Samsung Mungkin Gunakan MediaTek Pada Peranti Andalan Mereka Pada Masa Hadapan

Sebagai peranti premium daripada Samsung, kita tahu bahawa peranti tersebut akan menggunakan cip daripada Qualcomm dan juga cip buatan mereka sendiri iaitu Exynos. Manakala bagi peranti bajet pula, Samsung dilihat semakin meningkat menggunakan cip MediaTek.

Menurut laporan daripada BusinessKorea, Samsung sedang mempertimbangkan untuk mengguna cip MediaTek pada peranti andalan premium mereka iaitu pada separuh pengeluaran Samsung Galaxy S22 FE. Bukan itu sahaja, syarikat itu juga turut dikatakan akan menggunakan cip MediaTek pada semua unit Galaxy S23 di Asia.

Buat masa ini, tidak pasti sama ada Samsung akan menggunakan MediaTek untuk menggantikan cip Exynos mereka atau pun tidak. Jika tidak, kita akan melihat Samsung mengeluarkan peranti andalan mereka dengan 3 varian cipset.

Ini bukan kali pertama Samsung menggunakan 3 cipset pada peranti andalan mereka. Pada tahun 2011, Samsung menjual Galaxy S2 mereka dengan 3 varian cipset iaitu Qualcomm, Exynos dan Texas Instruments.

Masih tiada berita tentang cipset MediaTek yang bakal menguasakan Samsung Galaxy S22 FE kini namun khabar angin mengatakan yang Samsung mungkin akan menggunakan cip paling berkuasa dari MediaTek iaitu Dimensity 9000. Tidak dinafikan bahawa cipset tersebut adalah pesaing sebenar Qualcomm walaupun cip tersebut tidak mempunyai sokongan mmWave.

Sumber: Business Korea

Baca juga: