Samsung Mungkin Keluarkan Telefon Dengan Skrin Yang Boleh Dilipat Tahun Hadapan

Sudah lama rasanya berita mengenai perancangan Samsung untuk mengeluarkan peranti yang mempunyai keupayaan skrin boleh dilipat. Ia bukanlah seperti telefon "flip" yang kita lihat sebelum ini, tetapi merupakan sesuatu yang baru dimana, skrin paparan sangat fleksibel dan mampu dilipat.

Terbaru, gergasi Korea Selatan itu dikatakan akan memperkenalkan telefon skrin lipat itu seawal 2018 yang akan dipasarkan dibawah siri Galaxy Note. Ini merupakan kali pertama syarikat menjelaskan tentang rancangan mereka itu kepada umum selepas khabar angin mengenainya tersebar sejak sekian lama.

Menurut Presiden Komunikasi Mudah Alih Samsung, Dongjin Koh, terdapat sedikit masalah yang perlu diatasi dan atas sebab itu pengenalannya akan dianjakkan sedikit bagi memberi ruangan untuk mencari jalan penyelesaian.

Skrin boleh lipat bukanlah perkara asing bagi Samsung kerana pada 2012 dahulu mereka telah memperlihatkan prototaip skrin AMOLED yang boleh dilipat dikenali sebagai Youm. Tahun lepas juga, syarikat telah mempatenkan rekaan telefon yang boleh dilipat mirip telefon "flip".

Kapsyen: Skrin prototaip Youm


Kapsyen: Imej paten


Selain Samsung, Lenovo pada acara yang berlangsung tahun lalu memperkenalkan model prototaip telefon yang boleh dililit pada pergelangan tangan serta tablet yang mampu dilipat separuh.

Kapsyen: Telefon prototaip dari Lenovo


Sumber: Bloomberg via The Verge