Siapa sangka, zaman sekarang manusia boleh menjana pendapatan lumayan dengan hanya duduk di rumah sambil bermain permainan video.
Individu yang bermain permainan video dengan strim di platform media sosial lebih dikenali sebagai ‘Streamers’. Golongan ini mungkin dipandang serong oleh golongan generasi lama kerana umpama tiada masa depan. Sebaliknya kebanyakan streamers mempunyai pendapatan yang banyak dalam masa satu bulan.
Namun, kerjaya streamers sering dipandang mudah. Sehinggakan ramai juga anak-anak yang masih bersekolah mahu mengikut jejak langkah idola-idola mereka.
Industri penstriman kian meningkat naik sejak kebalakangan ini, lebih-lebih lagi sejak pandemik COVID-19 melanda dunia pada dua tahun lepas. Platform yang dijadikan tempat untuk strim ini adalah seperti Twitch, YouTube dan juga Facebook.
Antara individu yang betul-betul berjaya dalam industri sebegini ialah Ninja, xQc, Pokimane, Dr. Disrespect, Valkyrae, Shroud dan ramai lagi. Di Malaysia pun, apa kurangnya. Soloz, Daddy Hood, MissRose antara individu tempatan yang telah membuktikannya.
Berdasarkan perkongsian daripada seorang streamer popular Valkyrae, beliau mengatakan jangan berharap terlalu tinggi dalam industri penstriman permainan video.
Beliau turut memberi amaran bahawa anda tidak boleh berhenti kerja semata-mata mahu menjadi seorang streamers dengan harapan dapat pulangan berkali ganda berbanding kerja sedia ada. Tambah Valkyrae, jadikanlah streaming ini sebagai hobi atau pendapatan sampingan sahaja.
Hanya indah khabar dari rupa. Realiti perjalanan seorang streamers bukanlah mudah. Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk mencapainya. Malah, seorang streamers juga perlu mencipta “brand” sendiri dan mempunyai kekuatan di platform media sosial lain seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube.
Seperti Valkyrae, beliau bukan hanya strim di platform YouTube sahaja tetapi juga salah seorang pemilik organisasi gaming 100 Thieves.
Kalau kita melihat Dr. Disrespect atau Shroud. Mereka tidak strim permainan video tanpa hala tuju. Seperti Dr. Disrespect, beliau sentiasa in-character dan kerap menawarkan kandungan atau cerita menarik buat penontonnya. Shroud pula, beliau umum dikenali dengan kehebatan dalam permainan bergenre FPS.
Sebenarnya, nasihat yang diberikan Valkyrae itu benar dan pasti ramai streamers yang berpendapat sama. Malah, teringat juga dengan satu perkongsian oleh abe cerah di YouTube, beliau menasihatkan perkara sama, iaitu jadikan streaming ini sebagai pendapatan sampingan sahaja.
Selain itu, nasihat ini juga terpakai bagi mana-mana anda diluar sana yang bercita-cita mahu menjadi seorang YouTuber. Bukan mudah untuk mencipta nama dalam industri. Setiap pekerjaan di dunia masih ada cabaran dan rintangan yang perlu dilalui. Wang tidak akan datang dengan mudah umpama jatuh dari langit.
Sebagai peringatan terakhir khususnya buat adik-adik yang masih bersekolah atau belajar di universiti, teruskanlah belajar dan carilah pekerjaan tetap. Namun, kalau masih minat untuk jadi streamer atau YouTuber memang tiada masalah. Cumanya, jadikan sebagai hobi.