Selain WhatsApp, Ini 6 Aplikasi Berasal Dari Ukraine Yang Mungkin Anda Pernah Guna

Sejak minggu lalu, dunia kelam-kabut apabila Rusia mula menceroboh negara bekas taklukannya, Ukraine. Bukan sahaja, Rusia menyerang secara fizikal, media antarabangsa turut berkongsi peperangan siber sehingga laman web Presiden Rusia, kremlin.ru tidak dapat diakses.

Namun, mungkin ramai tidak sedar banyak aplikasi terkenal hari ini dibangunkan di Ukraine atau dicipta oleh individu yang berasal dari Ukraine.

WhatsApp


Kapsyen: Brian Acton dan Jan Koum -Entreprenuer


Jan Koum adalah bekas CEO salah seorang pengasas bersama untuk WhatsApp. Beliau dilahirkan di Kyiv dan membesar di Fastiv, Ukraine namun telah berpindah dan tinggal di Amerika Syarikat sejak remaaj. Beliau ialah seorang ahli perniagaan dan jurutera komputer.

Seorang lagi pengasasnya ialah Brian Acton, warga AS yang merupakan bekas kakitangan Yahoo! sama seperti Jan Koum.

Namun, seperti semua tahu, WhatsApp telah dibeli oleh Meta (dahulunya Facebook Inc.) pada 2014. Brian bagaimanapun meninggalkan WhatsApp pada 2017 dan Jan Koum mengikut langkah sama tahun berikutnya.

Brian kemudian mendirikan Yayasan Signal dan menjadi pengasas bersama bagi aplikasi permesejan Signal yang kini terkenal disebabkan Elon Musk.

PayPal


PayPal founder Max Levchin Kapsyen: Max Levchin - Business Insider


PayPal diasaskan oleh tiga kepala iaitu Peter Thiel, Luke Nosek and Max Levchin, pada 1998. Mereka bertiga telah menubuhkan sebuah syarikat bernama Confinity. Nama sebenarnya ialah Maksymilian Rafailovych Levchin. Seperti kebanyakan yang lain, Max Levchin dilahirkan di Kyiv dan kemudian berpindah ke Amerika Syarikat.

Seperti semua maklum, eBay telah membeli PayPal pada 2002. Levchin turut dikenali antara yang dipanggil "PayPal Mafia" kerana berjaya membangunkan syarikat teknologi lain selepas meninggalkan PayPal. Beliau kemudian mendirikan syarikat Slide dan menjualnya kepada Google pada 2010 dengan harga $182 milion.

Elon Musk juga pernah terlibat dalam PayPal kerana syarikatnya X.com dicantumkan dengan Connity namun beliau 'ditendang' pada tahun 2000. Ramai yang mengetahui Elon Musk sebagai pengasas PayPal namun sebenarnya, ia agak rumit. Ada sumber mengatakan syarikat Confinity dijenamakan semula sebagai PayPal, ada yang mendakwa ia adalah X.com dan ada juga yang mengatakan hasil pergabungan kedua-dua syarikat kemudiannya mencipta jenama PayPal.

Namun, Max Levchin dan dua rakannya tadi sememangnya terlibat dalam pembangunan PayPal.

Max Levchin kini aktif dalam syarikat bernama Affirm yang menyediakan khidmat hutang untuk pengguna dengan konsep "BNPL" atau buy now, pay later.

Documents by Readdle


Kapsyen: Igor dan Denys Zhadanov pada 2014. - The Verge.


Jika anda menggunakan iPhone atau iPad, pasti anda tidak asing dengan aplikasi Documents dan Spark. Ia dibangunkan oleh syarikat bernama Readdle yang terdiri daripada beberapa orang rakan kolej yang menyewa apartmen di Odessa, Ukraine. Readdle banyak membangunkan aplikasi untuk kategori productivity dalam App Store, antara lainnya ialah kalendar dan PDF converter.

Readdle Apps

Readdle ditubuhkan beberapa bulan selepas iPhone pertama dilancarkan pada 2007 dan kini mempunyai sekitar 200 pekerja yang bermarkas di Odessa dan Kyiv.

CleanMyMac 


Kapsyen: Oleksandr Kosovan


Jika anda pengguna Mac pula, CleanMyMac mungkin salah satu aplikasi yang sering digunakan pada peranti. Dibangunkan oleh Oleksandr Kosovan yang berasal dari Kyiv, ia berfungsi untuk membuang fail-fail tidak diperlukan dalam peranti seperti CCleaner pada peranti Windows.

Peminat tegar Apple ini dibesarkan di Nadvirna di Ivano-Frankivsk Oblast, Ukraine. Meminati bidang pengaturcaraan dan kejuruteraan perisian sejak muda, beliau merupakan graduan Institut Politeknik Kyiv dan pemegang ijazah Sarjana Muda Sains Komputer.

Syarikat induk CleanMyMac iaitu MacPaw mempunyai sekitar banyak lagi aplikasi termasuk Setapp, Gemini Photos, ClearVPN serta mencapai lebih 40 juta pengguna seluruh dunia.

Snapchat (Teknologi Masking)


Kapsyen: Yuri Monastyrshin


Tak perlu pengenalan lagi tentang aplikasi ini, sebelum kehadiran Instagram Stories, Snapchat sangat terkenal terutamanya di negara luar seperti AS. Bukan sahaja berkongsi melalui Stories namun ciri uniknya yang memadam perbualan secara automatik turut menjadi perhatian anak muda.

Snapchat bukanlah diasaskan oleh rakyat Ukraine tetapi teknologi masking yang membolehkan pengguna memakai pelbagai filter dalam masa nyata tersebut dibangunkan oleh rakyat Ukraine iaitu Yuri Monastyrshin. Syarikat yang bertanggungjawab untuk teknologi ini diasaskan oleh beliau dan bernama Looksery serta beroperasi di Odessa, Ukraine. Teknologi ini antara ciri utama dalam Snapchat dan menjadi identiti sehingga hari ini.

Beliau kini berkhidmat untuk Snap Inc. (syarikat induk Snapchat) dalam bahagian realiti terimbuh (AR) dan Snap juga mempunyai pejabat yang besar di Kyiv dan Zaporizha.

Grammarly


Kapsyen: Alex Shevchenko, Dmytro Lider dan Max Lytvyn. -WSJ


Jika anda seorang pelajar IPT, Grammarly mungkin antara platform yang banyak berjasa pada anda dalam mendapatkan segulung ijazah. Ia diasaskan oleh 3 lelaki dari Ukraine dan beribu pejabat di bandar Kiev.

Tiga orang pengasasnya, Max Lytvyn, Alex Shevchenko dan Dmytro Lider mencipta Grammarly dengan tujuan untuk membantu pengguna berkomunikasi dengan lebih berkesan dan membantu para pelajar dari segi peraturan bahasa. Kini, Grammarly bernilai sekitar USD13 bilion atau RM54 bilion.

Rujukan: BusinessToday, IndiaTimes, Investopedia, grammarly, @sapitonmix

Baca juga: