Snapdragon 865 Plus Kini Rasmi Diperkenalkan

Beberapa bulan yang lalu terdapat laporan menyatakan Snapdragon 865+ mungkin tidak akan diperkenalkan pada tahun ini. Tetapi kini, perkara sebaliknya yang berlaku dimana Qualcomm telah mengumumkan secara rasmi cip pemprosesan tersebut.

Melalui penawaran kali ini, kita boleh melihat perkara yang sama dilakukan Qualcomm dari Snapdragon 855 kepada Snapdragon 855+ iaitu menambah kelajuan teras utama. Jika Snapdragon 865 tampil dengan kelajuan teras utama Kryo 585 2.84GHz, pada Snapdragon 865+ ia telah dipertingkatkan kepada 3.1GHz.

Selain itu, Adreno 650 juga dikatakan 10% lebih laju dalam tugasan memproses grafik berbanding Snapdragon 865. Ia turut menyokong paparan yang mempunyai kadar segar semula 144Hz.

Penambahan lain yang dibawa pada versi "+" ini adalah FastConnect 6900 yang membawakan sokongan Wi-Fi 6e (6GHz) serta Bluetooth 5.2. Menurut Qualcomm, ia mampu mencecah sambungan Wi-Fi mudah alih paling pantas dalam industri.

Sumber: Qualcomm