sekitar 3.3 juta unit.
Jualan suku keempat PS5 juga merosot hampir 50% berbanding tahun lalu, dengan hanya 1.5 juta unit dihantar.
Walaupun jualan perkakasan perlahan, bahagian perisian PlayStation kekal kukuh dengan 74.6 juta unit permainan dijual sepanjang suku tersebut.
Totoki turut menyatakan Sony sedang menjalankan pelbagai simulasi, termasuk kemungkinan mengubah model perniagaan, bagi memastikan PS6 dapat dilancarkan dengan strategi yang paling optimum.
Ini bermakna pelancaran PS6 yang sebelum ini diramalkan hadir sekitar 2027 masih belum pasti, dan harga akhir mungkin akan lebih tinggi daripada jangkaan awal akibat kos komponen yang melambung.
{suggest}
