Sebab Kenapa Vanila Dirujuk Sebagai Satu Produk Standard Atau 'Basic'

Setiap produk yang hadir di pasaran, mesti ditawarkan dalam pelbagai model. Contohnya, kita ada varian lite, varian pro, varian SE, varian standard dan sebagainya.

Kebiasannya, varian standard ini sering dirujuk sebagai vanila atau kalau anda sering membaca di mana-mana sumber internet, mereka memanggil vanilla version.

Perkara ini bukan hanya pada telefon pintar atau peranti elektronik sahaja. Malah, pada grafik permainan PC pun menggunakan terma yang sama.

Umum mengetahui yang golongan PC Master Race gemar melakukan modifikasi grafik. Tujuannya adalah untuk mendapatkan kepuasan. Selain itu, warna grafik default itu kurang menarik pada pandangan mata mereka.

Namun, persamaan antara model peranti dan grafik ini masih sama, iaitu "vanila" dirujuk sebagai "asas" atau "standard".

Pernah tak anda terfikir mengapa terma itu digunakan?

Asal usul vanila


Bagi anda yang menggemari perasa vanila baik aiskrim mahupun minuman, anda patut mengetahui bahawa vanila ini sebenarnya berasal daripada tumbuhan.

Vanila berasal dari pokok vanila dan ia merupakan berada dalam keluarga orkid. Pokok ini dikatakan mula ditanam oleh masyarakat Totonac yang tinggal di kawasan Veracruz sekitar abad ke-15 timur Mexico.

Bagaimanapun, orang-orang Aztek dari tanah tinggi Mexico mula menawan masyarakat tersebut yang kemudiannya mereka memperoleh hasil masyarakat Totonac.

Kapsyen: Foto - Wiki


Pada asalnya, puak Aztek menggunakan vanila sebagai penambah perasa air minuman coklat selain menambah kesedapan tembakau.

Pokok vanila ini juga pernah dibawa dan ditanam di Eropah pada tahun 1721. Namun, ia tidak berhasil kerana pokoknya tidak berbuah dan gagal dalam pendebungaan.

Katanya, pendebungaan pokok vanila dibantu oleh lebah Melipone yang mana spesis lebah tersebut tidak sesuai dengan cuaca Eropah.

Kapsyen: Foto - Wiki


Oleh itu, Mexico terus kekal menjadi pengeluar utama vanila.

Pun begitu, usaha untuk memperluaskan tanaman vanila masih tetap berjalan dan sehingga kini sudah meluas secara global. Ia adalah termasuk dari kepulauan Madagascar hingga India, Tahiti dan juga Indonesia.

Kapsyen: Foto - indovanili


Malah, di Indonesia sendiri pun terkenal dengan vanila di mana vanila dari Pulau Jawa dikenali dengan kualitinya. Vanila mereka ini mengandungi vanilin yang tinggi dan digelar sebagai Java Vanilla Bean.

Apa kaitan perasa vanila ini?


Kapsyen: Foto - Times Food


Sejarah asal usul vanila dengan peranti atau grafik asas ini memang tiada kaitannya. Akan tetapi, ia berkait dengan rasa vanila itu sendiri.

Pelik tapi benar kerana perasa vanila sering dikaitkan sebagai "plain vanilla" atau vanila biasa. Ia bersinonim dengan asas, tak ada rasa dan sebagainya.

Tak hairanlah kenapa dalam makanan atau minuman pasti ada gabungan vanila seperti coklat vanila, strawberry vanila dan lain-lain. Ada juga yang mengatakan perasa vanila ini boring sebabnya terlalu asas.

Jadi di sini, mungkin anda sudah dapat gambaran yang "boring" itu sebenarnya memberikan satu makna penting.

Disebabkan asas itu dikatakan boring, ramai yang akan memilih perasa yang lebih sedap dan menarik.

Kita lihat kembali dalam arena telefon pintar. Varian-varian standard atau dipanggil varian vanila ini memang didatangkan dengan spesifikasi asas sahaja.

Kapsyen: Foto - gsmarena


Ada golongan yang suka kerana kata mereka "standard itu indah". Ada juga golongan yang tidak suka.

Oleh yang demikian, golongan-golongan yang tidak menggemari model vanila itu cenderung memilih "perasa" yang dinaik taraf agar "perisanya" dan "kesedapannya" mencapai tahap kepuasan sendiri.

Macam iPhone, ada yang akan pilih iPhone vanilla sahaja kerana tidak memerlukan pun ciri-ciri Pro. Kalau Samsung pun sama. Tidak semua mahukan peranti Ultra. Varian vanila pun dah sedap.

Kapsyen: Foto - Candyland


Kalau pada grafik game pula, ada golongan yang menggilakan modifikasi grafik terutama yang mengejar realistik. Contoh paling senang, game GTA V.

Bagi yang jarang bermain game, mereka akan mengatakan grafik vanila pada permainan video tersebut sudah cukup cantik dan padu. Akan tetapi, untuk yang mempunyai PC berkuasa kuda, mereka mahukan lebih.

'Perisa' apa yang anda suka?


Secara keseluruhan, rasanya anda sudah dapat jawapan mengapa vanila itu dirujuk sebagai standard atau asas.

Ia semua berkait dengan perasa vanila yang mana dikenali sebagai basic flavour. Inilah terma-terma yang sering digunakan dalam arena teknologi juga.

Versi vanila = Versi standard

Oleh itu, anda berada di pihak yang mana? Sukakan 'perisa' asas atau 'perisa' yang digabungkan untuk menjadi lebih sedap?

Rujukan: NatGeo, Reddit, Quora

Baca juga:

Berkaitan