SKMM Sekali lagi Ingatkan Pengguna, 3G Tamat Hujung Bulan Depan

Rangkaian 5G akan dilaksanakan pada umum dalam masa beberapa bulan lagi. Mungkin kebanyakan orang sudah mengetahui berkenaan penamatan rangkaian 3G di seluruh negara bulan hadapan namun mungkin ada juga masih belum ambil maklum.

SKMM mengeluarkan kenyataan untuk sekali lagi mengingatkan pada semua bahawa rangkaian 3G di Malaysia akan ditamatkan sepenuhnya pada 31 Disember 2021. Mereka juga mengingatkan pengguna yang masih memiliki kad SIM yang hanya menyokong rangkaian 3G untuk segera menghubungi penyedia perkhidmatan terdekat untuk menaik taraf ke kad SIM yang menyokong 4G.

Penamatan rangkaian 3G ini bertujuan untuk mengguna semula spektrum yang sedia ada bagi mengukuhkan rangkaian 4G serta membolehkan penyedia rangkaian memberikan pengalaman 4G yang lebih baik kepada pelanggan.

Dalam pada itu, SKMM juga menyatakan setakat 30 September 2021, sebanyak 94% kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G, dengan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat. Pihak penyedia perkhidmatan iaitu Celcom, Digi, Maxis, Telekom Malaysia dan U Mobile Sdn Bhd telah berjaya melakukan migrasi 1.2 juta pelanggan kepada 4G.

Selain itu, SKMM turut menggesa orang ramai dan syarikat-syarikat memanfaatkan inisiatif kerajaan seperti Pakej Peranti Keluarga Malaysia dan Program Jaringan Prihatin.

Baca juga: